21 February 2013

Kenduri Terakhir

Sambungan entri: Catatan Kecil: Kenduri Sekitar Kola

Kami melalui ban bertar cantik untuk mengambil Budak Batas Paip  [BBP] dan anaknya pula. Siap menunggu di tepi jalan adalah anaknya yang dinamakannya sempena salah seorang periwayat hadis terunggul, Imam Bukhari.

BBP muncul dari rumahnya, tersengih dan menghulurkan salam. Dua beranak itu kemudiannya menaiki kereta, duduk bersama Mohd Zairi Mohd Ariff di tempat duduk belakang.

Cikgu Abdur Rahim Daud memandu hingga ke Teluk Kechai sebelum membuat pusingan-U, berpatah ke Batas Paip. Kami perlu menghantar dahulu Zairi ke rumah keluarganya di Alor Ibus - seperti yang saya catatkan sebelum ini - kerana telah berjanji untuk bersama-sama menantu emaknya menghadiri kenduri keluarga besan emaknya di Kangar, Perlis....

Setelah menurunkan Zairi di pinggir jalan di Alor Ibus, Cikgu Rahim memandu keretanya terus, menghala simpang Kampung Pergam, ke Teluk Bagan, Tandop dan seterusnya memasuki lebuhraya.

Waktunya tidaklah selewat dulu. Laluan juga tidak  sesibuk dulu. Dulu itu adalah sewaktu kami - saya, Cikgu Rahim dan Cikgu Non - ke Changlon juga untuk kenduri di rumah yang sama, sehari selepas 'kiamat' itu. [Lihat Selepas 'Kiamat'].

Dalam pukul empat kami sudah berada di Changlon - pekan yang agak sibuk. Jalan menghala ke rumah Sofi masih sesesak dahulu. Beberapa kali lampu trafik dihijaukan barulah kami memasuki jalan tersebut.

Baru sekitar 50 hari saya dan Cikgu Rahim mengunjungi rumah tersebut. Kata orang bau bekas basuh pinggan pun belum hilang sepenuhnya. Kini kami muncul lagi........

Kedudukan khemah juga masih seperti pada 22 Disember lalu. Cuma kali ini kami nampak tuan rumah berada di khemah bersetentang dapur rumahnya, maka kami terus ke situ. Agaknya di situlah juga khemah untuk tetamu lelaki dulunya. Mungkin kerana kami terlewat maka semua tetamu ketika itu dihimpunkan dalam khemah yang berhampiran meja pengantin. Berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa ini, mungkin tepat jangkaan itu. Manalah boleh  meja pengantin jauh dari khemah tetamu perempuan.....

Kami duduk dahulu mengambil nafas. Saya mencari Sofi. Tiada kelibatnya. Yang ada cuma kelibat Wak Sir [Nizam]. Itupun di ruang dapur membelakangi kami. Kelihatan sibuk membungkus lauk untuk saudara-mara, agaknya. Panggilan saya tidak langsung didengarinya. Hingga waktu kami berangkat pulang kelibat beliau tidak muncul-muncul.... Ikut pengalaman kenduri yang lalu, mungkin dia tertidur waktu itu kerana keletihan. Maklumlah, seminggu sebelum kenduri, persediaan tempat dan urusan lainnya terletak di bahu anak ketiga itu - dia yang tinggal bersama emak ayah di situ........ Tidak mengapalah Wak Sir. Kami faham......

Saya menggunakan telefon untuk mencari Sofi. Mulanya hendak mengacah sedikit. Mungkin dia sedang sibuk juga di dalam rumah atau di bahagian belakangnya.

"Lauk banyak lagi ka?" tanya saya sebaik bertukar salam.

"Ada lagi.... Mai la...." balasnya.

Saya tersenyum. "Ni dok ada dalam khemah dah ni, " balas saya. "Dok tang mana? Tak nampak pun...."

"Di Changlon! Ada hal sikit......"

"Lambat ka?"

...................


Bagai diagak oleh anak BBP, Sofi kena menghantar anaknya ke asrama Maktab Mahmud, Alor Setar. Alamatnya lambat lagilah Sofi dapat berpatah balik. Alamatnya lagi, tidaklah dapat BBP bertemu otai AlFalah tersebut di rumah keluarganya itu.......

Isterinya, Puan Nasibah, muncul memaklumkan hal itu. Agaknya dibisikkan di telefon oleh Sofi. Selepas berbual seketika sebelum dipanggil oleh seseorang di dalam rumah, tempatnya diganti pula oleh Hasliza Ahmad - adik Sofi. Sekali lagi, agaknya dibisikkan pula oleh abangnya kerana jika tidak, dia tidak akan nampak kami di khemah yang terlindung oleh ruang depan rumah....

Sebelum itu, kami bangun mengambil makanan.Sofi ada menyebut laksa. saya tercari-cari sendiri, tetapi menjumpai bubur kacang, yang rasanya masih sesedap kenduri yang dulu..... Itu lagilah digemari....

Sementara itu, kalimat sesedap kenduri yang dulu, rupanya ada di lubuk hati Cikgu Rahim. Bersama BBP dan anaknya, mereka menyental nasi bersama gulai daging dan terutamanya tulang. Akan tetapi, selak gulai baru nampak nasinya.....

Bukhari malah disarankan oleh mak penanggah supaya mengambil bahagian tulang yang agak besar - yang agaknya pada awal tadi dilihat sambil air liur menitik oleh peminat tulang gear box...... Tersipu-sipu juga anak BBP itu mulanya. Mulanya....!

Habis sekali setelah lama menikmati tekstur daging yang berbaur mesra dengan rempah, dimasak di atas api yang sederhana itu....hehehehe.... mereka semuanya bangun untuk mencari tulang lagi.

Saya ikut untuk kemudiannya menyokong BBP memasukkan seketul lagi tulang besar berdaging ke sebuah pinggan lain.
Kemudian, saya ikut dia ke meja makan dan sebagai habuannya, saya ikut meratah...... Sambil mengunyah daging atau mencungkil isi dari tulang, sesekali kami menjilat jari - menikmati rasa rempah yang enak.

Sambil itu, barulah apa yang ada di lubuk hati Cikgu Rahim diluahkan. Dia memang menyediakan suatu ruang dalam perutnya untuk menikmati gulai itu, katanya. Sebab itulah dia tidak selaju saya menyuap makanan di rumah di Taman Marina dan di Pulau Gezambo. Bukan tidak makan, cumanya berawas supaya ada ruang kosong....

Sambil itu dia berdoa agar akan ada gulai seperti kenduri yang dulu...

Doanya dikabulkan dan dia mengaplikasikan rasa syukur dengan berpulun sakan menewaskan tulang berdaging itu dan mengunyahnya sepuas mungkin....

BBP dan anaknya, Bukhari, turut mengikut rentak Cikgu Rahim. Bergelumang dengan gulai tersebut. Dia tentulah tidak bermasalah di ruang perut. Ketika saya hubunginya semasa masih di Pulau Gezambo lagi, dia telah mengurangkan kandungan ususnya di rumah. Nampaknya dia membuat persediaan juga walaupun bertempur begitu di situ, buat kali pertama.....

"Kalaulah ada Cikgu Non sama..." kata Cikgu Rahim atau saya, mengenangkan ketekunan sahabat kami itu melakukan hal yang serupa pada kenduri yang dulu.....

Kali ini tiada air kopi o kaw. Mungkin  kerana tiada hujan membilas pada petang itu.....

Namun mereka puas. Saya pun.

Tetapi ada sedikit pilu tatkala menyebutkan inilah kenduri terakhir di situ. Telah habis anak Pakcik Ahmad - dikenali sebagai Bang Mail di kampungnya - mendirikan rumah tangga ....

Kenduri terakhir.

Mulanya itulah sahaja sebab tunggal kami mahu juga ke situ dalam kesibukan banyak lagi kenduri. Rupa-rupanya, serampang telah menjadi dua matanya..... kenduri dan gulai itu.....

Punya teruja mencatat, terlupa pula kisah Hasliza.....

Dia yang mengajar di Kay El, bercerita tentang keluarganya - suami dan anak-anak. Salah seorang anaknya berada di sampingnya ketika itu. Dia berkisah tentang terpaksa memberanikan diri memandu di Lembah Kelang itu serta bercerita bagaimana memandu sendiri pulang kali ini kerana suaminya baru sahaja bertukar kerja, dan sukar mendapat cuti. Pada kenduri yang dulu, kami sempat berjumpa suaminya itu.

Hasliza mempelawa kami singgah di rumahnya jika dan apabila berada di sekitar KL.

Selain itu, seperti lazimnya bagi budak AlFalah, Hasliza -  yang muncul di situ pada tahun 1983 dan meninggalkannya pada tahun 1989 - bertanya tentang beberapa rakan sekolah dahulu, termasuk adik saya yang sekelas dengannya. Saya dan Cikgu Rahim pun menjawablah sekadar yang mampu....

Setelah rancak berbual dan bernostalgia, dia bertanya tentang insan yang hanya mendengar di sisi saya. Apa lagi, terus saya memperkenalkan BBP kepada Hasliza. "Ni adminnya..." kata saya merujuk kepada grup

2 comments:

wiraosman said...

Kena blajar ilmu buat gulai

Anonymous said...

Sambil mengunyah daging atau mencungkil isi dari tulang, sesekali kami menjilat jari - menikmati rasa rempah yang enak.

Fuh!!!! Di kampung mana? Saya pun dok area Chnglon juga....