Zamri Zain |
Zamri Zain mungkin
sudah lupa. Namun Cikgu Non tetap mengingatinya setiap kali dibangkitkan nama
Zamri Zain!
Semasa itu Zamri tinggal di asrama.
Pada setiap waktu, selain laungan azan, pasti ada suara
Ustaz Man mengingatkan tentang masuknya setiap waktu. Itu sentuhan peribadi
seorang ustaz. Bukan sedikit yang pernah dimarahinya dengan penuh tanggungjawab
apabila sengaja melambat-lambatkan diri untuk siap ke surau.
Tidak kira solat waktu apa pun, pasti ada penghuni asrama
yang liat. Jika Zuhur dengan kesibukan memasak atau mandi atau membasuh
pakaian, demikian juga pada waktu Asar – dengan tambahan kemungkinan baru
bangun tidur. Maghrib pula, ditambah dengan berpeluhnya akibat aktiviti di
padang, Isyaknya dengan kesibukan makan malam. Subuh, pastilah yang utamanya
masalah bangun tidur dan melampiaskan hajat di tandas…..
Ustaz Man |
Namun, Ustaz Man tetap beristiqamah dalam menyeru penghuni
asrama menyegerakan solat di awal waktu. Ketukan di dinding biliknya dan
ketukan di pintu asrama dengan iringan suaranya yang garau amatlah lumrah didengar
setiap kali masuknya waktu. Jika batas sabarnya hilang, tidak jarang dia
menjirus air ke kepala beberapa penghuni tegar…. “Äpo ‘ni?” katanya selalu
kepada pelajar yang menerima simbahan air, terutama pada awal pagi…
Tapi pagi itu, lain halnya. Zamri yang dikejutkan bunyi jam
locengnya, bangun sambil menyapu muka dan mata. Dia melihat ke luar pintu.
Surau masih diserkup kegelapan. Dia menoleh pula ke bilik Ustaz Man di kiri
pintu asrama. Gelap. Dia kembali melihat jam locengnya. Sudah waktu Subuh. Tiada
rakan seasrama yang terjaga. Tapi yang menimbulkan kehairanannya, Ustaz Man,
yang selama ini tidak pernah gagal bangun lebih awal dari budak asrama, juga
tidak menampakkan tanda telah terjaga dari lena.
Pasti begitu nyenyak sekali lena Ustaz Man malam tadi, fikir
Zamri. Setelah terpaku di katilnya seminit dua, Zamri bangun semula. Sambil
mengelokkan keadaan kain yang dipakainya, dia melangkah keluar. Pintu bilik
Ustaz Man dihampirinya. Dia mengetuk pintu itu.
“Ustaz! Ustaz! Dah Subuh ‘ni…..”katanya perlahan sambil
terus mengetuk pintu.
“Ustaz! Ustaz! Dah Subuh ‘ni…..” ulang Zamri lagi apabila
tiada jawapan dari Ustaz Man. Ketukan di pintu dikuatkan. Begitu juga dengan
suaranya.
“Ustaz! Ustaz! Dah Subuh ‘ni…..”
Terdengar suara yang tidak jelas dari bilik Ustaz Man. Zamri
tidak faham. Pintu diketuk lagi sambil mengulang frasa yang sama di mulutnya.
Lebih kuat nadanya.
“Ustaz! Ustaz! Dah Subuh ‘ni…..”
Akhirnya pintu bilik Ustaz Man terbuka. Muncul ustaz itu dengan
berkain pelikat merah hitam petak besar-besar serta bersinglet di badan.
Ternyata beliau sedang mengawal sangapnya. Wajahnya mencuka.
“Ado apo?” tanyanya sambil dua tangan di angkat tinggi pada
jenang atas pintu.
“Dah Subuh ‘dah……” jawab Zamri ringkas.
“Mu gilo ko? Lo ‘ni baghu pukul tigo…….” Kata Ustaz Man
sambil kembali menguap dan memegang daun pintu untuk ditutup. Dia berhak untuk
mencuka malah mengasid kerana lenanya telah terganggu….
Zamri yang terkulat-kulat kehairanan kembali ke katilnya.
Memandang semula muka jam locengnya. Tidak pernah jam itu membohonginya selama
ini. Sah, sudah lama masuk waktu Subuh. Tetapi macam mana ustaz kata….
Dalam kehairanan, sambil memegang jam, dia merebahkan badan
semula. Macam mana kali ini jam boleh tersalah waktu……
Tidak jauh dari situ, Cikgu Non terhinggut-hinggut badannya
menahan tawa. Dia yang belum pun terlena bersama beberapa orang lain
yang bersubahat, cuba untuk tidak mengganggu
Zamri yang sedang keliru pada pukul tiga pagi tu……
No comments:
Post a Comment