16 October 2012

Mawar: Putih Di Tengah Merah


Hamidah
Shahrom
Roselah
Norniza
 
Merekalah empat wanita yang pernah berada di pejabat AlFalah sebagai kerani sepanjang saya berada di AlFalah hampir dua dekad.
Hamidah tinggal di Kg Haji Jamal, tidak jauh dari rumah Cikgu Abdur Rahim Daud dan rumah Hj Abdul Rahman Lebai Yahya, Pengerusi Lembaga Tadbir AlFalah ketika itu. Maaf, saya terlupa akan nama ayah Hamidah. Dialah yang menyambut saya pada hari pertama masuk ke pejabat ketika melaporkan diri untuk bertugas.  Peramah dan tidak lupa bertanyakan khabar setiap kali bertemu pada saban pagi di pejabat. Saya mengingati imejnya berskaf berbunga-bunga, duduk di belakang mesin taip jenama Olivetti yang besar di atas meja.Dia tidak lama di AlFalah selepas itu kerana ketika sedang mekar, dia disunting menjadi isteri seseorang…..

Shahrom Saud, mesra dengan panggilan Kak Om oleh semua pelajar AlFalah, antara yang lama bertahan di pejabat. Saya memanggilnya dengan tergambar di kepala bukannya huruf O dan M sahaja, sebaliknya OHM. Ini simbol Ohm(Ω), sesiapa yang pernah belajar sains tentu ingat akan simbol ini. Kalau saya mencatatkan sesuatu untuknya, saya hanya perlu tuliskan: Untuk Ω!

Ohm cukup peramah dan disenangi oleh semua warga AlFalah. Pernah sekali, ketika asrama puteri AlFalah ketiadaan warden, Ohmlah yang mengambil tugas itu, meninggalkan keselesaan di rumahnya di Tebengau. Kalau ada rombongan ke mana-mana, kami, guru-guru lelaki memang sudah faham: mesti dikosongkan perut sebelum berangkat! Dari mula  duduk di dalam bas untuk bertolak hinggalah duduk semula di dalam bas untuk balik, ada sahaja makanan yang disuanya untuk kami!

Zaman itu penggunaan mesin gestetner bagi menyalin soalan peperiksaan adalah lumrah. Mesin fotostat walaupun ada, terletak jauh di Alor  Setar. Kami akan menaip di atas stensil sebelum digelek di mesin gestetner. Sampai pukul berapa pun Ohm akan menunggu untuk menghimpun-atur kertas soalan dan mengokotnya. Kadangkala terpalit sama dakwat pencetak ke pakaiannya……

Meski kebanyakan kami, termasuk Ohm, masih solo waktu itu, hubungan kami sudah seperti  adik beradik. Bergurau dan bertekak hampir setiap hari namun masih menjaga sempadan pergaulan. Hinggalah suatu hari dia terpaksa mengundurkan diri kerana keluarganya ingin mengadakan kenduri…… Ohm akan berkahwin! Kami kehilangan seorang saudara dan rakan yang baik, amat baik…..

Rumahnya yang pernah beberapa kali dikunjungi sebelum itu, termasuk pada hari raya, seperti kehilangan serinya apabila kami kunjungi pada hari perkahwinannya. Kami benar-benar kehilangan…..

Sejak itu jugalah saya tidak pernah berjumpa Ohm lagi walaupun jarak antara AlFalah dan Tebengau bukanlah jauh. Khabarnya dia mengikut suami ke tempat lain. Kalau tidak salah di Bukit Pinang. Telah mempunyai anak-anak yang telah menginjak dewasa dengan salah seorangnya bakal bergelar doktor.
Shahrom, di mana pun puan kini, kami iringkan doa agar sentiasa sihat, sentiasa menceriakan keluarga.

Hajah Roselah Haji Ahmad,  muncul menggantikan Ohm. Dia datang dengan dikelilingi oleh ramai sanak-saudara yang sedang belajar di AlFalah. Lama juga masa untuk kami memulihkan perasaan bagi menerimanya setelah kehilangan Ohm.  Roselah [kami tak panggilnya Mak Aji agar tidak terlalu jauh jurang hubungan] juga mudah dibawa bersembang walaupun sedikit pendiam berbanding Ohm. Tenang menghadapi sebarang masalah dan kerenah di pejabat. Kadangkala kepada dialah kami, terutama si tukang catat ini, menceritakan sebarang masalah. Dia pendengar yang baik.

Dia ke AlFalah bersama pelajar-pelajar lain dari Batas Paip dengan menumpang bas MARA. Demikianlah juga waktu pulangnya. Namun saya sering teringat, sebaik loceng akhir berbunyi, akan ada seorang anak saudara penemannya muncul di luar pejabat. Menggunakan cermin yang memisahkan bilik pengetua di tengah-tengah pejabat, dia akan membetulkan tudung, kadangkala sambil membetulkan hidung, tanpa menyedari kami berada di balik cermin itu, memerhatikannya!

Dalam kelembutan dan ketenangannya, kami semakin mesra. Saya teringat satu kisah bagaimana berlaku masam muka seorang isteri guru. Puncanya, di rumah guru itu, radio sedang berbunyi  dengan kuat, manakala si guru mungkin hendak bersolat. Maka disuruhnya si isteri mematikan bunyi radio tersebut. “Roselah, tolong tutup radio ‘tu….” Isteri yang bukan bernama Roselah itu pun…… Maaflah, kisah ini dibangkitkan untuk membuktikan betapa akrabnya nama hajah kerani itu di bibir kebanyakan guru kerana keakraban kami di sekolah. Pasangan guru berkenaan pun kini amat berbahagia dengan anak-anak yang sedang membesar…..hehehehe.

Lama juga Roselah di AlFalah. Bila dia disunting untuk diperisterikan orang, fahamlah kami akan kitaran itu. Sekali lagi kami akan kehilangan seorang petugas yang baik dari pejabat.

Lama saya tidak berjumpanya, hanya sesekali berselisih mungkin tanpa disedarinya di sekitar Kola. Namun dia muncul pada perjumpaan Hari Raya di dewan SK Taman Bersatu dahulu. Turut muncul adalah anak saudara penemannya yang sering membetulkan tudung di cermin pejabat dahulu – kini sudah beranak tiga! Dapatlah saya berbual sekejap dengan mereka dan Roselah – bertaraf tauke kini – menyatakan terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan Ustazah Rohana  Hamid dan Ustazah Rodziah Ahmad pada hari itu. Namun, kemunculan Cikgu Siti Khadijah Osman, lewat petang tersebut dapat mengurangkan rasa terkilan untuk bertemu guru-guru semasa dia berada di AlFalah.
 
Semoga Puan Hajah Roselah Haji Ahmad akan sentiasa berbahagia bersama keluarga tersayang dan dapat lagi berjumpa dengan kami walau hanya sekali dalam setahun……

Norniza Johari adalah bekas budak AlFalah. Dia menggantikan Roselah menjalankan tugas di pejabat. Sebagai bekas pelajar di situ, tentulah dia tidak bermasalah dengan perwatakan dan kerenah guru-guru. Malah dengan para pelajar, dia lebih sebagai rakan sebaya! Itulah juga ketikanya tahun-tahun terakhir saya di AlFalah. Dialah yang tahu gelodak hati dan kenal tingkah saya, yang sering buang tabiat di hujung-hujung kerjaya itu.Sesiapa yang ingin mengkaji tukang catat ini bolehlah merujuk kepadanya……

Norniza seorang ulat buku. Itulah diet yang menyebabkan dia berjaya mengekalkan bentuk badan seperti pelajar sekolah menengah…..Novel yang saya pinjamkan kepadanya dapat dihadamkan dengan cepat biar setebal mana juga. Mungkin kerana mempunyai banyak masa ketika bersendirian di rumah…..

Satu hari dia menunjukkan surat tawaran kerja sebagai Pembantu Tadbir Kementerian Pelajaran, ditempatkan di sekolah rendah jenis kebangsaan [cina] di Kuala Sala. Rupanya telah lama dia menghadiri temuduga untuk jawatan itu. “Demi masa depan….”katanya dan saya menyetujuinya.

Sekali lagi kami terpaksa menghadapi kehilangan petugas pejabat. Sesekali saya nampak Norniza dihantar oleh ayahnya ke tempat kerja, melalui jalanraya di hadapan bendang menghadap AlFalah…

Kini, sekolah cina itu telah tiada. Tapak dan bangunannya telah dijadikan seperti pusat bagi sekolah-sekolah mengadakan kem dan kegiatan ko-kurikulum. Akan Norniza tidaklah saya tahu di mana kini dan bagaimana khabarnya. Bukan jauh Alor Ibus dengan AlFalah, tetapi …… banyaknya alasan untuk diberikan bagi mewajarkan kenapa saya tidak tahu perkembangannya!

Seorang  dua dari empat wanita yang saya catatkan di atas mungkin pernah anda kenali sepanjang berada di AlFalah. Doakanlah kesejahteraan buat mereka. Kunjungi dan bertanya khabar jika itu terjangkau dan diizinkan-Nya.

AlFalah bergerak dengan kewujudan mereka jua. Mungkin mereka lebih banyak menyimpan rekod terperinci tentang anda berbanding saya – termasuk yuran yang tertunggak ……hehehe.

Merekalah bunga yang bersilih-ganti menyerikan ruang pejabat AlFalah. Memesrai setiap denyut di situ….

Terima kasih buat Hamidah, Shahrom, Hajah Roselah dan Norniza.

No comments: