8 March 2013

Rohimi Dan Babuji - Episod Dua


Saya mengajak mereka ke satu tempat menghala ke selatan setelah cadangan Rohimi ke pinggir Alor Setar saya tolak. Kasihan apabila memikirkan menyusahkannya untuk menghantar saya balik nanti. Kemudian lagi terpaksa dia mengembalikan Babuji kepada sama tua di Batas Paip dahulu, sebelum bertolak mengembalikan diri sendiri kepada isterinya di Bandar Darulaman…..

Tempat yang saya maksudkan itu tidak payahlah saya sebut. Luka hati sungguh. Masakannya  langsung tidak sampai kepada piawai kami bertiga. Tidak akan kami syorkan kepada sesiapa lagi. Malah sehingga sampai semula ke rumah, saya masih kesal mengajak mereka ke situ.  Untuk menyedapkan hati, kami berpakat menyatakan penyedia masakan ala Thai itu mungkin bukan dari wilayah Pattani atau Yala…..

Kalau pun mahu dikenang, selain makan, kami berbual panjang tentang Rohimi, terutamanya.

Rohimi Md Isa.

Saya dan Cikgu Non pernah beberapa kali ke rumah keluarganya dahulu – malah pernah makan nasi di situ. [Cikgu Non pula rapat juga dengan arwah datuk Rohimi].Mereka tinggal di luar dari kawasan Felda Sungai Tiang, tanah tumpah darah Pawang Nujum.

Tidak terlalu ramah pada mulanya tapi mudah mesra. Bukan atlet tulen untuk AlFalah kerana amat jarang turun bermain bola di gelanggang. Lebih banyak sebagai pemerhati – dia tertawa  apabila saya membayangkannya berdiri di tepi pokok mempelam berhampiran surau, tanpa baju, hanya bertuala merah jambu sambil memegang baldi biru, melihat bintang kami – Cikgu Non – beraksi, merembat menembusi gawang dan bola itu menghentam dinding sekolah a.k.a dewan kita….

Saya terlupa sekolah asalnya – selepas sekolah rendah – sebelum ke AlFalah. Dia dikira warak. Salah seorang imam di surau. Lembut bicaranya tetapi tetap mempunyai daya kecindan yang tinggi. Penghafal pelajaran Bahasa Arab yang bukan sekali dua serta seorang dua ustaz pernah melahirkan kekaguman terhadapnya. Hati remajanya tidak pernah jatuh di AlFalah….Tiada pernah terdengar sebarang gossip meski pun yang bertaraf ringan…

Selepas SPM, Rohimi berguru tiga tahun di Pondok Lanai, Parit Panjang, Baling. Setelah itu, tiga tahun juga dia menjadi penuntut di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan.

Rohimi kemudiannya pulang ke Kedah dan mendapat rezeki dari bidang yang cukup kontra dengan ilmunya - sebagai pemandu limosin di Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani. Lama juga di situ, hingga mahir dengan jalan-jalan sekitar Pulau Pinang kerana sering mengambil dan menghantar pelanggan kelab dari luar negara, terutamanya Jepun. Meski terdedah dengan iklim tempat kerja yang mencabar, dia tetap beristiqamah dalam amalannya dan dikenali di kalangan rakan sekerja sebagai ustaz.

Dato' Beh
Gelodak jiwanya untuk mencari ilmu tidak pernah berhenti. Dalam kesibukan bertugas tanpa jadual tetap, dia masih belajar dengan seorang guru agama di Sungai Petani – arwah Ustaz Shaari, kalau tidak salah ingatan saya. Di samping itu, dia juga berazam untuk belajar di luar negeri. Malah bosnya, Dato’Beh Heng Seong – dulunya ADUN Gurun serta anggota EXCO kerajaan negeri Kedah, pernah bertanyanya, masihkah dia mahu menjadi seorang ustaz? Rohimi mengiyakan dan Dato’ itu mengesyorkan dia meneruskan cita-citanya itu.

Rohimi kemudiannya mendalami ilmu di Mesir selama tiga tahun. Terlupa saya bertanyanya bidang yang ditekuninya.

Sekembali di tanah air, selain pekerjaan, ada satu hal lagi yang sedang menunggu – jodohnya. Dia – seperti juga semasa di AlFalah – tiada menjadi bahan gosip di bumi Afrika utara itu, ertinya hati mudanya tetap tidak jatuh di sana…..

Dia mengahwini gadis sekitar Jitra, pilihan keluarganya, lepasan Universiti Utara Malaysia dan kini mengajar Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah tidak jauh dari bandar tersebut. Setakat ini pasangan tersebut dianugerahkan empat buah cinta – 3 lelaki dan seorang perempuan. Oleh kerana semua yang lelaki berada di pusat tahfiz di Pulau Pinang, saban minggu [hari Sabtu] mereka secara tetap akan ke pulau tersebut untuk menjenguk anak-anak – terima kasih juga atas kemahiran menguasai jalan sekitar Pulau Mutiara dahulu…. Akan puteri tunggal yang berada di asrama SRIDU Telok Bagan, demikianlah juga jadual lawatan, gamaknya..

Demikianlah.

Sambil bercerita tentang perjalanan panjang dan jauhnya selepas meninggalkan AlFalah , kami sesekali mengimbau saat di sekolah agama rakyat itu. Rohimi terkenang beberapa rakan di asrama dan sekolah… Saya hanya memberitahu setakat yang mampu ….. Md Rautin, Basri Zakaria [Pak Mid], Elias Hj Awang,  Amuar Ismail,  Jamil Md Isa adalah di antaranya. Dia terkenang dua budak asrama yang mengusung tilam lalu meletakkan di luar asrama – malah di luar pagar sekolah – pada waktu Subuh, semata-mata mengelak dari disiram Ustaz Man,demi kelangsungan lena… Kami tertawa mengingat zaman itu.

Dia teringat Jamil bersama saudaranya dari Padang Chichak. Kini Jamil bertugas sebagai anggota Bomba dan Penyelamat di Kamunting, Perak. Rohimi telah sampai ke rumah si hitam manis itu, dalam ulang aliknya ke selatan negara, setelah mendapat alamat dari saudaranya tatkala terserempak di Jitra.

Demikianlah.

Selepas secara terpalsa menghabiskan tempahan di atas meja, kami pun beredar. Sampai di rumah saya, ternampak kereta Cikgu Non sedang berkira-kira untuk berehat di depan rumah. Saya menelefon tuannya lalu kami singgah pula di situ. “Nak pi pekena tang mana?”Tanya  Cikgu Non. Kami menggosok perut sambil mengulas sedikit tempat makan yang baru kami tinggalkan….. Cikgu Non mengajak kami masuk ke rumahnya.

Setengah jam juga kami habiskan di situ. Sedang Rohimi dan Cikgu Non berborak melepaskan rindu dan merencanakan kerjasama sesama tempat kerja mereka bagi memotivasikan pekajar, saya menghadap lappy. Menyambungkan ke fb grup Alumni AlFalah, saya menumpukan kepada foto perjumpaan hari raya.

 

Sebaik muncul foto Babuji seolah sedang menuding ke arah Abdullah Saad dengan disaksikan Abby Zack, saya menggamit Babuji. Dia yang sedang leka mendengar perbualan Rohimi dan Cikgu Non segera bangun apabila saya mengisyaratkan muka skrin lappy. Terpejam matanya tanpa suara sebaik melihat gambar itu.

Saya tunjukkan pula foto dulu dan sekarang yang diusahakan oleh Budak Batas Paip. Makin rapat matanya menahan tawa. Dia yang mengaku tidak berminat dengan fb, segera menggamit Rohimi. “Ustaz mai tengok ni….” Katanya pada celahan tawa. Rohimi bangun tetapi kursor pula buat hal. Saya tertekan entah apa-apa.  Hilang semua foto, timbul arahan supaya internet disambungkan…… Appara…. Babuji kecewa. Saya pun. Rohimi kembali duduk.

Cikgu Non mengajak kami ke luar – ke kedai di pintu jalan ke kejiranan kami. Rohimi menggeliat, Babuji menggelisah. “Alah, awai lagi….. kita pekena ayaq sudahla…” kata Cikgu Non.

Setengah jam juga kami di kedai itu. Saya dan Babuji meminta barli suami buang I. Rohimi tersengih. Dalam 40 minit yang lalu kami bersepakat meminta minuman yang sama di kedai yang hanya akan saya jejaki lagi jika seluruh kedai makan di sekitar Alor Setar ini ditutup…..

Hari telah lama bertukar nama. Babuji menggelisah meskipun  mempunyai lesen besar…. Dia yang faham renungan saya, segera membalas. “Saya tak pa….. Ustaz ni la…. Nak kena hantar saya dulu…”

“Hantar kat Simpang Kuala sudahla….” Kata saya. Babuji memandang muka saya, agaknya tidak percaya akan lahir kata-kata itu.

Cikgu Non tertawa. “Kalau Rohimi tinggai hang tepi jalan, hang nak buat macam mana?” Dia menyakat.

Satu yang saya seronok dengan Babuji ini ialah kespontanannya menjawab.” Tak pa….. saya boleh panggay orang Kola…..”

“….. ahli kariah mai ambik Tok Imam….” Saya mencelah. Kami tertawa dan saya membayangkan seorang imam berjalan di tengah malam seorang diri…..apa agaknya kata anak kariah……

Dengan janji akan ada pertemuan berikut, termasuk mungkin ke Kuala Perlis atau sekitar Jitra – yang kata Cikgu Non terkenal dengan supnya -  kami berpisah. Saya membonceng Cikgu Non pulang dan melihat Rohimi membawa Babuji meredah suram awal pagi……

No comments: