11 March 2012

Geng Gajah Mati 1

Mahathir - Fadzil  Gajah Mati tinggal serumah!
1984.


Tahun ini AlFalah kian meriah. Kalau tahun sebelumnya hanya ada dua kelas Peralihan dan dua kelas Tingkatan 3, kini ada 7 kelas. Dua kelas Peralihan, dua kelas Tingkatan 1, dua kelas Tingkatan 3 dan satu kelas Tingkatan 4.


Asrama mula dihuni. Selain 4 orang dari tahun 1983, makin ramai penuntut dari luar kawasan. Ahmad Sofi (Changlon) disertai adiknya, Hasliza. Setahun dua selepas itu mereka ditemani pula seorang lagi adik, Mohd Nizam Ahmad (yang kemudiannya, entah bagaimana, dikenali sebagai Wak Sir)


Walaupun ada ramai yang mula menghuni asrama, namun yang paling meriah adalah dari Gajah Mati, Pendang.
Ada Basri Zakaria (lebih dikenali sebagai Pak Mid - hingga kini <2012> saya tak tahu punca dipanggil begitu). Ada Siti Norliza Abdul Hamid. Dan tidak ketinggalan anak cucu Hj Awang  -  Mariam Hj Awang(Mak Yam) dan anak-anak saudaranya, Rafida Md Saad dan Norhashimah Ismail.


Geng Gajah Mati ini tidak mati setakat itu sahaja. Mereka kemudiannya disertai oleh saudara-mara dan anak-anak jiran. Pak Mid disertai oleh adik-adiknya Helmi dan dua adik perempuan. Mariam disertai adiknya Elyas(Paksu Yeh) dan anak-anak saudaranya Nasaruddin Abdullah (Dino) dan Rizaki Othman. Siti Norliza disertai adiknya Siti Masliza.  


Jiran sekampung mereka pula antaranya Mohd Nizam Kholib(Mat Kidam) dan adiknya. Tidak ketinggalan Mohammad Daud yang rendah tubuh dan lembut suara.


Namun dua lagi agak menarik dikenang. Pertama,Md Rautin Md Desa, sepupu Dino. (Cerita keunikannya sedang disusun!)


Seorang lagi  pula, ketika mula memasuki asrama, diperkenalkan kepada saya oleh kawan sekampungnya sebagai Anak UMNO Ayah PAS! Saya terpempan. Perlahan saya bertanya namanya. Dalam tersipu, anak kecil 13 tahun itu bersuara, "Mahathir bin Fadzil".


Tak sempat saya berfikir, seorang kawannya cepat mencelah, "Dia Presiden UMNO, ayah dia Presiden PAS!" Serentak itu satu asrama bergegar dengan ketawa.


Saya melopong. Patutlah. UMNO ketika itu dipimpin oleh Tun Dr Mahathir manakala PAS diketuai oleh Almarhum Dato' Fadzil Noor......


Mahathir bin Fadzil terus tersipu, menyembunyikan mukanya di sebalik sepuluh jari halusnya.....


Manisnya waktu itu.....