Jamu X Jemu
Sani Sudin |
Maka
Si Fatimah pun
mengkacip
tongkat Si Ali
Aduh…
Demikian puisi terbaru Sani
Sudin yang saya kutip dari sisipan akhbar Utusan Malaysia – HITS –
pada 2 Mac. Pendek sahaja puisi dari
anggota Kopratasa
ini – trio yang melagukan puisi [kini tinggal berdua dengan Usop setelah Siso tidak lagi
bersama].
Seperti selalu, puisi boleh ditafsirkan dengan bebas. Tiada suatu
akta bakal menjadi pengekangnya. Maka tafsirlah puisi tersebut sesedap hati anda…
Saya cukup meminati puisi begini. Ringkas dan padat. Mudah
diingat.
Misalnya, satu puisi yang ditulis oleh Hilmi Rindu. Kalau tidak silap
ia muncul di majalah Variasari lebih 30 tahun lalu, sekadar
tempelan pada satu rencana panjang – hasil kreativiti perekaletak majalah
tersebut bagi menutup ruang kosong antara muka surat.
Saya mengingat setiap kata di dalam puisi itu. Tidak jarang
pula, selepas menaip soalan pada stensil, di hujungnya saya akan muatkan karya penyair
dari Terengganu itu.
Selama
Hati bernama hati
Berhati-hatilah
Demikianlah. [Saya teringat, kalau Cikgu Rahim, di hujung kertas soalan begitu dia beristiqamah menulis: BERFIKIR SEBELUM BERTINDAK].
Pada satu majlis muhadhoroh, saya diminta mendeklamasikan
sebuah puisi. Beberapa ‘pendendam’ bertepuk tangan apabila ahli
jawatanjuasa tegas mahukan saya menyampaikan sebuah puisi walaupun berkali-kali
saya cuba menolaknya. Saya memahami perasaan mereka yang bertepuk itu. Ingin sekali mereka melihat bagaimana persembahan
seorang yang sering mengomen mereka kerana tidak bersedia ketika mengambil
bahagian di dalam muhadhoroh. Ada yang mempersembahkan puisi dua bait pun
memegang kertas kajang, kata saya. Orang baca puisi secara santai, tak perlu
kertas atau teks, tambah saya lagi bagi menambahkan dendam mereka……Hehehehe.
Tengah hari Khamis itu, merekalah paling bersungguh untuk
melihat saya mendeklamasikan sebuah sajak. Saya menyelak memori bagi mencari
sebuah puisi supaya mereka puas……
Saya teringat sebuah puisi di dalam majalah Dewan Sastera yang
saya lupa siapa penulisnya. Tetapi tentulah orang tersohor kerana bukan senang orang kecil muncul di dalam majalah
terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka [DBP] itu…. Kalau tidak silap di dalam keluaran
bulan berkenaan empat lima puisi karya penyair tersebut dimuatkan. Semuanya
puisi yang panjang kecuali yang satu itu. [Maaf, saya benar-benar lupa karya
siapa namun tidak pernah lupa setiap huruf - melainkan pada satu perkataan - di dalam sajak kegemaran itu!]
Maka, apabila dipanggil ke pentas, dengan yakin saya
melangkah. Berlenggang kosong dengan diperhatikan oleh para pendendam……
Di atas pentas, menghadap khalayak, sayapun berpuisi :
Janggut
adalah setumpuk/sejemput rumput
yang tumbuh
di bawah dagu.
Setelah membongkok sedikit, saya pun turun, terus ke kantin
Bang Man yang terletak bersebelahan dewan…..
Laaaaaa……….
Saya seperti mendengar ngauman dari dalam dewan. Saya tahu. Pendendam menjeling ke arah saya yang meminta segelas
minuman dari Bang Man yang sedang bersiap-siap menutup kantin.
“Tak aci!” kata ketua pendendam tatkala kami bertembung di
pejabat sekolah pada penghujung majlis hari itu…..
Hehehehehe!
No comments:
Post a Comment