Usia saya sudah memasuki tahap emas.
Namun tubuh saya masih kemas. Alhamdulillah!
Di kampung, malah di mukim saya,
rasanya cuma tinggal saya sendiri - menunggal dalam usia begini. Teman-teman sebaya
telah tidak berdaya, sakit di sana-sini, tidak dapat bergerak ke mana-mana lagi. Ada yang khabarnya
dihantar ke suatu tempat yang dikira selayaknya untuk umat seusia saya..... Ada juga yang hilang entah ke mana....
Sedih memikirkan hal itu.
Dahulu, semasa muda kami dipuji.
Keluar rumah dengan kasut berkilat berkiwi, pakaian kemas terjaga. Kekasih
keliling pinggang. Setiap kali melintas, akan ada sahaja mata yang memandang.
Yang lelaki kebanyakannya dengan rasa cemburu manakala yang perempuannya dengan
hati bagai digaru!
Sebut sahaja di mana tempat tumpuan.
Pantai perkelahan, pertunjukan fun-fair, rumah kenduri, atau apa saja. Saya dan
kawan-kawan pasti sampai. Gelak tawa kami biasa saja menenggelamkan tumpuan
terhadap mana-mana kumpulan yang ada sebelum ketibaan kami. Menambahkan jaki di pihak
mereka.....
Tidak pernah terfikir masa susah apa
lagi masa tua. Hidup bagi saya dan rakan-rakan hanyalah untuk bergembira!
Kami lupa pada pusingan roda
kehidupan......
Kini, setelah tua barulah keinsafan
muncul. Syukurlah kerana saya masih diberi kekuatan meski dilayan seperti warga
tua lainnya. Masih boleh ke tepi ke tengah.Saya masih boleh - seperti bertahun-tahun dahulu - ke pasar, ke
kedai runcit, ke rumah kenduri dan paling penting ke tempat pengajian agama
serta ke masjid! [Setiap malam saya ke tempat yang berbeza mengunjungi perkebunan syurga - menghadiri
majlis pengajian agama - sesuatu yang sukar dilakukan oleh anak bangsa
saya yang jauh lebih muda.....]
Ketika ke tempat-tempat tersebut,
sering perasaan saya bercampur. Di antara hiba dan syukur.
Hiba mengenang kawan rakan yang
telah tiada atau terkedang sahaja di rumah masing-masing. Menanti timpaan nasib yang tidak pasti.Syukur kerana masih
boleh berbakti - walaupun setiap saya melintas, jelingan umat sebangsa tidak
lagi dengan kekaguman sebaliknya penuh cemikan. Malah, sesekali saya ditertawakan - mungkin kerana perawakan dan penampilan saya yang tidak mengikut putaran era - masih agak retro......
Ah, kalaulah mereka merasai tua kelak!
Saya teringat keluhan seorang warga emas di dalam novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck karangan Buya Hamka. Bagaimana sewaktu mudanya - ketika tenaga masih banyak, berhibur menjadi keutamaan - dia mentertawakan orang tua-tua yang terketar-ketar mengerjakan sawah atau termenung-menung menanti mati!
Apa daya saya selain mengimbau masa lalu. Adakah akan ada yang mengambil iktibar dari citra hayat diri ini - si tua yang
menunggal membilang bilah hari yang makin menyusut...
Namun, sesuai dengan ajaran yang saya terima, tidak guna berhiba berlama-lama. Hidup, kata banyak orang, mesti diteruskan. Selagi hayat dikandung badan, selagi tenaga diperlukan, saya
tetap bersedia dan bersetia untuk berkhidmat......
Salah satu sahabat saya |
Tuan saya |
SAYA |
No comments:
Post a Comment