1 April 2013

Apabila Ditakdirkan Tidak Dapat Bertemu.....

Khamis. Malam.

Seperti biasa ada niat untuk menerjah.

Husin Lateh menghubungi saya. Mudahlah terjahan kali ini: Rumah mertuanya!

Kenapa dengan mertua ustaz muda itu?

Sebenarnya saya baru tahu bahawa Husin bermertuakan Abang Mi, drebar bas sekolah dari Kola ke AlFalah suatu ketika dahulu. Lama dahulu.

Sebenarnya ada tiga orang pernah menjadi pemandu bas sekolah ke AlFalah - Pak Jan, Abang Mi dan Zuna.

Akan Pak Jan dan Zuna, biarlah lain kali sahaja ceritanya. Zuna - nama asalinya Zulkifli Basari - bekas pelajar AlFalah 1983/1984 memandu bas milik AlFalah sendiri setelah bas Pak Jan dan Abang Mi bersara...pernah beberapa kali saya catat sebelum ini.

Bas Pak Jan dan Abang Mi menggunakan khidmat konduktor yang sama - arwah Paklong Pi [Senapi] yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga Pak Mansor, ayah Ustaz Mazlan, Mazura, Mazlina dan Mazni - semuanya bekas budak Falah dari Kola. Semoga roh Paklong Pi sentiasa dicucuri rahmat. Amin.

Berbalik kepada Abang Mi. Dia berhenti memandu bas setelah menghadapi masalah penglihatan. Kami cukup mesra. Saya pernah beberapa kali ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari kelompok Pulau Gezambo.

Setiap kali masa terluang menjelang tamat waktu pembelajaran, saya akan berbual dengannya di atas bas yang diparkirnya di hadapan pejabat sekolah. Kadang-kadang saya disertai seorang dua guru lain manakala Abang Mi akan semestinya berduet dengan Pakoong Pi. Pelbagai topiklah yang kami sentuh.

Selepas Abang Mi bersara pun saya yang kerap bersama Cikgu Non masih mengunjungi rumahnya serta rumah Paklong Pi.

Demikianlah.

Saya menghubungi secara teks Budak Batas Paip, cadangnya untuk mengajak sekali menerjah. Untung isteri dan anak-anaknya kerana orang renjong itu sekeluarga sedang menikmati makan malam di Medan Selera Darulaman.....

Terpaksalah saya menerjah seorang.....

Saya mengekori Husin melalui jalan ban untuk ke rumah Abang Mi. jalan yang sama yang saya gunakan bersama Budak Batas Paip tatkala menerjah ke Pulau Gezambo beberapa bulan lalu.

Berkali-kali saya berpesan kepada Husin agar jangan memberitahu mertuanya itu siapa saya tatakala bertemu kelak - untuk menguji daya ingatan Abang Mi.

Malangnya, orang yang amat ingin saya sakat itu seperti tahu-tahu - hanya beberapa minit sebelum itu dia keluar dari rumahnya. Husin yang mendapat maklumat itu dari ibu mertuanya kehampaan. Saya pula dua kali lipatlah hampanya.

Kami keluar dari kampung itu. Di muka jalan menaiki Jambatan Tok Pasai, Husin mengajak saya mengeteh. saya menurut sahaja.

 Rupanya bukan sebarang kedai teh yang ditujunya. Dia membawa saya ke Restoran Anjung Kuala nun jauh di tepi muara ke Kola.


Di situ orang tidak begitu ramai kerana restoran hampir ditutup, pekerja sedang keletihan melayan pelanggan yang penuh sejak petang.Kami memilih satu sudut.

Husin meminta memesan teh o panas manakala saya meminta teh o ais. Untuk mengimbangkan rasa hampa tadi saya meminta nasi goreng Anjung Kuala yang ditakrifkan sedap oleh pekerjanya.

Sambil itu kami disapa dan terus berbual dengan tuan punya restoran tersebut - Encik Abdul Razak Osman. Saya terlupa untuk berpesan kepada Husin, dan dia terus memperkenalkan saya sebagai Cikgu Sains AlFalah - tempat isteri Encik Razak belajar dahulu. "Cerita lama...." karta saya.

Selepas pesanan sampai, tauke muda itu bangun pergi ke kawasan utama berhampiran kaunter. Sebentar kemudian muncul isterinya - Hamidah Said - menyapa saya sambil memperkenalkan anak sulungnya yang berusia 17 tahun.....

Selepas makan dan minum dan berbual dan menghirup angin laut, kami pun beredar. Hampir sama waktu dengan beredarnya pekerja restoran ke rumah masing-masing......

[Oleh kerana ini bukanlah blog ala jalan-jalan cari makan, tidaklah dapat saya mengomen tendang restoran itu. Mudahnya silalah kunjungin sendiri untuk merasakan makanan/minuman serta pengalaman di situ.....]

Dalam perjalanan pulang, sekali lagi kami singgah di rumah Abang Mi. Dia masih belum teringat jalan pulang...... husin mengajak saya mencari mertuanya di sekitar Kola. Memandangkan masa yang tidak sesuyai terpaksalah saya menolaknya.

Sementara itu, Budak Batas Paip yang beberapa kali menghubungi saya dan berjanji untuk berjumpa seperti biasa membuat satu panggilan: Tidak dapat keluar kerana bermasalah dengan anaknya. Apa lagi yang mampu saya katakan......

Demikianlah.

Satu malam dengan terjahan yang tidak menjadi.

Namun saya gembira dapat bertemu Hamidah dan mengenali suaminya.

Dalam perjalanan pulang, saya baru teringat: bagaimanakah Husin boleh menjadi menantu Abang Mi?

Tunggulah.

No comments: