21 December 2012

Pek Nga Di Pinggir Kedai Pizza....



Awal pagi itu, saya bersenam dengan berjalan-jalan meninjau orang berjualan di sekitar Pasar Kampung Berjaya, Alor Setar. Tempat tersebut, pada hari Jumaat, memang terkenal di Alor Setar seperti Rope Walk, Pulau Pinang. Pelbagai barangan lama dan terpakai dipamer untuk jualan.

Setelah otot mata pun turut kepenatan bersenam, sambil membimbit sedozen majalah Readers Digest lama, saya beransur untuk pulang. Dalam pergerakan laluan pulang yang perlahan, di satu gerai makanan saya terpandang perkataan Pek Nga.

Tertarik, saya menghampiri puan yang berniaga itu. "Ya, bang. Makan ka bungkus? Cicah gula ka....?" Belum sempat saya mendengar dia menghabiskan ayat tanyanya, saya menjawab, "Gula! Makan!"

Pek nga. Tidak pasti sama ada ejaan di gerai itu tepat atau tidak. Sepatah atau dua patah perkataan. Yang saya tahu sejak asal, pek nga adalah kependekan perkataan 'tempek dalam belanga'.Ramuannya ringkas dan murah. Tepung, kelapa, air dan garam secukup rasa... 

Emak selalu menyediakan pek nga kerana ayah amat menggemarinya. Apa lagi jika ada gulai kering(gulai sehari dahulu atau sebelumnya yang dipanaskan semula). Sambil berbual, ayah akan mengunyah pek nga yang dicicah dengan gulai atau paling tidak dengan gula. Biasanya emak akan membuat banyak keping untuk kami sekeluarga.sebab setiap orang tidak akan berhenti mengunyah selepas kepingan pertama...................

Apabila menghubungkan dengan AlFalah, saya terkenang beberapa penghuni asrama yang rajin membuat pek nga - maklumlah bahan utamanya, kelapa, berkeliaran di sekeliling asrama... Ada sedikit tepung sahaja, kira pek ngalah menu yang dibayangkan. Bagi yang tahu dan mahu, akan memanjat pokok kelapa rendah di belakang bilik air lelaki yang bersempadan dengan dapur rumah Ustazah Rodziah, mencari kelapa yang kemantan - kelapa yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras isinya. Dengan isi kelapa yang demikian, rasa pek nga menjadi lebih umph! Namun bagi yang tidak kisah, kelapa tua pun sudah baik - tidak termaktub sebagai satu kesalahan untuk digunakan didalam pek nga.... Kalau rajin, mereka akan mengukur dengan meminjam kukur kelapa dari rumah Maklang. Kalau rajin! Jika tidak, kelapa akan dikukut dengan sudu sahaja. 

Bukan sekali saya dipelawa untuk menikmati pek nga panas bersama mereka. Dengan sekoleh kopi o kaw di sisi, cebisan pek nga dihembus lalu dibenamkan ke dalam piring gula. Kemudian cebisan itu dihantar ke mulut yang tahu kepanasan pek nga namun tetap setia menerima, dan ditunda pula dengan tegukan kopi o kaw yang juga panas..... fuh! Manis sungguh detik itu.....

Ketika mencatat ini, saya teringat percubaan yang dilakukan oleh Paksu Yeh [Illias Hj Awang] - menggaulkan kelapa dan tepung dengan dimasukkan pula serbuk kari. Rasanya memanglah lain, namun tidak kurang sedapnya. Itulah kali pertama dan terakhir saya merasa pek nga sedemikian. Mungkin pembuat pek nga tidak mahu merosakkan adunan yang dikenali turun temurun. Atau mungkin tidak seorang pun penghuni asrama AlFalah mengetahui kenikmatan pek nga buah tangan dan buah fikir Paksu Yeh itu. Atau lagi, ada yang mencuba tetapi tidak mempelawa saya merasanya.....Bagi yang ingin mengetahui rasanya pek nga berempah, cubalah resipi inovasi dari Paksu Yeh itu...... Semasa masih panas, cicahlah dengan susu, gula atau gulai kering.... kena pula ketika rumah kita diserkup hujan..... fuh! Sekali lagilah: FUH!

Siap!

Seorang anak sekolah rendah menghantar pinggan berisi sekeping pek nga ke meja saya. Aroma kelapa dalam kepanasan tepung pek nga menerjah deria bau saya... dan jiran semeja. Selesai doa makan yang pendek itu, saya mengoyak hujung pek nga, membenamkan ke tompokan gula yang diletakkan di tengah-tengah pek nga, lalu menolak masuk ke mulut. Fuh!

Tiga empat kali kunyah, saya berhenti, mencari sesuatu yang telah saya tinggalkan hampir suku abad - rasa pek nga emak. Walaupun, pek nga pagi ini telah dikomersialkan - kelapa dalam adunan tidak sebanyak emak gunakan - rasanya tidak jauh berbeza. Cuma lain kali saya akan minta lebih digaringkan....

Begitulah. Pagi itu bermodalkan seringgit setengah, saya dibawa ke era di mana ayam goreng Amerika masih terlalu jauh dari kotak fikir kanak-kanak. Sehingga cebisan terakhir, saya seolah nampak ayah mengunyah pek nga sambil menghirup kopi o panas. Emak pula memasukkan kepingan tambahan yang baru diangkat dari belanga ke pinggan ayah. Asap nipis menerawang.........


Bertentangan dengan gerai itu, sedikit ke kanan, di hujung bangunan, saya nampak premis KFC dan Pizza Hut mula disimbah terik matahari pagi...........

No comments: