18 July 2013

Kuusap Namamu Di Puncak Gunung Jerai


Hari kelapan Ramadan. 1424.

Petang itu, Syaireyl b Azenan berbuka puasa di rumah neneknya.


Selepas solat Maghrib, Syaireyl bertolak balik ke rumahnya di Kuala Kedah. Dalam perjalanan, di Alor Janggus, di sebuah tempat yang tidak berlampu jalan, motor yang ditunggangnya telah merempuh bahagian belakang sebuah lori treler yang sedang berhenti. 

Syaireyl mendapat kecederaan yang amat parah lalu meninggal.

Saiful
Saiful Adly b Hassan - atau Pak Ali di kalangan teman-teman sekolah - yang berada di Selangor ketika itu terkejut mendengar khabar kematian rakan sekelasnya di AlFalah itu.

Segera dia bertolak ke Kedah. Di dalam perjalanan, dia singgah di Seberang Perai, mengambil beberapa rakan yang sama belajar di AlFalah dahulu. Sarat dan sesak keretanya namun itu bukan halangan untuk dia memecut terus ke Kuala Kedah.

Saiful memang rapat dengan Syaireyl yang lebih mesra dipanggil Ein itu. Boleh dikatakan ke mana-mana sahaja mereka pasti bersama termasuk jika berkumpulan yang lebih besar.

Paling diingatnya, pada tengahari Ahad, hari pertama sekolah dibuka pada tahun 2001. Ketika itu mereka di dalam tingkatan lima.

Mereka pulang awal sedikit hari itu setelah melihat sudah ada beberapa pelajar terlebih dahulu keluar dari kawasan sekolah.

Kerana merasakan hari masih awal, mereka bercadang untuk berlibur  ke Gunung Jerai. Saiful ke rumah rakan sekelasnya, Nor Azura Ayob, di Kampung Perlis untuk meminjam satu lagi topi keledar. [Hari itu Nor Azura memberikan Saiful topi keledar, tapi beberapa tahun kemudian diberinya hati kepada Saiful. Hingga kini mereka berbahagia sebagai sepasang suami isteri dengan dikurniakan seorang cahaya mata....]
Selepas mendapat topi keledar, Saiful dan Ein terus memecut melalui Jalan Yan, Jalan Guar, Jalan Gurun dan seterusnya ke kaki Gunung Jerai. Setelah berehat seketika, mereka pun mula menuju ke puncak pula.

Hari itu cukup indah. Tidak hanya pada pemandangan sekitar serta udara yang nyaman sejuk, malah di hati mereka juga. Persahabatan yang terjalin dirasakan menjadi semakin erat. Perbualan di antara dua sahabat itu cukup mesra.

Sayang sekali mereka tidak membawa kamera bagi merakamkan detik-detik di situ. Namun, sebagai tanda kenang-kenangan, bagai sepasang kekasih, pada satu tiang pondok di puncak gunung tertinggi di Kedah itu, Saiful tuliskan nama mereka. Bukti bahawa mereka pernah bersama menikmati udara dan pemandangan di puncak negeri tersebut.

Selepas SPM, mereka membawa haluan masing-masing. Bak kata pujangga kita boleh berjumpa, bermesra malah bercinta, namun suatu hari kita pasti berpisah. Kita boleh hidup sehingga seribu tahun, namun kita pasti akan mati.Namun hubungan mereka tidaklah terputus terus. Masih bertukar-tukar khabar diri walaupun tidak sekerap zaman persekolahan. Saiful ke Selangor menimba pengalaman di rantau orang manakala Ein selesa bersama keluarganya di Kola.

Dan berita kemalangan serta kematian Syaireyl tentulah bagai menyentap jantung Saiful. Sepanjang perjalanan pulang itu ingatan terhadap saat-saat bersama arwah menjadi penemannya. Pipinya lembab sentiasa. Apabila bersama dengan kawan-kawan yang menumpang dari Seberang Perai pula, makin banyaklah yang mereka berkongsi kenang.

Tidak tergambar kepiluan Saiful serta rakan-rakan tatkala menatap buat kali terakhir wajah Syaireyl. Kehibaan keluarga arwah termasuk dua saudara kandungnya - Amyza dan Amilia - yang juga merupakan pelajar AlFalah, mereka kongsi bersama.

Seperti mereka, masih muda usia Ein. Hari kemalangan yang meragut nyawanya pada 3 November 2003 itu, belum pun usianya melepasi angka 20 tahun. Beliau hanya bakal memasuki usia tersebut sekitar 70 hari lagi, iaitu pada 13 Januari 2004. 

Saiful tetap ingat tarikh kematian Ein. 3 November depan genaplah 10 tahun kepergian sahabat yang cukup disayangi itu. Tetapi jika dihitung dengan kalendar Hijrah pula, Rabu 8 Ramadan kelmarin [17 Julai], adalah juga ulang tahun kesepuluh Ein meninggalkan alam yang fana ini.

Begitu cepatnya masa berlalu. Bagaikan masih ternampak dia di dalam seragam sekolah, tersenyum melihat keletah kawan-kawan sekelas .....


Setahun lebih selepas kematian Ein, pernah sekali Saiful ke puncak Gunung Jerai - menjejak tempat yang pernah mereka sampai bersama. Memandang kehijauan pepohon, menikmati panorama indah ciptaan Ilahi, menyedut dan menyapu dingin udara gunung serta berehat di pondok yang pernah mereka berdua singgah.

Teringat sesuatu, Saiful membelek salah satu tiang pondok tersebut. 

Masih ada lagi namanya dan nama Syaireyl yang ditulis dahulu!

Saiful menggosok-gosok tulisan tersebut dengan perlahan sambil hati menahan sebak. Kerongkongnya bagaikan tersumbat.

Ein, damailah engkau di sana....


No comments: