Hujan nampaknya akan berlarutan sepanjang hari.
Tumbuhan bertasbih memuji Ilahi. Derita kekontangan hampir
dua bulan berakhir.
Saya berada di sebuah kedai kopi. Sebiji macam dalam drama
di TV. Kalau cerita di kampung mesti ada
kedai kopi bersama penunggu setianya……
Ada lebih sedozen pelanggan dengan pelbagai ragam. Beberapa
orang di meja sebelah kiri saya membelek pecahan tiga akhbar percuma yang
masing-masing telah kusam, walaupun jam baru pukul sebelas pagi.
Di meja sebelah kanan saya, ada seorang, yang agaknya telah
pun membaca semua akhbar tersebut,
sedang menganalisis berita. Mulanya berkait politik. Hebat ulasannya. Ciri-ciri
serba tahunya terserlah dengan kemunculan petikan berita dua tiga hari lalu di
dalam hujahnya. Kalau dia ada blog, sah berada dalam ranking pilihan. Cukup baik dia berhujah. Siap disebutkan beberapa
nama baru yang akan ikut bertanding mewakili kedua-dua kem. Rakan semeja nya
melopong. Apabila dia memberitahu tarikh pembubaran parlimen, saya pula ikut
melopong. Kalah orang SPR melihatkan gaya keyakinannya menyebut tarikh
tersebut. Perlahan-lahan tumbuh minat saya terhadap watak yang perlu
diperhatikan ini…….
Tidak lama kemudian, ada keluhan kuat dari meja di sebelah
kiri. Si pengeluh itu baru saja menghempas sebuah akhbar tabloid yang agak
tebal, lalu menghirup kopi o yang sudah suam. Semua terdiam sejenak, memandang
ke arahnya.
“Apa pasai pulak hang ni?” Tanya penganalisis berita tadi.
Mungkin tidak gemar semangatnya sedang berhujah dipancung begitu oleh bunyi
yang tidak begitu enak di telinga.
“Dak la….. Yang Che Ta pi pilih
pun, budak muda sangat jadi laki…..” kata si pengeluh. “Kalau dia pilih aku,
padanlah…..” sambungnya.
Berderai tawa dari penghuni dua meja tersebut. Saya yang
berada di meja kanan tersenyum. Laaa…… orang dari daerah saya pun ada di dalam
senarai rupanya…..
“Tu la….” Kata sang penganalisis tadi. “ Aku pun dok bimbang juga. Hangpa
tengok Rita
dengan budak bola tu….. La ni dok naik turun mahkamah. Dulu bukan main sakan. Baru
berapa tahun ……”
Rakan semejanya yang melopong, kini mengangguk. Sebahagian
penghuni meja bersebelahan ikut sama. Sang penganalisis melihat muka saya yang kebetulan muncul di matanya tatkala
melihat satu demi satu wajah yang memberi tumpuan kepadanya. Agaknya tidak berpuas hati kerana tiada anggukan dari saya. Cepat-cepat
saya mencapai cawan lalu menghirup teh – melindungi sedikit mata saya dari
tenungannya.
“Satu lagi…. Zul Gerak Khas pulak. Dok nak ambik Gaya….Gaya…Gaya
apa tak tau….. Bangsa lain satu hai la. Umuq pulak tua dari dia jugak….. Nak tahan lama mana kalau cinta pun……”
sambungnya setelah meminta sebatang rokok dari teman di sebelahnya. Dia
menyuakan rokok yang diletakkan pada bibir itu untuk dicucuh oleh seorang teman
lain di hadapannya. Dia menyedut sekali, dalam-dalam, sebelum melepaskan
asapnya ke bumbung gerai.
Kalau saya menulis skrip drama tv, watak itu pasti akan
menjadi watak pembantu yang disenangi penonton. Petah, ramai kenalan dan begitu
hidup perwatakannya.
Sedang saya mengagumi kepetahan dan keserbatahuan
penganalisis yang hanya berkain pelikat dengan badan berbalut sehelai baju tebal bertulis LA Lakers itu, meja saya ditumpangi dua orang
pemotong rumput pekerja kontraktor di bawah Majlis Bandaraya Alor Setar. Mereka
tersengih sambil mempelawa saya minum. Salah seorang mengeluarkan bungkusan
nasi yang dibeli di tempat lain. Saya hanya tersenyum mengangguk.
Tumpuan saya terhadap penganalisis tadi diteruskan apabila dia
didatangi oleh seseorang yang menghulurkan sebungkus minuman yang dilapisi beg
plastik berwarna hitam. Seseorang itu meminta izin untuk mengambil kerusi kosong
di sebelah saya lalu duduk mencelah di antara penganalisis dengan seorang rakan
lagi. Lama mereka saling bercakap tetapi tidak saya dengar buah butirnya,
sambil menggamit pembantu gerai, meminta dua gelas kosong. Sebaik gelas
dihulur, dia menuang minuman tadi ke dalamnya. Sama banyak. Air berwarna kuning
keperangan itu diteguknya sekali sambil memejam mata.
Rakannya tadi mengeluarkan sekeping kertas dipenuhi angka dari
beg sandang kecilnya, lalu membuka selebar tapak tangan kirinya. Sang
penganalisis membeleknya. Seorang dua di sisi mereka memanjangkan leher, cuba
melihat sama kertas tersebut. Rakannya tadi seolah mencucuk-cucuk kertas itu
dengan jari telunjuknya.
“Tu la…. Barua sungguh! Saja tak mau kaya Ahad lepas….“ Tiba-tiba kuat
pula suara penganalisis. “ Ni nombor motor mertua aku. Naik penuh….. Minggu
lepas aku bubuh 20 ringgit, selopak pun tak sangkut….. haram jadah sungguh!”
Dia meludah sekali pada kertas yang masih dipegang rakan
tadi.….. Lalu mencapai gelas di depannya. Meneguk sekali lagi air berwarna kuning
keperangan. Sekali lagi matanya dipejam rapat tatkala air tersebut melintasi
kerongkong. Namun dia meletakkan semula gelas
penuh kepuasan.
“Hang beli kat sapa ayaq ketum ‘ni. Pelik sikit bau…..
banyak campuq benda lain kut…..” kata
penganalisis sambil memerhati gelas itu. Rakannya menjawab tapi saya tidak
mendengarnya. Cuma nampak mereka sama-sama tertawa. Bahagia sungguh mereka…..
“Hangpa buat tang mana haghi ‘ni?” Tiba-tiba penganalisis
bertanya dua pemotong rumput yang duduk di meja saya. Mereka yang ditanya saling
bertukar renungan sebelum yang memakan nasi bungkus tadi bersuara,”Taman Bersatu…”
“Biaqla rumput tu panjang sikit….. la ni bukan ada bangau dah!”
kata penganalisis pula. Dua pemotong rumput itu terpinga-pinga. Saya pun, pada
mulanya.
“Hang oghang Tokai, ‘kan?” Tanya penganalisis kepada
pemotong rumput yang tidak memakan nasi bungkus pula. Hamba Allah itu menganggguk,
separa hairan atau kagum. Penganalisis tersenyum.
“Bagi la rumput tu segaq sikit…. Dah la lama dok dahaga,
baghu jumpa hujan, hangpa teguih cantaih. Tak patutla, kan?” Penganalisis
berkata manakala pemotong rumput dari Tokai itu mengangguk dan tersenyum, kelat.
Makin saya meminati watak tersebut. Peramah sungguh. Dan
akan perkataan bangau itu… bukan semua orang ada ‘isi’ seperti itu…..
Semasa saya menghadap komputer kini, wajah penganalisis
tersebut muncul. Saya tersenyum. Mengingat semua gerak dan tuturnya pagi tadi –
termasuk bagaimana dia berdiri dan membongkok sedikit serta mengangkat tabik kepada
seorang rakan semeja yang ingin beredar segera setelah membayar harga minuman di
meja mereka. Banyak insan berwatak begitu di kejiranan saya……
Tiba-tiba saya teringat hal bangau yang disebutnya.
Beberapa kali, pada tahun berbeza di AlFalah, ketika
mengajar tentang Rantaian Makanan, saya mengambil contoh dari lagu warisan kita Oh Bangau.
Bangau oh bangau,
Kenapa engkau kurus?
Kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus
Ikan tak mahu timbul
Ikan tak mahu timbul
Ikan oh ikan
Kenapa engkau tak timbul?
Kenapa engkau tak timbul?
Macam mana aku nak timbul
Rumput panjang sangat
Rumput panjang sangat
Rumput oh rumput
Kenapa engkau panjang?
Kenapa engkau panjang?
Macam mana aku tak panjang
Kerbau tak makan aku
Kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau,
Kenapa tak makan rumput?
Kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan
Perut aku sakit
Perut aku sakit
Perut oh perut,
Kenapa engkau sakit?
Kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit
Makan nasi mentah
Makan nasi mentah
Nasi oh nasi
Kenapa engkau mentah?
Kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah
Api tak mahu menyala
Api tak mahu menyala
Api oh api,
Kenapa engkau tak mahu menyala?
Kenapa engkau tak mahu menyala?
Macam mana aku nak menyala
Kayu api basah
Kayu api basah
Kayu oh kayu,
Kenapa engkau basah?
Kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah
Hujan timpa aku
Hujan timpa aku
Hujan oh hujan,
Kenapa timpa kayu?
Kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa
Katak panggil aku
Katak panggil aku
Katak oh katak
Kenapa panggil hujan?
Kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil
Ular nak makan aku
Ular nak makan aku
Ular oh ular
Kenapa nak makan katak?
Kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan,
Memang makanan aku
Memang makanan aku.
Memang makanan aku
Memang makanan aku.
Dari lagu itu tersusun banyak rantai. Kebanyakan pelajar terhibur mendengar bahagian awal lirik itu dilagukan oleh seekor katak tua...... Dengan mudah mereka dapat menghabiskannya.....
Setiap tahun, akan ada pelajar yang kritis – bertanya bagaimana
mungkin cerita kerbau memakan nasi? Bermacam jawapan saya temukan sebaik
diajukan dahulu kepada rakan sekelas. Hingga kadangkala menimbulkan sedikit
keriuhan.
Jawapan saya mudah: Kerbau zaman dahulu mungkin memakan nasi yang ditanak tuannya! Dalilnya?
Orang zaman dahulu memakan dedak dan menganggap beras sebagai tulang. [Rujuk entri Apa Ada Di AlorSetar ‘Tu?] Jadi, dimasaklah banyak tulang padi itu untuk dijamu
kepada kerbau…. Lagi pula kerbau adalah herbivor……
Jika ada yang
mempertikai lagi, saya akan bertanya: Ayam boleh makan nasi, bukan? Adakah ayam
memasak sendiri nasi tersebut?
Saya teringat. Pernah sekali ada seorang yang tidak berpuas
hati [ mungkin ingin menduga cikgunya ] dengan jawapan yang diberikan. Helmi Zakaria
– budak Gajah Mati. Sampai ke asrama dia berhujah
dengan saya tentang kemunasabahan kerbau memakan nasi!. Kebetulan ada budak
asrama sedang membersihkan periuknya, mengeluarkan nasi semalam, mengggaulnya
dengan kepala dan tulang ikan tamban kering yang digoreng, lalu diberikan
kepada seekor kucing manja. Saya mencuit Helmi yang sedang tersenyum
menampakkan lesung pipitnya menghadap dan menanti hujah cikgunya ini. Dia
menoleh ke arah yang saya tunjukkan – pintu ke dapur asrama – di mana kucing
tadi sedang menikmati makan tengah hari.
“Logikkah seekor kucing memakan nasi yang dimasak sendiri?” Tanya
saya sambil tersenyum. Helmi mencapai songkok Mohammad Daud, rakan sedaerahnya,
lalu membaling ke arah kucing tersebut. Walaupun tidak mengena, kucing itu
tetap berlari ke luar untuk seketika. Helmi ikut tersenyum….
Manis sungguh saat itu……
Hujan masih renyai di luar.
Lama bumi gersang. Benarlah kata penganalisis tadi. Biarlah
rumput itu memanjang segar sedikit…..
No comments:
Post a Comment