11 July 2013

Ramadan, Ustaz Fairose dan Al Watan


Ustaz Fairose [kanan] pada 31 Mac 2013 
Apabila disahkan bahawa kita mula berpuasa pada hari Rabu, pagi Selasa saya betul-betul teringatkan Ustaz Fairose. Sahabat yang saya panggil Pirud itu telah agak lama tidak saya temui. Masing-masing  membawa haluan….

Menjelang tengah hari itu, saya ke rumah Maklong/Maklang di kawasan AlFalah yang masih terjajah itu…. Saya sebutkan rindu pada sahabat yang juga saya panggil Wak – panggilan yang muncul selepas beliau belajar di Sumatera. Kata Maklong, Ahad lepas Ustaz Fairose pulang sebentar atas urusan mengenai anaknya yang akan menduduki SPM di sekolah berhampiran kampung mertuanya.

Apa hubungan bulan Ramadan dengan ingatan terhadap mantan pengetua AlFalah itu?

Dahulu – lama dahulu, sejak sama-sama masih belum bermertua  – setiap kali bakal menyambut bulan puasa, biasanya saya atau Ustaz Fairose akan menyanyikan baris pertama bait pertama sebuah lagu nyanyian Orkes AlWathan, dari Medan. Lagu Ramadan itu turut dirakamkan oleh Orkes El Suraya, juga dari Medan. [Tidak tahulah orkes mana yang terlebih dahulu merakamkannya. Biarlah, bukan masuk di dalam mana-mana buku teks sekolah Malaysia. Lagi pun, itu perkara biasa. Lagu Seroja nyanyian asal S Effendy entah berapa orang yang rakamkan – Al Jawaher, Rabbani, Ismail Haron, Syarifah Aini, dan lainnya sebelum dilagukan semula oleh Jamal Abdillah yang kemudian diikuti oleh Mawi yang turut mengikut Jamal melagukan semula Gadis Melayu , yang aslinya dinyanyikan oleh Achmad Albar tapi popular pada hujung dekad 70-an di Malaysia dan Singapura setelah dirakam oleh Othman Hamzah…]

Baris yang dimaksudkan itu ialah:
Ramadan bulan yang suci

Walaupun senikata lagu itu cukup bermakna, namun kami hanya menghafal baris tersebut!Kalau Ustaz Fairose yang melantunkannya, sayalah yang akan mengambil peranan membunyikan biola. Begitulah sebaliknya

Kalau anda pernah mendengar lagu itu pasti anda dapat mengesan bunyi biola sebaik bait tersebut dinyanyikan. Maaflah kerana bunyi biola tidak dapat ditulis….. Tapi setiap kali salah seorang menyanyikan baris tersebut, yang seorang lagi akan membunyikan gheeee atau enggggggg mengikut irama yang dihasilkan oleh gesekan biola itu. Anda dengarlah sendiri lagu ini untuk memahaminya.[cari saja dalam Youtube: El Suraya-Ramadan.Mahu dimuatkan di sini buat berat sahaja....]

Setiap kali baris tersebut dan susulan bunyi biola itu selesai, kami akan tertawa bersama. Manis sungguh detik itu…..

Kadangkala kalau saya mahu memanggil Ustaz Fairose yang berada di dalam rumahnya, saya hanya perlu menyanyikan Ramadan bulan yang suci, maka akan terdengarlah jawabannya: gheeeeeee……….

Lamanya masa yang telah ditinggalkan itu. Dari belum  bermertua, kini Ustaz Fairose pula sudah boleh menjadi mertua orang…..

Pirud, aku kangen bangat sama kamu dan masa itu……… Kerana itulah, agaknya,  tanpa segan saya melagukan bait tersebut di dapur rumah Maklong pada hari Selasa lalu. Malangnya tiada sambutan gheeee lagi……

Selamat berpuasa. Gheeeee!

Ramadan bulan yang suci
rahmat berlimpah dari Ilahi
banyakkan amal di bulan ini
wajah muslimin selalu berseri

Pintu syurga Tuhan buka
Pintu neraka Ia tutupkan
Dirantai hina segala syaitan
Ikhlas ibadat kepada Tuhan

Di bulan ini nuzulnya Quran
Lailatulqadar harus dicari
Amal mulia seribu bulan
Jangan lalaikan setiap diri

Hikmah puasa alangkah indahnya
Ingatlah nasib umat sengsara
Zakat fitrah tunaikan segera
Bersihlah diri orang berpuasa



No comments: