1 March 2012

Mulanya di sini

 i

1954. Lebih kurang. Ustaz Azizan dan Ustaz Fauzi baru balik dari belajar di luar negara. Masyarakat sekitar bermesyuarat dan mencadangkan dua beradik itu membangunkan sebuah sekolah agama. Usul itu mudah diterima namun ada yang pesimis. Seorang berkata, "Nak buat dengan apa? Pakai buluh??" Seorang lagi pula mencabar, "Jika Pakya boleh bina sebuah sekolah, aku nak bersunat sekali lagi!" 

Tukwan (Zakaria) akhirnya menjadi penjamin dan meletakkan geran di kedai kayu di Batu 6, Simpang Empat. Sambil mengutip derma, barang pun sampai (Tukwan dan anaknya membawa menggunakan kerbau dari Simpang Empat melalui petak sawah - ketika itu tiada taliair dan tiang elektrik) dan madrasah mula didirikan.


1955, izin Majlis Agama Islam Kedah diperolehi. Si pesimis pertama tadi menjadi tenaga pengajar di situ manakala si pesimis kedua hingga ke mati tidak pula mempelawa tuk mudim..... Tukwan sekadar ahli jawatan kuasa lembaga tadbir.

Tukwan menyimpan rekod senarai penderma. Di bawa balik ke rumah, setelah beliau tersingkir (disingkir) dari lembaga tadbir. Itu cerita konspirasi 60-an yang lebih menarik dari kisah dalam slot Samarinda TV3. Tapi biarlah di situ. Hampir semua wataknya telah berada di sana....

Saya sempat melihat sebahagian rekod itu - ada sumbangan berbentuk wang, padi (dalam unit nalih) dan bahan binaan. Malangnya selepas diletakkan dalam jelapang usang di depan rumah tukwan, tanpa mengetahui nilai sejarahnya, anai-anai telah memanfaatkan fail dan buku rekod tersebut....

Tapi sumbangan dan pengorbanan tukwan terhadap sekolah agama ini cukup besar. Ini bukan kata-kata cucunya ini, sebaliknya saya mendengar sendiri dari Ustaz Azizan dan seorang dua yang berlapik fakta.


ii

1959. Disember. Tuk meninggal setelah melahirkan maksu. Emak dan Ngah adalah dua anak tuk dari perkahwinannya yang pertama. Setelah Tukwan (ayah kepada emak dan Ngah) menghadap Ilahi, Tuk dinikahi Tukwan (Zakaria) yang sudah beranak lima. Ayah saya anaknya yang kedua. Selepas kematian tuk, keluarga memutuskan untuk menyatukan emak dan ayah. Semasa itu emak masih belajar. Emak akur. 1960 mereka bernikah dan emak membawa perut(sayalah di dalamnya!) untuk cuba menghabiskan pengajian. Saya meninggalkan rahim emak pada suku ketiga 1961.


iii

1982. Saya dan 3 anak muda kampung, entah bagaimana, ditakdirkan berada di Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam. Rumah Ustaz Azizan. (Di situ, beliau menubuhkan sekolah agama Fajar Islam, setelah meninggalkan AlFalah pada penghujung 60-an). Kami membantu beliau menuai padi di sawah yang disewa, terletak tidak jauh dari simpang ke pekan BM. Kami buat semuanya. Mengerat, membanting dan akhirnya memikul padi dari sawah ke tepi jalanraya sebelum diangkut lori.

Banyak juga hari kami di situ. Siang di sawah, malam kami main karom (jentik telur syaitan, kata Ustaz Azizan) bersama Ahmad Fairose dan abangnya Ahmad Amminy hingga jam 1 atau 2. Tak letih? Mana kami tahu!

Semasa itu, antara lagu popular ialah Apo Nak Dikato (Blues Gang). Sambil main karom, atau menunggu lori mengangkut padi, atau menunggu makanan sampai di tengah sawah, pasti ada seorang yang menyanyikan lagu itu. Bila sampai bahagian

kalau boleh
nak jadi cikgu sekolah
kek Kualo Pilah

saya dan Ahmad Fairose akan nyanyikan kuat-kuat tapi menukarkannya menjadi

kalau boleh
nak jadi cikgu sekolah
di Sekolah Falah!

............................................


iv

1983. Saya mengajar di Sekolah Menengah Agama AlFalah! Namun seru yang manakah antara 3 cerita di atas memungkinkan saya dipanggil Cikgu?

Allah Maha Pengatur.