23 March 2012

Geng Kola 1

Tahun kedua Alfalah dibuka semula, telah datang pelajar dari sekitar Kuala Kedah (sebutan mudahnya Kola). Antara yang terawal ialah Suhaimi Md Shah, Shukeri Wahab dan Abas Ahmad (tingkatan 3) diikuti Mustafa Ismail , Norhayati (adik Shukeri)dan lainnya di tingkatan Peralihan. Kebanyakan mereka tinggal di Lorong Mayat (tak tahulah kalau wikipedia boleh menghuraikan dengan tepat tentang lorong ini) dan sekitarnya.

Ketika itu, pasar malam Kola terletak di antara masjid (lama) dan jalan menghala ke pejabat Jabatan Laut. Keraplah kami ke situ . Setiap sepuluh langkah agaknya, mesti akan jumpa budak Falah...

Kelompok  dari Kola ini agak dominan kemudiannya. Hinggalah AlFalah ditutup, Geng Kola tetap ada.

Ketika jambatan di Kola masih dalam perancangan, pelajar dari seberang Kola terpaksa menaiki sampan penambang, naik bas hijau (The Kuala Kedah Transport Company) dari Kola ke Simpang Batas Paip. Dari situ mereka kena menunggu pula bas MARA untuk ke AlFalah. Tidak hairanlah kebanyakan mereka lewat sampai di sekolah dan ada yang tak sanggup menempuh cabaran itu lalu berhenti.

Saya pernah beberapa kali ke rumah pelajar di seberang. Kerana air Kola  atau kadangkala sampan pun takutkan saya, terpaksalah saya dan guru lain pergi secara susah melalui jalanraya - melalui Jalan Putera > Kuala Sungai > Kubang Rotan/Kelonchor........ Nak buat macam mana kalau dah air Kola yang keruh dan sampan pun macam tak sudi...

Dari situasi itulah, kemudiannya, satu jabatan kerajaan telah memberikan jaket keselamatan kepada pelajar Kola. Sampai sekolah ditutup, jaket-jaket berwarna oren lengkap berwisel itu tersimpan kemas di atas rak buku  bilik SPBT. Tak ada pelajar yang mahu membawa balik. Agaknya leceh anak Kola bergantung kepada pelampung!

Beberapa pelajar Kola mula tinggal di asrama. Antaranya Shukeri dan adiknya serta Md Aisa Mahmud(ejaannya betul AISA - apa khabarnya sekarang?)

Tentang Aisa, saya teringat sesuatu. Setiap kali balik, dia akan datang bersama beras padi tumbuk. Katanya di rumah, mereka makan beras padi tumbuk, tidak dikisar di kilang beras. Sebab itulah ototnya lain dari pelajar sebaya. Pejal - urat pula dawai bertulang besi.

Sekali peristiwa, seorang ahli keluarganya datang. Berbungkus -bangkas. Kepenatan menjinjing dari jalan raya, diletak semuanya di tepi rumah Ustaz Azizan. Saya yang kebetulan baru datang dari rumah berhenti. Melihat salah satu bungkusan kertas suratkhabar cina, saya tahu itu untuk Aisa. "Beras?" saya membuat ayat tanya tunggal sambil muncung diarah ke bungkusan itu. Dia diam. "Md Aisa tau dak 'ni?" Saya cuba pecahkan ais, kata orang putih. Seperti tadi, dia diam juga, cuma menyedekahkan sedikit senyum. "Tumbuk padi pakai alu ka lesung hindik(pijak)*?" Mulut ini masih cuba memecahkan bongkah ais. Diam juga.

Tiba-tiba saya nampak kelibat Cikgu Non dan beberapa pelajar di pintu asrama. Mereka seperti cuba memberitahu sesuatu dengan gaya tangan yang pelbagai. Mulut semuanya berkerising. Saya bersalam dengan ahli keluarga Aisa itu sambil mengisyaratkan untuk pergi ke arah asrama.

Saya disambut oleh kernyihan berskala besar dari semua mereka. "Hang tak tau ka? Dia 'tu bisu!" kata Cikgu Non, "... ada kutu  dah kena dah tadi..." Seperti ada konduktor muzik di depan, mereka ketawa serentak. Muncung saya menyebut 'O' tanpa bunyi..............



lesung hindik(pijak)* - kalau Wikipedia tak tahu, rujuk Sapedia-sapedia!