3 February 2013
Bertemu 'Dahaman'
Apa pandangan anda apabila ada peraturan supaya lori besar, tipper dan trailer tidak dibenarkan menggunakan jalanraya/lebuhraya dalam waktu tertentu ketika musim perayaaan?
Ada anda kisah?
Saya tidak kisah malah tidak perasan langsung kesan akan peraturan itu.....
Jumaat 1 Februari 2012.
Saya bersama seorang rakan sedang berkongsi meja di Restoran Nasi Kandar Haji Ramli, Simpang Empat. Terlanjur di situ, saya mengambil sepinggan nasi dengan dua bangsa rakan gandingannya - satu berasal dari reban manakala satu lagi berasal dari laut....Ulamnya teh o ais. Rakan saya yang baru berpindah dari meja di Restoran Sultan Ibrahim - yang terletak sepelaung dari situ - hanya meminta air suami buang I yang dimasukkan gula dan tiga sudu biji barli. "Sudah makan, baru sat-sat" katanya mengajuk Ahmad Nesfu dalam filem Ibu Mertuaku.
Sedang geraham yang tidak cukup set memecahkan gumpalan nasi serta rakan-rakan senasibnya, seorang lelaki tinggi lampai bersama sepinggan nasi duduk di kerusi di sisi meja kami. Terkejut juga kerana selama setengah abad, inilah kali pertama hal demikian berlaku. Saya memerhati sekitar restoran. Ada hampir dua dozen lagi meja kosong! Rakan saya ikut tercengang. Mereka bersalaman sedang tangan saya yang dibasahi kuah kari hanya dipandang, tetapi insan itu tetap tersenyum.
"Lama tak jumpa cikgu....." katanya. Cikgu? Sahlah ditujukan untuk saya. Kawan saya tadi seorang ustaz di sekolah yang ajar ABC .....
Saya merenung senyuman itu. Sah! Itu budak Falah! Namanya........ ini yang menjadi masalah sedikit. Beberapa budak Falah saya selesa memanggil nama bapa mereka, semasa di dalam mahupun di luar kelas. Pak Usin [Zamri Hashim/Husin Noh, Teluk Bagan], Khamis [Zamri Khamis, Permatang Ibus], Bakar [adik Kamal Bakar, Alor Pulai], Wahab [Pak In/En, adik Shukri dan Norhayati Wahab, Kuala Kedah], Hj Ali [Zawawi Hj Ali, Sala Kecil] dan Hj Mahmud [Fazli Hj Mahmud, Alor Ibus] adalah di antaranya.
"Dahaman!" kata saya kepada insan yang masih tersenyum di hadapan saya. Senyumnya makin melebar. Saya tahu itu adalah nama ayahnya.Lama juga saya mencari nama sebenarnya. "Zamri, kan?" Dia mengangguk.Giliran saya pula ikut tersenyum. Kad memori tercalar sedikit.....
Rakan saya pula tersengih sambil mengakui dia sendiri sering memanggil anak muridnya dengan merujuk nama bapa. "'Nak buat macam mana, kalau dalam kelas itu ada 7-8 orang Aiman, panggil nama bapa la yang senang...." terangnya. Saya mengangguk.Agaknya tahun itu nama Aiman mana-mana tengah meletup. Biasalah orang kita. Pernah satu tahun, 5-6 anak buah mertua sulung saya mempunyai anak perempuan yang semuanya mesti ada nama Izzati dalam rangkaian 2-3 nama mereka. Saya pun terkenang kepada satu contoh: Puteri Siti Nur Qistina Izzati binti Cha!
"Min aina ila aina?" tanya saya kepada Budak Falah itu. Entah betul atau tidak ungkapan itu dengan maksud saya.
"Tu..... bawa menatang 'tu. Nak ke KL...." katanya. Saya menoleh arah yang dimuncungkan mulutnya tadi. Kelihatan kepala trailer jenis Scania, tersengih ke arah kami di bahu jalan, menghala ke selatan.
"Bawa apa 'tu?" rakan saya bertanya setelah berdecit dua kali melihat badan yang diheret kepala trailer itu.
"Simen" kata Zamri sambil menyuap nasi. Kena tambahkah ayat itu dengan perkataan ke mulut?. Hehehehe.
Maka berbuallah kami tentang proses penghantaran barang dengan kuantiti besar dalam jarak jauh itu.Prosedur ulang-alik, risiko, masalah dan ganjaran.Banyaklah pengetahuan baru yang saya dapat. Zamri tidak menggunakan atendan. "Siapa 'nak ikut kerja yang tak boleh berdunia dengan orang 'ni...." katanya. Saya menyakatnya, tentulah banyak pendapatan kerana elaun untuk atendan pun dimasukkan ke poketnya. Zamri tersengih.
Dalam banyak-banyak yang dibualkan tentang dunianya, ada dua perkara yang saya simpan sungguh-sungguh.
Pertama, betapa dia merasa bahagia apabila peraturan menyekat perjalanan lori besar/trailer sepanjang musim perayaan. Dapatlah dia bercuti lama terutama pada musim Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina [TBC]. Jika tidak,silap-silap hingga ke malam raya masih memusing stereng trailer. Untuk perayaan TBC tahun ini, dia mula bercuti pada 7 Februari selama seminggu. Masa inilah dia dapat berdunia dengan orang....
Ada hikmah atas sesuatu itu....jika kita mahu berfikir.
Kedua, oleh kerana dia berseorang di dalam kokpit, maka adalah ruang kosong untuk setakat sebuah tubuh menyelit..... Maksudnya, sebarang masa saya boleh menelefonnya untuk menumpang ke Kuala Lumpur atau paling jauh Seremban dan Port Dickson.... Tengoklah..... Lalu saya menyimpan segera nombor telefonnya.....
Kami juga berbual tentang AlFalah. Zaman persekolahannya dan perjumpaan hari raya tahun lalu dan tahun ini. Zamri sempat bertanya tentang Cikgu Non, Cikgu Rahim dan Ustaz Mohammad Abdullah.Saya pun berceritalah seadanya tentang mereka.
Di AlFalah, Zamri selapis dengan Hasbullah Morad [Kg Perlis]. Itu saja yang diingatnya. Ertinya mungkin mengambil SPM pada tahun 1993 atau 1994. Tetapi cepat dia menjelaskan sempat hanya di tingkatan empat. "Jadi lagu mana tak tau masa 'tu..."tambahnya.Ada nada kesal dalam mengatur ayat tersebut.
Kini menetap di Sungai Nonang bersama ayahnya - Encik Dahaman. Mempunyai tiga anak kalau tidak silap dan seorang isteri, pun kalau tidak silap...... Isterinyalah yang menguruskan anak-anak termasuk menghantar anak sulungnya ke PASTI di Alor Ibus. Agak jauh jarak di antara rumah dengan Alor Ibus. Tidak pastilah kenapa di situ pusat asuhan pilihan mereka. Tapi hikmahnya, di Alor Ibus itulah dia mendapat tahu tentang majlis perjumpaan tahun lalu - dari Liza Alor Ibus yang ditemuinya. Saya tercari-cari siapa bekas puteri AlFalah tersebut kerana Zamri tidak ingat nama akan penuhnya atau nama ayah Liza . Sayang sungguh.
Setelah semua nasi sampai ke usus besar, Zamri meminta diri sambil meminta bil saya. "Bukan selalu...." katanya tatkala saya meneruskan adat warisan kita - zahirnya enggan memberikan bil yang diminta, walaupun di dalam batin terasa ingin dilampirkan sekali bil elektrik, bil air dan bil telefon...hehehehe.
Selesai urusannya di kaunter, dia berpatah ke arah kami untuk bersalam. Saya terpaksa melangut untuk melihat senyumnya.....
Semoga dia selamat sepanjang perjalanan, juga sepanjang kehidupan... Amin.
Ketika saya menyambung berbual semula dengan rakan, barulah teringat untuk memotret wajah Zamri. Tetapi enjin Scania itu sedang beransur pergi. Mengengsot perlahan membelah malam. Lagi pula saya segera sedar diri - saya bukan seperti Budak Batas Paip yang sentiasa akrab dengan gajet hebatnya. Mengelik di sana dan di sini. Di tangan saya hanyalah sebuah telefon genggam yang biasa - Nokia yang cokia........
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Klu dia byr skali dgn bil api ,air kan bagus...hihihi
Post a Comment