Tahun: 1992/93.
Matapelajaran: Matematik
Masa: 40 minit.
Waktu: 1110 - 1150
Guru: Cikgu Non
Semua pelajar sebolehnya sedang menumpukan seluruh perhatian kepada huraian guru yang dengan lantang bersuara di depan. Kecuali seorang.
Dia yang duduk di barisan meja belakang lebih berminat melihat rakan di sebelahnya, Fahrulruzi. Rakan itu, dengan gaya tersendiri, sedang bersandar di atas kerusi yang dua kaki belakang sahaja menjejak ke lantai. Dua kaki kerusi depannya terangkat lebih sejengkal. Bagi mengimbangkan dengan kedudukan badan, Fahrulruzi menumpangkan bahagian belakang kepala bersongkoknya pada dinding kelas.Dalam keadaan demikian pun, perhatian Fahrulruzi dilihatnya tetap ke arah Cikgu Non di hadapan kelas.
Dia yang sentiasa mendapat akal bagi mengenakan kawan sekelas, baik secara lisan mahupun tindakan, memerhati ke arah Cikgu Non yang sedang asyik membuat penerangan sambil menulis di papan hitam. Apabila dirasanya cikgu itu begitu khusyuk demikian, dia kembali berpaling ke arah Fahrulruzi.
Fahrulruzi masih berkedudukan seperti tadi. Kepalanya masih ditampung oleh dinding papanlapis belakang kelas. Kaki depan kerusinya masih terangkat. Fahrulruzi menggunakan kekuatan tengkuk bagi membolehkan kaki depan kerusi itu sedikit turun dan naik.
Dia melihat ke wajah Fahrulruzi.'Inilah masa yang cantik!'bisik hatinya. Dia tersenyum. Dia menjeling ke depan kelas. Cikgu Non yang sedang menghadap papan hitam masih dengan penerangan yang mungkin masih lama akan berakhir...
Dia masih tersenyum. Dengan selamba dia menyuakan sebelah kakinya ke bahagian belakang kaki belakang kerusi yang diduduki Fahrulruzi. Dengan sekuat hati, kakinya menolak kaki belakang kerusi Fahrulruzi. Geseran memanglah ada di antara kaki kerusi dengan lantai simen kelas, tetapi dayanya tentulah tidak mungkin dapat melawan daya kaki manusia yang memang berniat untuk menjatuhkan kawan....
Maka jatuh terlentanglah Fahrulruzi. Mungkin kerana tidak berapa sakit, rakan nan seorang ini masih dengan cepatnya bangun semula mengangkat kerusi. Eh, boleh tersenyum pula... Cuma rasa terkejut masih terlihat pada jalur senyum itu. Dia ikut tersenyum kerana berjaya mengenakan Fahrulruzi. Memang di dalam bab mengena rakan-rakan sekelas, mereka sentiasa bergilir mencari luang dan peluang!
Proses pengajaran dan pembelajaran, malangnya, telah terhenti serta-merta. Seluruh kelas tertumpu kepada mereka di belakang.Menyedari demikian, dia gelabah. Masa seakan ikut terhenti.Pasang aku hari ini! bisik hatinya.
Cikgu Non memanggilnya ke hadapan.Dengan perlahan dan sopan dia mengaturlangkah ke arah Cikgu Non.Seluruh kelas terarah pandangan kepadanya. Suasana sepi.
Di depan kelas, sangkanya tentulah dia akan menyantap penampar atau menu seumpamanya dari Cikgu Non. Namun, cikgu Matematik merangkap guru disiplin sekolah itu tidak menunjukkan ciri-ciri menghimpun tenaga untuk memberikan santapan sebegitu.
Cikgu Non hanya tersenyum sambil merapatkan badan.Mereka berdiri seiring.Tidak ada dakwa-dakwi. Cikgu Non mengambil pen merah di dalam poket di kiri baju, meletakkan pada rusuknya, lalu menjepitkan jari pada pen tersebut. Meski masih berlapik baju, berada di himpitan antara ibu jari Cikgu Non dengan batang pen merah tersebut, secubit isinya bagai memberi rasa sakit yang amat sangat kepada seluruh badan.Matanya berpinar.
Namun dia cuba tersenyum. Cikgu Non juga terus tersenyum. Dan dia nampak Fahrulruzi ikut tersenyum. Namun mafhum bagi setiap senyuman itu pastilah ketara perbezaannya.
Senyumannya bagi menyembunyikan rasa sakit di rusuk badan. Senyuman Cikgu Non mungkin berbaur dengan tekanan kuat pada jepitan jari. Senyuman Fahrulruzi, agaknya, kerana bernasib baik tidak menerima hukuman sedemikian ketika berjaya mengenakan rakan-rakan sekelas pada waktu-waktu lain.....
Fahrulruzi |
Kolam airmatanya sudah tepu. Bila-bila masa sahaja kepungan yang sedang dicubanya boleh terurai, mungkin boleh membasahkan lantai. Dia sudah tidak berdaya.Cikgu Non masih mengekalkan darjah kekuatan jepitan sambil mengekalkan juga senyuman. Adus! Dia bukan lagi setakat nampak wajah ayah dan emak, tetapi juga muka tok dan tokwan!
Ketika dia berkira-kira untuk membuang rasa malu di depan rakan-rakan sekelas, tiba-tiba Cikgu Non menarik tangan sambil memasukkan pen merah kembali ke poket bajunya. Boleh pula cikgu itu kembali mengajar seperti biasa, seolah-olah baru selesai memeriksa buku latihan pelajar....
Tidak dapat dilukiskan kelegaannya ketika itu, seperti tidak dapat pula dituliskan kesakitan yang dialami tadi. Dia kembali ke tempat duduknya dengan maruah yang tidak tercemar....
Sepanjang hayat, dia akan mengingati episod itu.
"Kalau lagi dua tiga saat, saya mungkin tak boleh bertahan,"cerita Budak Batas Paip [BBP] kepada saya, pada suatu malam, di kampung halamannya, dua puluh tahun kemudian.....
"Sakit oooooo...."sambungnya sambil mengerutkan muka. Saya hanya menelan liur...
"Tak percaya, cuba buat tengok,"katanya pula pada kali terakhir saya bercakap dengannya sebelum menyiapkan entri ini. "Tanya Cikgu Non, dia ingat dak lagi...."
Kedua-dua suruhannya tidak akan saya buat: baik mencuba menjepit batang pen dengan jari pada kulit sesiapa, apalagi kulit sendiri, ataupun bertanya sama ada sahabat dan jiran saya itu masih mengingati episod berkenaan.
Biarlah BBP menyimpan pengalaman itu sendiri-sendiri.
Cikgu Non, Babuji, BBP dan Shukeri |
No comments:
Post a Comment