27 September 2013

Mereka Yang Sudi

Terima kasih dari kami sekeluarga


Pengantin
14 September lalu, di rumah tinggalan emak-ayah, keluarga saya mengadakan sedikit kenduri arwah sempena berlangsungnya perkahwinan adik lelaki bongsu.

Buat pertama kali nama saya dicetak di kad undangan kerana kami anak yatim piatu dan saya pula,  dalam sembilan beradik, ditakdirkan paling awal meninggalkan rahim ibu ....

Selain orang kampung, kaum kerabat, keluarga besan emak-ayah dan rakan-rakan kami masing-masing, saya menjemput bekas warga AlFalah. Jemputan di buat di dalam grup Alumni AlFalah di laman fb, melalui beberapa mesej ringkas di telefon serta sedikit dari huluran kad. [Ahli grup fb hanya 120 orang, 75 % ada di luar Kedah. Yang ada di Kedah pun 10% daripadanya saja yang dijangkakan sudi hadir....beranilah saya buat jemputan terbuka ke teratak kami. Cuba kalau ahli 10000 dan 25% saja yang duduk di luar Kedah....]

Ramai juga yang sudi hadir rupanya. Terima kasih sesangatlah. Kalau terjumpa perkataan lain yang lebih baik dari TERIMA KASIH, akan saya ucapkan nanti...

Bermula dengan kehadiran seorang Budak Falah pada malam menjelang hari kenduri - dengan apologi kerana dia tidak dapat muncul pada hari siang esoknya - berakhir dengan kedatangan Budak Batas Paip bersama tuasamanya dan anak-anak.

Di antara masa kedatangan mereka itu, termasuklah Sofiahmad Din yang muncul dengan samatuanya dan anak-anak pada pukul 9.58 pagi. Memang tepat catatan masa ini kerana saya menjeling jam di dalam kereta ketika melihatnya berjalan ke depan khemah sedang saya baru sampai dari Simpang Empat atas satu hal mustahak....

Dia bercadang untuk datang pada petang, tetapi Allah tidak mengaturnya begitu. Anaknya yang sedang belajar di Maktab Mahmud pulang ke rumah pada petang Khamis, perlu sampai ke sekolah semula sebelum jam 8 pagi Sabtu. Maka awallah dia berada di sekitar Alor Setar. Takkanlah dia perlu menunggu sehingga petang pula baru hendak bertandang ke majlis saya, sedangkan masih ada dua kenduri yang perlu dihadiri di sekitar kediamannya di Parlimen Baling....

Maka dia sekeluarga tidak dapatlah merasa masakan kami. Hanya sirap sahaja yang dihidang. Walaupun boleh diwarnakan biru, hijau atau kuning, merah juga yang dipilih oleh pembuat keputusan ketika membeli warna. Air sejuk dengan pewarna itulah yang Sofi teguk bersama anak sedang samatuanya hanya berdiri memerhati... Namun  Sofi bertuah. Hanya dia di kalangan tetamu dari warga Falah yang sempat berjumpa dengan Ustaz Man yang sedang berbual dan bersarapan di depan rumah Tokwan saya. Kerana selepas memimpin majlis tahlil dan bacaan doa selamat kemudiannya, kelibat ustaz asal Pattani itu terus lenyap. Eksklusif juga Ustaz Man ini. Bukan senang untuk ditemui....

Selepas itulah munculnya sekumpulan budak Falah sekitar 130 orang, yang tidak saya tahu nama walau seorang pun - lelaki perempuan.  Penuh khemah buat seketika.... Saya cukup seronok. Mereka makan tanpa mengomen apa-apa. Semasa mahu pulang, budak Falah yang lelaki - 63 orang  semuanya - bersalam dengan saya sambil menjinjing beg kecil sebagai cenderaperut. Budak Falah yang perempuan pula bersalam dengan adik-adik atau emak saudara saya.....

Selepas grup itu pulang, barulah muncul budak-budak Falah yang saya kenal nama mereka. Tetapi mereka tidak datang secara berkumpulan seperti yang awal tadi. Berselang seli dengan kumpulan tetamu yang lain. Berselang seli pula dengan Cikgu Haji Mohd Faisol, Cikgu Non, Ustaz Hj Ahmad Fairose, Ustaz Zahari serta Cikgu Abd Aziz Saidin [dari Ayer Hitam yang pernah beberapa kali muncul di AlFalah dahulu mengendalikan bengkel pelajaran Matematik].

Dekat atau jauh budak Falah yang datang tetap sama penghargaan yang saya berikan. [Jika nama yang saya catat dan ingat  tidak anda kenali, apalah daya saya...Jika tidak tercatat kerana tidak diingat atau terlupa nama, apatah pula daya saya....]

Ira Man, Nisah Teh dan Umi Mohamad datang serentak, tentunya memang dijadualkan begitu. Sempat berselisih bahu dengan Cikgu kesayangan mereka, Hj Faisal dan sempat pula diperkenalkan kepada isteri kedua saya. Yang lain, seperti Suharnie Hj Saad, Zuraini Ali, Mariam Hj Hashim, Salmiah Hassan,  Nazliah Hashim dan Rosnah Ismail, umpamanya hanya mengangguk apabila terpandang saya yang berdiri di luar khemah sedang mereka menyuap nasi di bawah khemah. Agaknya segan atau gerun melihat janggut saya..... Beberapa orang yang sejantina dengan mereka tidak pula saya sempat melihatnya melainkan tahu kehadiran mereka berdasarkan titipan salam yang ditinggalkan kepada samatua saya atau adik saya.

Dari kalangan lelaki, saya ingat Ibrahim Kadir, Rahim Ismail, Hj Nawawi [tauke bengkel besi di Kota sarang Semut]. Sobri Bukit Selambau, Ustaz Husin Lateh, Jefri Ismail, Sobri Ismail, Senapi Saad, Rosli Mansor, Nazri Shuib, Paksu Yeh [Ilyas Hj Awang] dan Md Rautin - kedua-duanya dari Gajah Mati,

Beberapa lagi memang sejak di Alfalah dahulu saya hanya memanggil nama bapa atau nama manja mereka: Pak Manaf, Pijan, Halim, Pak Said dan Jamil..

Siapa lagi, ya?

Inilah padahnyanya kerana lambat mencatat untuk dimuatkan ke sini....

Zamri Dahaman [yang sering saya panggil Dahaman, pernah saya ceritakan di dalam satu entri] datang setelah menyemak mesej yang saya hantar hanya semalamnya.... Kalau sudah rezeki kami!

Sazaziz Saad yang masih solo itu datang bersama Saiful Adly Hassan yang cuba meniru sahabat baiknya itu, mahu hadir berseorangan juga ... Merekalah di antara yang bergambar di depan AlFalah bagi menggali kenangan. Kemudian berdua pula ke rumah sahabat lain, kata mereka - saya rasa mungkin menziarahi Nasir Hassan di hujung kampung yang tidak muncul di majlis saya.....

Rosli Basari pelajar AlFalah era 80-an yang pernah pula berjiran dengan saya datang bersama dengan isterinya, Alina, budak Falah yang merupakan kakak kepada seorang lagi budak Falah, Bafuri Abd Razak.

Zulkifli Shamsuddin datang bersama buah hatinya sejak di AlFalah dahulu, Mariam Ismail serta anak mereka.... Sempat dia bertemu dengan Ustaz Fairose dan Ustaz Zahari selain berbual panjang dengan rakannya, Ustaz Husin Lateh.

Siapa lagi......

Maaf, saya benar-benar tidak dapat mengingat beberapa yang lain ketika mencatat ini. Maklumlah saya tidak menulis di mana-mana sebelum menghadap komputer, hanya berdasarkan memori keluaran tahun 1961..... Insya Allah akan saya edit jika teringat atau diperingatkan....

Babuji! Macam mana boleh terlupa Tok Imam itu? Yusri Haron datang bersama isterinya yang kebetulan semukim dengan samatua saya. Maka lamalah juga mereka berbual sesudah mengisi usus.

Abby Zack! Bagaimana boleh saya tidak teringat kepada tauke belacan yang memberikan saya lima ketul besar belacan - 'buat kenduri', katanya - ketika saya menghantar kad undangan ke rumahnya dahulu? Abu Bakar Zainol datang bersama isteri serta anak-anak - termasuk si kecil yang saya anggap sebagai replika ayahnya sewaktu kanak-kanak!

Ustaz Mazlan Mansor juga datang bersama isteri, dengan mengenakan pakaian yang sedondon warnanya.

Mohd Hizamy Hj Azizan, adik Ustaz Fairose muncul di majlis bersama abang sulungnya, Hj Sehabudin pada pertengahan hari.

Norlizah Saad dan abangnya Saidin datang bersama samatua masing-masing pada petangnya serta pelajar senior AlFalah. Siapa lagi kalau bukan ayah mereka Pak Saad yang sebaik sampai berpeluk sakan dengan rakan sekelasnya pada tahun 60-an dahulu - Hj Mansor Hj Zakaria, Paklang saya. Pertemuan semula selepas lebih empat dekad!

Paling akhir tetamu dari kalangan yang ada bau dengan AlFalah adalah Budak Batas Paip. Sebelum datang dirisiknya dahulu dengan menelefon saya sama ada masih tersisa lauk.... Agaknya dia mencari kelainan. Jika itu hajatnya, kira tercapailah, kerana hanya dia yang menelefon begitu....  Lewat petang hadirnya tetapi panjang juga perbualannya bersama adik saya merangkap rakan sekelasnya pada tahun 1991-93, Fahrulruzi. 

Saya menumpang semeja dengannya sekeluarga untuk pertama kali menelan nasi pada hari itu. Keseronokan menyambut deretan tetamu ataukah ketiadaan masa sesuai menyebabkan saya tidak makan nasi sejak kumpulan ramai budak Falah datang sebaik Ustaz Man selesai membaca doa sebelum jam 11.30 tadi? Entah, mungkin kedua-duanya.

Bagi yang tidak tahu, 130 budak Falah yang datang pada awal majlis berkenaan adalah pelajar pusat tahfiz paling terkenal di seluruh negara - Pusat Tahfiz Amal - yang menghuni tapak yang dahulunya adalah AlFalah kita. Kira budak Falah jugalah, kan? ....... Hehehehe...

Sebelum emosi beberapa orang budak lama Alfalah naik, biarlah saya tamatkan entri ini dengan sekali lagi menaipkan: TERIMA KASIH kepada yang sudi hadir ke teratak warisan kami untuk majlis yang tidak sepertinya itu. Semoga anda sudi lagi jika ada lain kalinya.......

No comments: