15 March 2012

Mesin taip & Gestetner

Sebiji macam di AlFalah: di manakah dikau kini?

Di AlFalah, peperiksaan atau ujian bulanan adalah hal yang amat menyeramkan berdasarkan dua sebab.

Pertama, soalan perlu ditaip sendiri di atas stensil. Soalan objektif 75 soalan (tidak kurang masing-masing 6 helai stensil) untuk tiga kelas 1, 2 dan 3 amat memeritkan. Apatah lagi bagi kami yang mengajar hingga tingkatan lima dalam 3 atau 4 subjek! Dan saya pula hingga kini menaip hanya menggunakan dua jari telunjuk. Yang kiri pula eksklusif untuk tekan huruf A  sahaja! Bayangkanlah sibuk dan teruknya tugas jari telunjuk kanan. Kadang-kadang dia merungut juga namun saya beri motivasi padanya dengan mengangkat ibu jari di sebelahnya dengan lebih kerap.....(Fotostat pada awal 80-an masih tak terjangkau akal dan lebih-lebih lagi poket kami). 

Kedua, stensil itu perlu digelek menggunakan mesin pencetak Gestetner manual. Terkena dakwat dan kerosakan mesin getah (meminjam kata seorang Geng Gajah Mati) ketika asyik menggelek adalah perkara yang didoakan terhindar. Namun doa itu selalunya jarang dimakbulkan.


Pernah sekali spring melekatkan stensil putus dan percikan dakwat menghitamkan muka dan sebahagian baju. Pernah juga dakwat melencunkan kertas stensil lalu terbuang pula masa untuk menaip semula. 

Melihat mudahnya guru-guru hari ini menyalin bulat-bulat soalan atau setidaknya copy & paste, rasa iri timbul.

Namun bila mengenang zaman keemasan Gestetner dulu, kudup senyuman memercik. Tak ramai pelajar kini yang faham apa yang saya catat ini. Buat saja carian di mana-mana enjin..... 

Semestinya perkembangan teknologi membuatkan semua bersyukur dan kurang merungut......

                                      ****************************

18 Februari 2013.

Di laman fb  Alumni Sek Men Agama Al-Falah, Kedah  muncul beberapa foto lama simpanan Puan Yaya.

Dalam melihat wajah nostalgik guru dan pelajar itu, terdapat sekeping foto arwah Ustaz Abdul Hamid Ismail bersama Cikgu Abdul Aziz Husin. Lokasinya di bilik guru merangkap bilik cetakan soalan, di bawah asrama puteri AlFalah semasa itu. Ternampaklah mesin Gestetner yang pernah saya tanyakan di atas [di bawah foto hiasan itu],hampir setahun lalu.



Usia foto di atas adalah 20 tahun. Mesin itu pula tentulah sekurang-kurangnya dua kali ganda usia fotonya.
Di manakah dia sekarang?


[diedit pada 20 Februari 2013, jam 8.12 malam]