6 Jun.
Ada kenduri di Taman Bersatu. Rumah Encik Ayob, ayahnya
Azura, mertuanya Saiful Adly. Pernikahan anak kedua/bongsu, juga bekas Budak
Falah – Hafiz.
Sebelas jam selepas berpisah dengan BBP di rumah Cikgu Non -
setelah pulang dari Gajah Mati dalam misi yang menjadi - saya menghubunginya
semula. Dia mahu pergi dalam saat terdekat dan mengajak saya menyertainya. Saya hubungi
Cikgu Non yang member i waktu yang sesuai untuknya – sekitar jam 3 petang. Dia
perlu memenuhi jemputan lain di Bukit Raya bersama keluarganya. Maka saya
maklumkan hal tersebut kepada BBP. Maka tidaklah dapat kami menghadap juadah
bersama di bawah khemah pada tengah hari itu.
zzzzzzZZZZZZZZZZzzzzzzzzz………
Pada waktu yang ditetapkan tadi, saya dan Cikgu Non bertolak
ke Taman Bersatu. Terus sahaja di jalan utama, melepasi masjid. Sampai di depan
SK Taman Bersatu – tempat perjumpaan raya Alumni AlFalah tahun lalu – kami
sedikit keliru. Ada dua kenduri rasanya, berdasarkan ada khemah yang kami
nampak pada satu lorong lain sebelum sampai di situ. Mana satu rumahnya Encik
Ayob?
Saya mendail nombor BBP. Setiausahanya yang menjawab
menyuruh saya tinggalkan pesanan….. Dua
tiga kali didail, setiausahanya dengan istiqamahnya tetap berkata
begitu……Sudah! Sedang mengqada lena yang tidak cukup kuota semalam agaknya BBP
ini….
Akhirnya, saya mendail nombor menantu sulung Encik Ayob,
Saiful.
“Cikgu mai straight, nampak khemah Kedah Sejahtera
‘tu, dia la…..” kata Saiful.
Saya menoleh. Bukan setakat nampak tenda jalur bertulis
Kedah Sejahtera di tepi jalan itu, malah dengan Saiful sendiri saya nampak –
sedang memasukkan telefon ke dalam poket baju melayunya sambil mata memandang
jauh jalan utama yang lurus. Sedang mencari kamilah agaknya ……
Saya dan Cikgu Non melangkah melintasi jalan. Rupanya dekat
sahaja rumah Saiful/Azura dengan SK Taman Bersatu tapi hairannya mereka tidak
muncul pada perjumpaan raya tahun lalu…..”Tak kena panggil…..” begitu kata
Saiful satu ketika. Entah bergurau atau sungguhan.
Ketika menghampiri Saiful yang masih tidak nampak kami, saya
melihat Husin Latehsedang berjalan untuk bersalam dengan orang kuat tuan rumah
itu. Di belakangnya ada seorang lagi yang cukup saya kenal – Karim Bakar! Juga
sedang ingin bersalam dengan Saiful. Kedua-duanya sudah mahu pulang.
“Mana boleh balik lagi, kami baru mai ‘ni….”saya menepuk
bahu Karim. Husin dan Saiful tersengih. Kami bersalaman. Lama sungguh saya
tidak berjumpa Karim – tidak jauh dari sedekad!
“Jom teman kami makan!”kata pula Cikgu Non. Mereka yang cuba
memberi alasan tetap tidak kami lepaskan. Akhirnya kedua-duanya akur. Kembali
ke dalam khemah tetamu.
Saya dan Cikgu Non dengan diiringi Saiful berjumpa dahulu
dengan tuan rumah, Encik Ayob – bekas pemastautin Kg Perlis satu ketika dahulu
sebelum berpindah dan menetap di Taman Bersatu ini.
Sempat juga saya ditegur oleh seseorang yang
tersenyum-senyum sambil mendukung anak kecil.
“Cikgu kenal saya dak?” tanyanya sambil menghulurkan tangan
kanan. Kalau soalan kacang begitu, jawapannya takkanlah berbentuk kacang-kacang! Pastilah
dia Budak Falah dan tentulah saya jawab kenal… Dia tersengih. Tapi secara jujur,
memang saya kenal mukanya, malangnya dalam keadaan itu saya tidak dapat
mengingat namanya. Dua tiga hari selepas itu, ketika berjumpa semula Saiful
barulah saya tahu namanya Abdul Mutalib Mustaffa, sepupu Azura…
Saya dan Cikgu Non terus
ke tempat nasi dan lauk. Saya yang tidak makan sejak 6 jam yang lalu
tidak menunggu lama untuk memenuhkan pinggan dengan menu yang disediakan. Cikgu
Non mungkin tidak seteruja saya di dalam bab tersebut kerana telah menjamah
nasi kenduri di Bukit Raya sebelum itu.
Kami beredar ke meja yang telah menunggu di situ adalah Husin
dan Karim. Mereka sekadar memerhati dan menjadi teman berbual.Seketika, muncul
Nazri Shuib bersama dua anaknya yang baru selesai makan. Riuh jugalah walaupun
sekadar lima enam orang.
[Karim adalah pelajar AlFalah bermula di Peralihan 1987 – seperingkat dengan Rafidi, Zairi, Saufe
Che Rose, Zamzurina, Nazri Abu Seman …… cukup peramah, mudah mesra dan agak
vokal ketika bercakap. Saya cukup menyenanginya. Seorang yang boleh meredakan
tekanan dengan keletahnya sahaja…..Membuat pelbagai projek selepas meninggalkan
AlFalah – di antaranya perusahaan memproses sos, menanam cili, dan kini
mengedarkan baja melalui sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Nerang. Dia
agak rapat dengan saya sekitar 10-15 tahun lalu, namun terputus hubungan
setelah menukar nombor telefon dan tempat tinggal…… Akan hal berkaitannya bakal saya paparkan di
dalam entri lain. Tidak manislah mengganggu entri majlis kenduri orang ini, kan? ……
Lagi pula, bagi saya, Karim perlu mendapat satu slot khas. Tunggulah.]
Saiful datang sekejap melihat kami. Memaklumkan Cikgu Shon dan Cikgu Maliki datang awal tengah hari serentak dengan kehadiran BBP.
Kemudian tiba pula
pengantin lelaki, Hafiz, adik tunggal Azura. Segak dalam busana pengantin, siap
dengan keris bersarung terselit di pinggang. Bersalam dengan kami. Meski tidak
pernah berjumpa semenjak masing-masing meninggalkan AlFalah, Hafiz masih
semesra dulu.
“Cuba hang cabut keris ‘tu tengok!” usik Cikgu Non. Hafiz
tersengih dan belumpun dia bertindak, namanya dipanggil oleh seseorang dari meja
berhampiran. Dia pamit.
“Cikgu kenai Syed?” Tanya Saiful. Saya mengangguk. Di
AlFalah, kalau tidak silap hanya dua orang berpangkal nama Syed pernah
berdaftar. Memang saya tahu salah seorangnya tinggal di Taman Bersatu.
“Tu, yang jaket koko ‘tu….” Unjuk Saiful ke arah khemah
kecil yang menempatkan dj. Nampak Syed – saya lupa nama penuhnya. Syed Mohd
Faisal, kalau tidak salah. Dia sedang asyik melihat dj yang rajin berceloteh. Raja sehari
juga telah berada di situ. Saya terkenang Syed di AlFalah dahulu yang sering
saling mengacah mencucuk perut bersama saya. Adakah dia masih kenal diri ini?
Hafiz sedang
ditemubual oleh dj. Syed tersengih melihat mereka. Beberapa rakan pengantin
kedengaran menyuruhnya menyanyi. Ada satu dua tepukan memberi galakan. Buah
butir perbualan dj dan Hafiz tenggelam timbul.
Saya dan Cikgu Non meneruskan tugas menghabiskan apa yang
ada di pinggan. Malah saya turut meratah tapai di dalam pinggan yang
terletak di atas meja. Kemudian kami bangun mengambil bubur kacang pula. Bukanlah
belum kenyang dengan nasi. Sajalah dari terbiar meja kosong dan geraham tidak
ada kerja….. Lagi pula penjaga lopak parkir
di dalam perut menyatakan masih ada beberapa lopak kosong…….. Sambil itu acara
berbual dengan Husin dan Karim tetaplah berterusan.
Azura muncul. Tersenyum. Dia bersama Saiful ke kejiranan kami, tepatnya
ke rumah Cikgu Non, dua minggu sebelumnya untuk menghantar kad undangan.
Terdapat lintangan aral yang menghalang saya dari berjumpa mereka pada ketika
itu. Maka, jika dikirakan telah lama jugalah tidak saya jumpa Azura.
“Macam mana depa boleh panggil hang? Saya cari bukan main
susah lagi….” Tanya saya.
“Depa tinggal kad di rumah mak saya……” balas Karim selamba.
Kalaulah pertanyaan saya tadi tertulis di atas kertas, mahu saja saya
renyukkan. Apa punya murah nilai soalan itu….Mengapa saya tidak terfikir
tentang rumah emaknya yang terletak di tengah sawah di kampungnya yang
bersempadan dengan Kg Perlis itu….
“Hangpa jadi lagu mana?” Mulut yang masih mengunyah tetap
melontarkan soalan, seolah ingin menutup soalan bodoh awal tadi.
“Saya pak penakan sepupu dia….” Jawab Karim sambil memandang
Azura yang sedang mengangguk mengesahkan.
“Kiranya hangpa ‘ni bukan orangla…..”kata saya lagi.
Nazri Shuib, Budak Falah dari Kg Perlis yang berada di sebelah saya tertawa.
“Bukan orang lain….”kata Karim. Tersengih.
Azura sempat mengusik Karim . “Patutnya buat baja, kemudian
tanam cabai, baru buat sos. Ni Paklang[kalau tidak silap panggilannya] buat sos
dulu, baru tanam cabai. La ‘ni baru jual baja…..” begitulah lebih kurang
disakatnya Karim, merujuk aktiviti lelaki asal Teluk Bulang itu. Bapa saudara
sepupunya itu terus tersengih.
Ketika Azura meminta diri untuk beredar dari khemah kami,
saya terdengar tepukan beberapa orang di khemah berhampiran tempat dj. Hafiz
sedang memegang mikrofon sambil berdiri menghadap skrin komputer riba yang
sedang diriba oleh meja bersebelahan Syed. Muzik berbunyi. Syed tersengih
mendongak melihat wajah Hafiz. Dj mencelah mengumumkan lagu yang bakal
dinyanyikan Hafiz ditujukan kepada pengantin perempuan sebagai tanda kasih…..
Maka terlontarlah suara Hafiz mengalunkan lagu Ratuku,
nyanyian asal Awie. Meremang bulu roma mendengarnya sebaik dia melafazkan Bisikan yang pertama, membawa erti untuk selamanya. Boleh tahan suaranya.
Kalau Awie mencari pelapis, Hafiz boleh masuk dalam senarai Top 500. Setiap
malam bertandang selepas ini, pastilah isterinya akan meminta Hafiz mendodoikannya dengan
lagu itu buat mendapatkan lena yang nyaman….
Sambil itu kami terus berbual. Tidak lama, Nazri Shuib meminta diri mahu
pulang dahulu setelah isterinya selesai makan. Tinggal kami berempat meneruskan
perbualan. Tentang kerjaya Karim yang paling banyak diperkatakan.. Maklumlah lama kami tidak
berjumpa lelaki yang kini sudah bermata empat dan berkahwin dua kali….
[Dia bercerita tentang Razak Othman, rakan sekelasnya di AlFalah yang kini menjadi saudagar ikan di Taman Bersatu. Saya pula bercerita tentang salah faham lama dahulu apabila mendapat undangan dari seorang bekas pelajar puteri AlFalah. Di kad itu tertulis pasangannya bernama Razak Othman. Saya kira tentulah jodohnya sesama Budak Falah. Rupanya orang lain, cuma kebetulan sama nama penuh Mendengar itu Karim terlopong kerana Razak yang bukan Budak Falah itu merupakan kenalan rapatnya. Malah pernah beberapa minggu lalu pergi mengambil kereta di rumah kenalan tersebut. Kebetulan kenalan itu tiada di rumah. Hanya berjumpa isterinya.. "Saya panggil kak masa jumpa itu...." Husin tergelak. Saya pun. Cikgu Non juga. "Hang panggil kak kat dia?" tanya Husin. Karim mengangguk. "Tu la rakan sekelas hang dahulu..." tokok Husin. "Mana aku kenai..."balas Karim, "dia pun tak kenai aku....". "Elok!" kata saya.]
[Dia bercerita tentang Razak Othman, rakan sekelasnya di AlFalah yang kini menjadi saudagar ikan di Taman Bersatu. Saya pula bercerita tentang salah faham lama dahulu apabila mendapat undangan dari seorang bekas pelajar puteri AlFalah. Di kad itu tertulis pasangannya bernama Razak Othman. Saya kira tentulah jodohnya sesama Budak Falah. Rupanya orang lain, cuma kebetulan sama nama penuh Mendengar itu Karim terlopong kerana Razak yang bukan Budak Falah itu merupakan kenalan rapatnya. Malah pernah beberapa minggu lalu pergi mengambil kereta di rumah kenalan tersebut. Kebetulan kenalan itu tiada di rumah. Hanya berjumpa isterinya.. "Saya panggil kak masa jumpa itu...." Husin tergelak. Saya pun. Cikgu Non juga. "Hang panggil kak kat dia?" tanya Husin. Karim mengangguk. "Tu la rakan sekelas hang dahulu..." tokok Husin. "Mana aku kenai..."balas Karim, "dia pun tak kenai aku....". "Elok!" kata saya.]
Lama setelah Hafiz selesai menyanyi, barulah saya perasan
bahawa Syed telah tiada di tempat dj tadi. Tidak sempatlah saya bertemunya bagi
menguji daya ingatannya terhadap saya. Akan adakah kesempatan lain?
Ketika kami melangkah pulang, saya sempat bersalaman sekali
lagi dengan Encik Ayob dan Hafiz. Hafiz menarik lengan isterinya dan
memperkenalkan saya sebagai bekas gurunya. Isterinya mengangguk dan memberikan
satu senyuman. Manis sekali. Patutlah bersemangat Hafiz melantunkan lagu Ratuku
tadi… Saya sambil membisikkan ucap selamat kepada pengantin lelaki yang tidak
berpisah dengan senyuman itu. Semoga
mereka berbahagia sehingga ke akhirat.
Sebentar kemudian, saya nampak Karim memecut keretanya
meninggalkan lot parkir diikuti oleh Husin Lateh. Kami bersalam dengan Saiful,
lalu masuk ke dalam kereta.
Dalam perjalanan ke luar, saya memandang ke arah dewan SK Taman Bersatu. Nampak macam melambai kepada kami, agaknya masih kenal dengan dua insan di dalam kereta ini.Tunggulah, jika tiada lintangan aral, kita akan berjumpa pada raya keempat nanti……
Tapi tiga hari kemudian, saya difahamkan bahawa dewan itu
telah dipinang oleh orang lain……
No comments:
Post a Comment