16 February 2013

Ustaz Shokhawi Mohammad


Beberapa orang bekas pelajar AlFalah bertanyakan tentang seorang ustaz yang telah lama meninggal – Ustaz Shokhawi Hj Mohammad.

Nama arwah ustaz ini, muncul dalam dua entri secara sepintas lalu, paling baru pada entri BudakBatas Paip, Alor Ibus Dan ….. Yan. Kebetulan anak arwah  - Zulhilmi bin Shokhawi - turut membacanya dan mencatat sedikit di dalam ruang komen. Di dalam satu entri lain, Mereka Pernah Singgah DiAlFalah Dan.... Di Hati,keluarga arwah – mungkin- membuat pembetulan nama, ketika saya hanya menulis sebagai Sakhawi berdasarkan panggilan kami dahulu.


Bekas pelajar yang bertanya itu adalah dari generasi dekad 90-an. Bagi mereka, sememangnya, nama itu begitu asing – menyebabkan timbulnya pertanyaan di atas.

Saya tidak mengingat dengan tepat tahunnya Ustaz Shokhawi berada di AlFalah. Namun yang pasti beliau mengajar di situ pada suku ketiga dekad 80-an, tidak lama selepas kematian Ustaz Hj Azizan Hj Mustaffa (1985). Pun begitu tidak juga lama beliau bersama kami kerana ketika Cikgu Non mula bertugas di situ(1987), ustaz yang berasal dari Alor Ibus itu telah pun meninggalkan  AlFalah.

Ustaz Shokhawi adalah ipar kepada Ustaz Hj Ahmad Fauzi Hj Mustaffa , pengasas bersama AlFalah yang kemudiannya mengasaskan Pondok Fauzi – kini Sekolah Menengah Agama Fauzi – di Sungai Yan. Kakaknya, Hajjah Nafisah Hj Mohammad adalah ibu kepada Ustaz Sazali Hj Ahmad Fauzi, mudir SMA Fauzi sekarang. Malah adiknya, arwah Ustaz Sobri Hj Mohammad, yang saya kenal rapat – pernah diceritakan sedikit di dalam salah satu entri Hantu Punya Hantu -  adalah bekas Penolong Kanan sekolah tersebut. Saudara lelaki Ustaz Sazali serta almarhumah kakaknya turut menjadi tenaga pengajar di situ.

Walaupun tidak lama kenal, Ustaz Shokhawi agak rapat dengan saya. Beliau rajin berbual dan sering bercerita tentang pengalamannya mengajar, termasuk ketika ditugaskan di Sabah, di bawah Kementerian Pelajaran pada dekad 70-an. Disebabkan masalah kesihatan, beliau kemudiannya balik bertugas di Semenanjung. Saya lupa di sekolah mana, sama seperti tidak juga mampu saya ingat ceritanya bagaimana dia boleh menjadi guru Majlis Agama Islam Kedah dan bertugas di Langkawi. Di pulau Mahsuri itu, di Ulu Melaka, beliau menjadi rakan setugas Ustaz Zahari Ahmad, di Madrasah Al Islah [ kini Maktab Mahmud cawangan Langkawi]. Kebetulan mereka adalah bekas pelajar AlFalah pada tahun 60-an dan tidak lama setelah ustaz dari Kampung Pisang itu bertukar ke AlFalah, kebetulan lagi Ustaz Shokhawi juga dipindahkan ke situ.

Saya masih ingat bagaimana beliau datang bertugas dengan memakai kain pelikat, tidak berseluar pentalon seperti guru-guru lelaki yang lain. “Selesa macam ‘ni….”katanya selalu.

Seorang yang sangat menepati masa – baik waktu masuk dan keluar kelas. Bukan sekali dua saya pernah terbabas waktu mengajar dan terpaksa meminta maaf kepadanya yang sedia menunggu di tepi pintu kelas untuk mengambil alih tugas.

Cikgu Abdur Rahim Daud, selalu bercerita, amat mengagumi satu sikap beliau. Setiap kali mendapat gaji, Ustaz Sokhawi akan termenung panjang. Sesekali seolah mengeluh. “Berbaloikah gaji yang depa bagi? Sikit sangat kerja yang ana buat….” Demikian ujarnya selalu.

Seperti Cikgu Rahim, saya juga tidak pernah berjumpa insan yang menyoal begitu pada setiap kali beroleh gaji…. Anda ada?

Demikianlah.

Beliau mempunyai enam orang anak, kalau tidak silap. “Tapi hanya satu orang dapur,” katanya, dan dalam tersenyum sempat juga menyambung,” jenuh cari duit ‘nak boleh menantu….”

Ustaz Shokhawi mesra dengan kebanyakan pelajar dan mereka pula menyenanginya di sebalik wajahnya yang kelihatan serius.

Satu peristiwa yang masih saya ingat adalah ketika seluruh pelajar dan guru diminta memakan sirih pinang dari dukun yang cuba membanteras gangguan di sekolah. Gangguan tersebut boleh dibaca di dalam entri Hantu Punya Hantu yang dicatat di dalam tiga episod itu.

Bukan semua pelajar boleh dan mahu mengunyah sirih pinang dan menelannya. Malah kebanyakan guru juga demikian halnya.

Setelah menerima seorang sepiak sirih pinang pada satu perhimpunan khas pada pagi itu, Ustaz Shokhawi teragak-agak untuk mengunyahnya. Tetapi beliau mempunyai alasan -  sedang merawati penyakitnya dan memakan ubat berbeza. Beliau nantinya ingin meminta kepastian terlebih dahulu dari ibunya, kalau tidak silap, sama ada boleh memakan ubat lain [sirih pinang] ketika masih mengambil ubat yang diamalkannya selalu.

Pelajar yang tidak mahu mengunyah sirih pinang, yang sedang diawasi oleh guru-guru, seakan tidak puashati sedikit. “Ustaz tak makan tak apa pun….” Kata beberapa orang, sambil menunjuk ke arah Ustaz Shokhawi yang sedang berjalan ke bilik guru.

Riuh juga suasana. Suara pelajar yang enggan mengunyah itu berbaur dengan pelbagai pula bunyi dari mulut dan kerongkong  pelajar yang mematuhi arahan. Paling banyak bunyi ‘ptuih, ptuih’ ludahan mereka, malah ada juga yang hampir muntah dengan mata sudah berair, menelan air sirih pinang…..

Agaknya mendengar riuh pelajar yang enggan mengunyah mengerumuni seorang guru yang mengawas, terdengar sama dirinya dirujuk“Ustaz tak makan tak apa pun….” tadi, Ustaz Shokhawi keluar menggamit mereka. Semua – lebih sedozen – pelajar beralih kepada beliau yang berdiri di tepi tangga asrama puteri. Di tangannya terdapat piak sirih pinang.

 “Masa ana di Langkawi dulu ada lima orang ‘nak berhenti sekolah , tak tahan dicekik setiap pagi pasai tak mau kunyah sirih pinang ‘tu. Kerana depa bantah sangat. Orang lain yang makan tak kena kacau pun….”

Pelajar yang ada saling berpandangan. Dipendekkan, akhirnya semua mengunyah walaupun sedikit, sekadar ada air sepahnya, lalu menelan. Terkial-kial juga, ada yang terbatuk-batuk. Ptuih,ptuih, meludah.

Lama kemudian ada pelajar yang bertanya kesudahan nasib lima pelajar yang bantah di Langkawi itu.

“Depa elok balik, bila ana suruh depa kunyah dan telan air sirih ‘tu….” ujar  Ustaz Shokhawi sambil tersenyum.

“Ustaz habaq macam mana kat depa?”Tanya seorang pelajar pula.

Kali ini Ustaz Sokhawi tertawa sebelum menjawab.

“Ana cerita: Masa ana di Sabah dulu ada lima orang ‘nak berhenti sekolah , tak tahan dicekik setiap pagi pasai tak mau kunyah sirih pinang ‘tu. Kerana depa bantah sangat. Orang lain yang makan tak kena kacau pun….”

Saya menumpang menyambung tawa Ustaz Shokhawi.

Pelajar  yang ada saling berpandangan, sebelum ikut ketawa.

Demikianlah.

Ustaz Shokhawi bermertuakan orang Sungai Yan. Banyak kali juga saya ke situ, berjumpa bapa mertuanya yang kami panggil Pak Choq [Mansor]. Jadi tahulah saya lokasi rumahnya  di jalan ke Teroi dan Guar Chempedak itu.Yang peliknya tidak sekali pun saya pergi dengan Ustaz Shokhawi, sebaliknya bersama Hj Sehabudin Hj Azizan, abang Ustaz Fairose, atas urusan sekolah dan peribadi.

Ada seorang adik ipar Ustaz Shokhawi mengajar di Sek Men Agama Sungai Limau ketika itu. Saya hanya mengetahuinya dari Cikgu Mohd Faisol Abdul Hamid ketika pernah bersama berkursus dalam cuti di Maktab Mahmud, Alor Setar, serta kursus-kursus lain anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan Kementerian Pelajaran.

Ustaz Shokhawi meninggal ketika tidak lagi mengajar di AlFalah. Entah kenapa, saya hanya mengetahuinya tiga empat hari kemudian.

Beliau dalam proses mendapatkan rawatan atas kemerosotan kesihatannya. Butiran tasbih berada di genggamannya tatkala menghembuskan nafas terakhir…….

Semoga roh sahabat dan guru kita itu sentiasa dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama-sama roh mukminin dan mukminat . Amin.

3 comments:

Anonymous said...

Dulu rumah pak lang shokhawi depan rumah saya.masa kecil dia yg ajar saya bacaan ayat untuk solat brsama2 anak2nya.dia tegas dgn ank2nya tp dgn saya lembut dia perbetul bacaan.jika tak bergaduh dengan anak2nya (zul&adik mat)malam tu saya tidur di rumahnya.masih terbayang di ingatan wajah pak lang yang akan panggil saya di celah pohon nipah untuk datang ke rumahnya setiap petang untuk belajar mengaji.

yg di atas tu Farihah Abdullah yg tulis dalam fb alfalah. saya kutip bubuh sini. walaupun saya tidak kenal ustaz tersebut tapi kakak saya pernah belajar dgnnya di falah.

terima ksih cipher atas sedikit info ttg arwah.

Anonymous said...

seluar pentalon!
lama tak dengar perkataan tu ,bro...

zulhilmi shokhawi said...

terima kasih atas nukilan ini....