12 March 2013

Sendiri Kesepian

Lumrah dunia.

Dia saksi bisu.

Hampir dua dekad dia mengenali AlFalah.

Dia pernah dibawa untuk mengangkut air dari Kampung Pergam ketika kawasan sekitar AlFalah teruk menghadapi krisis air bersih.

Dia pernah digunakan untuk menghantar beberapa budak asrama yang demam dan sakit ke kampung masing-masing.

Dia amat rapat dengan kedai runcit di Kangkong dan Simpang Empat kerana lebih sedekad dikerah setiap hari pada musim persekolahan bagi membawa keperluan penghuni asrama. Ada ketikanya dua kali sehari. Selain barang runcit bagi keperluan memasak, tidak jarang pula turut membawa bihun sup dan ais kacang [kini popular sebagai ais salji] dari Simpang Empat.

Dia pernah dibawa berkonvoi beraya di banyak rumah pelajar AlFalah - sehingga ke daerah Pendang - bersama rakan-rakan sekelasnya.

Banyak lagi yang mampu dilakukannya semasa era kecemerlangan AlFalah.

Masa berlalu. Musim berganti.

Tiada yang abadi. Pasti ada pengakhiran bagi setiap awalan.

Kudratnya main berkurang. Wajahnya makin buruk di mata orang. Dia terpinggir perlahan-lahan.

Demikianlah kelazimannya.

Kini dia bersendiri. Tidak mampu berjalan apalagi berlari. Terbiar tidak dipeduli.

Sesekali melihatnya, saya sebak sendiri.

Begini rupanya nasib wira yang tidak didendang.

Sendiri dalam sepi.



No comments: