Kuala Lumpur, Ahad, 6 November 1988.
Inilah tempat, hari dan tarikhnya!
Penggemar bolasepak seluruh negara sedang menunggu dengan
penuh minat akan keputusan perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini. Adakah
akan muncul pasukan baru selaku juara, atau kedudukan seperti tahun lalu
berulang, menyaksikan Kedah pulang hampa selaku naib juara?
Pagi itu kami tidak ke mana-mana. Masih belum sepenuhnya pulih
dari keletihan setelah melalui dua hari yang menyenakkan. Lagi pula kami
memerlukan mental dan fizikal yang benar-benar segar untuk turut membingitkan
suasana di stadium pada malamnya. Daripada membazirkan tenaga melilau sekitar
KL, seperti kebanyakan penyokong Kedah yang menganggotai rombongan dengan bas,
lebih baiklah kami menyimpannya untuk digunakan demi nawaitu asal …..
Tuan rumah pula sejak malam tadi berkali-kali berpesan agar
kami “buatlah seperti rumah sendiri” di rumah itu. Kalau hanya Khairi, dipanggil
Paktam oleh Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy, yang berkata demikian, kesannya
tidaklah seberapa. Tetapi ini, kawannya si tauke ayam itu juga berkata dengan
nada dan frasa yang hampir serupa. Malah, tatkala akan bertolak ke pasar
sebelum Subuh, dan kami pula sedang mamai, sekali lagi dia mengulang pesanan
itu.
Kami sedar diri. Kami hanyalah penumpang. Siapalah kami untuk
melawan cakap mereka….
Supaya mereka tidak berjauh hati, dan dikatakan tidak
menghargai pesanan tersebut, terpaksalah kami meletakkan diri masing-masing
sebagai tuan rumah. Kami mengeliat sepuas hati membetulkan urat dan otot yang
keletihan. Bergolek-golek serta bergelak-gelak. Yang ingin mengayakan penaja
utama liga bolasepak semi-pro Malaysia, berkelun-kelun asap dilepaskan
menerawang ke segenap ruang rumah. Yang bersubahat menyedut asap, kembang kempis hidung
menariknya ke trakea untuk dibawa oleh tiub bronkus ke paru-paru [bronkiol dan
alveolus]. Tuan punya hidung itu seperti tidak peduli lagi, maklumlah telah
terbiasa sejak bertolak dari AlFalah….
Apabila terasa lapar, kami hanya menjeling ke meja di
tengah-tengah ruang tamu itu. Di situ telah tersedia nasi berbungkus. Minuman
pun demikian pula. Cukup menghairankan. Entah bagaimana bungkusan nasi dan
minuman itu boleh tumbuh di situ……
Selesai makan, kami kembali berlingkar.
Ada yang meniarap, ada yang bersandar di sofa; membelek-belek bahagian
sukan tiga akhbar mingguan. Sambil membaca ulasan dan berita tentang perlawanan
akhir nanti, kami turut membuat analisis sendiri. Lama juga kami kekal pada
topik utama itu. Masing-masing menunjukkan kepakaran sebagai penilai. Senarai
barisan berkemungkinan pasukan Kedah dan Kuala Lumpur yang dipetik dari semua
akhbar diperkatakan. Semua bahagian dalam pasukan – pertahanan, tengah dan
serangan – diulas, dikupas atau dikopek.
Cikgu Hj Ahmad Shafie |
Chow Kwai Lam |
Setelah berhujah tentang kekuatan dan kelemahan setiap
pasukan, kesimpulan yang kami dapati cukup menggembirakan: Skuad bimbingan Cikgu Ahmad Shafie mempunyai banyak kelebihan
berbanding dengan pasukan kendalian Chow Kwai Lam
itu! Kesimpulan yang dibuat secara sebulat suara tanpa dipengaruhi oleh
mana-mana pihak itu membuatkan kami cukup teruja untuk ke stadium…… Mujurlah
Khairi cepat membawakan lima gelas minuman sejuk sambil mengingatkan bahawa
perlawanan akan bermula pada pukul 8.45 malam – lebih sembilan jam lagi….
Selepas mengosongkan gelas masing-masing, kami merendahkan
diri dengan kembali melingkar di ruang tamu itu. Mengeliat lagi berkali-kali
dan berguling-gantang semula. Sekiranya si tauke ayam tuan rumah balik ketika
itu, tentulah dia akan tersenyum seperti yang sedang dilakukan oleh rakannya,
Khairi. Ternyata pesanan mereka agar kami membuat suasana seperti di rumah
sendiri, tidak dipersiakan….
Pelbagai perlakuan dan gelagat dapat dilihat. Letih berbaring,
kami bangun semula membelek akhbar untuk sekian kalinya. Fakta baru ditokok
untuk mengukuhkan kesimpulan yang telah disepakati tadi. Sambil itu rokok tetap
dinyalakan.Andai ada saudara-mara Alfred Dunhill dari London datang ke rumah kami ketika itu, dia pun pasti tersenyum
bangga!
Petang hari tiba juga akhirnya!
Selesai Asar, kami memulakan langkah ke medan juang. Sebelum
itu, kami mandi sepuasnya, berlangir apa yang patut dan mengenakan kemeja-t
kain kapas aneka corak.
Berdiri di luar rumah, melihat diri masing-masing, terasa ada
sedikit kejanggalan. Tiada seorang pun di antara kami yang berpakaian seperti
penyokong pasukan Kedah - tiada secalit pun warna hijau atau kuning.
Khairi, yang masih duduk di dalam rumah, dan masih berkain
pelikat hanya memerhati. “Baju KL pun ada ‘ni…hehehe. Sapa ‘nak pakai?” katanya
sambil menepuk baju merah-putih yang dihampar pada penyandar sofa di
sebelahnya. Tiada yang menyanggupi waimma
dua anak saudaranya itu. Sia-sialah kami berkelana beratus-ratus kilometer,
jika mengenakan baju berwarna pasukan lawan! Appara!
Oleh kerana ‘kura-kura’ yang kami naiki telah mencapai muatan
maksimum, tidaklah kami mempelawa Khairi menumpang sama.
Kami tidak pula rasa bersalah melihatnya makin menjauh
ditinggalkan di muka pintu rumah. Berulang-kali dia menyatakan “KL ‘ni aku yang
punya!”, tentulah dia ada cara untuk sampai ke stadium yang sahihlah juga
kepunyaannya! Dia sempat berjanji untuk berada di sisi kami, ketika perlawanan
bermula nanti. Walaupun yakin janji itu akan ditepati, sebagai langkah
berjaga-jaga, Ustaz Fairose tetap menggenggam lima dari enam tiket yang dibeli
oleh Paktamnya itu. Manalah tahu, memasuki stadium bukannya seperti memasuki
surau AlFalah…..
Seperti dijangka, masalah utama kami adalah mendapatkan tempat
meletakkan vw sedekat mungkin dengan stadium. Setelah berputar-putar hampir
setengah jam, supir kami yang baik dan
cekap berjaya menempatkan vwnya di sisi pagar sebuah bangunan. Jaraknya dengan
stadium….lumayan juga. Jika setiap langkah kami diganjarkan pahala, pastinya
kami tergolong di antara yang paling banyak menerimanya……
Di perkarangan stadium penyokong Kedah mula bersesak.
Penyokong pasukan lawan tidak begitu kelihatan, maklumlah Kuala Lumpur sejak
lama ketandusan penyokong berbanding pasukan negeri-negeri lain. Kalau Kedah
menentang Kelantan, misalnya, barulah bilangan penyokong berkedudukan seimbang.
Kami melilau seketika di sekitar stadium, melihat gelagat
rakan-rakan senegeri berkeliaran memperagakan semangat Hijau Kuning menerusi
baju, topi, mafla,rambut a la pengesat lantai dan contengan muka serta
mengheret lipatan sepanduk. Nampak sangat kami yang tidak patriotik – menjadi
seperti sekumpulan yang amat berbeza, berbusana seperti pergi menonton wayang
pacak – berdiri di tengah-tengah mereka. Walaupun mungkin tidak mengenali
antara satu grup dengan grup lain, ternampak kemesraan mereka setiap kali
bertembung atau berselisih. Masing-masing menegur dengan keupayaan sendiri –
mengangkat tangan, menyebut ‘hai’ atau menjeritkan ‘Hidup Kedah!’. Yang ramah
sedikit akan bertanya grup yang ditemui datang dari daerah mana atau datang
dengan apa.Tetapi grup yang tidak bercirikan penyokong Kedah tidak mendapat
sapaan begitu. Satu daripada grup begitu adalah kami berlima. Terasa ‘tau dibuat
begitu - apabila kehadiran kami bagai tidak dipedulikan langsung oleh penyokong
Kedah berkulit hijau kuning itu. Lebih-lebih lagi mengenang diri yang hanya
lima batang kara di tempat orang….hehehehe.
Kemudian kami bergerak menyusuri puluhan gerai berpayung. Di
satu gerai menjual nasi bersambal ayam, kami membeli lima bungkus. Tuan gerai
di sebelahnya yang menjeling-jeling ke
arah kami turut mendapat habuan apabila membekalkan pula lima bungkus
air bercampur gula yang diserikan oleh pencelup merah.
Kami mencari bibir jalan untuk duduk bagi mengosongkan bekas
polisterene dan bungkusan air itu. Sambil mengunyah, kami masih memerhatikan
gelagat penyokong Kedah berhampiran stadium. Ramai juga yang telah berada di
dalamnya, berdasarkan gema keriuhan yang terhasil.
Setelah mengagak nasi bersama lauknya telah sampai ke usus
besar masing-masing dan tiga perlima daripadanya telah puas membebaskan karbon
monoksida berkepul-kepul ke udara, kami pun menuju ke pintu stadium. Dalam
beratur dan bergerak perlahan itu, sempat juga saya nampak kelibat beberapa
orang yang saya kenali dari sekitar Simpang Empat, Kangkong. Semuanya kelihatan
ceria dan begitu yakin akan pulang dengan kemenangan pada kali ini. Tengok gaya
lenggang pun dapat dikenal akan keyakinan itu.
Rupa-rupanya tempat duduk kami adalah di belakang gol, di
sebelah kanan tempat duduk VIP. Biarlah, asalkan ada di dalam stadium dan dapat
menyaksikan perlawanan secara terus.
Penonton kian ramai. Sorakan makin gemuruh. Seluruh stadium
diserikan oleh Mexican Wave – penonton
bangun dan duduk secara bergilir mengikut peringkat yang bersambungan,
menghasilkan ‘ombak’ beralun yang cantik. Semua ini berdasarkan corak formasi
yang dihasilkan oleh para penonton di stadium-stadium semasa Piala Dunia 1986
di Mexico, di mana Maradona mengetuai pasukan Argentina menjuarainya. Supaya
tidak dipandang serong, terpaksalah kami bangun beberapa kali apabila ‘ombak’
itu sampai ke tempat kami duduk…..
Ketika pemain masuk ke padang untuk memanaskan badan, suasana
di stadium sudah terbakar dengan gegak gempita. Ketika itulah Khairi
menghampiri kami, membawakan beberapa bungkus kacang dan kuaci. Gagah sungguh
dia dalam baju yang agak tebal, meminta laluan untuk sehampir mungkin dengan
kami. Sebelum duduk, dia menghulurkan sebahagian bungkusan makanan rencam itu
kepada kedua-dua anak saudaranya untuk kami kongsi bersama. Dia kelihatan cukup
ceria dan ramah. Semua yang dilihat memandangnya dibalas dengan lambaian atau
anggukan bersadur senyuman manis. Ramai juga yang mendapat balasan berbentuk
itu. Agaknya betullah, KL ini kepunyaannya……
Gegak gempita bagai berganda menjelang sepak mula. Barisan
pemain yang berbaris untuk diperkenalkan kepada tetamu utama, baginda Sultan
Kedah kelihatan bersemangat. Selepas bergambar kenangan pasukan masing-masing, Ahmad Sobri Ismail selaku kapten pasukan Kedah
bersama kapten Kuala Lumpur, Razip Ismail dipanggil
pengadil. Kedah akan bermula dari kiri tempat duduk VIP, ertinya jika Hussin
Jaafar dan rakan-rakannya membuat jaringan pada separuh masa pertama, kamilah
di antara penonton terdekat yang menyaksikannya…….
Percaturan Cikgu Ahmad
Shafie adalah dengan menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Ahmad Sobri, K.Ravichandran, Lee Kin Hong, Ng Chew Beng, Mohamad
Ramli,Naina Mohamad, Koet King Heyong, Chan Keat Swee,Radhi Mat Din, Hussin
Jafar dan Norazam Ishak.
Benar-benar 1Malaysia.
Kwai
Lam pula meletakkan Abd Rashid Hassan, Tang Siew
Seng, Razip Ismail, See Kim Seng, Chow Siew Yai, Malek Awab, Mohd Zan Mat Aris,
Fandi Ahmad,Saidin Osman, Subadron Aziz dan S.Balachandransebagai
pertaruhan awalnya. 1Malaysia + 2Singapura
kerana kehadiran Fandi Ahmad dan Malek Awab, warga Kota Singa…….
Kedah
berjersi keramat Hijau Kuning manakala KL memilih warna merah garang.
Penyokong Kedah lebih ramai dari penyokong Kuala Lumpur
berdasarkan sorakan ketika nama-nama pemain diperkenalkan oleh juruacara. Namun
bilangan yang sedikit itulah yang lebih riuh kemudiannya apabila Malek Awab
menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit kelima. Terkedu seketika
ribuan penyokong Kedah sebelum kembali bersorak memberi semangat kepada para
pemain kesayangan mencari gol penyamaan.
Dalam mengharapkan Kedah mampu memecahkan kebuntuan, muncul
pula gol kedua KL. Kali ini menerusi penyudahan kemas Subadron Aziz, kira-kira
setengah jam selepas gol pertama.
Bukan Kedah tidak pernah mengejar dua gol……. Mungkin itulah
ungkapan yang tersemat di dada kesemua penyokong semasa permainan memasuki
separuh masa kedua.
Semasa rehat sebelumnya pun kalimat itu bersambung sesama
penyokong – tidak lebih sebagai penyedap hati …..
Kedah menyerang seperti yang biasa mereka lakukan di dalam
perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir. Namun gol semangat yang
dicari-cari tidak muncul. Hussin Jaafar sentiasa dirantai, Norazam Ishak
ketandusan idea di bahagian sayap untuk memecahkan benteng kukuh lawan manakala
penguasaan Radhi MdDin di tengah sedikit tenggelam diserap oleh saingan Mohd
Zan dan Malek.
Namun sorakan kami bersama ribuan penyokong lain tidak pernah
putus. Tinggal sepuluh minit permainan pun, kami yakin skuad Kedah masih
berupaya berbuat sesuatu untuk menggembirakan kami. Bukan tidak pernah Kedah
menjaringkan dua gol dalam masa 10 minit…….
Namun harapan kami berkecai pada minit ke-82. Ramlan Askolani yang baru empat minit masuk
menggantikan Balachandran, mendapat
peluang, lalu menewaskan Ahmad Sobri. Betul-betul di hadapan kami dari tempat
duduk di belakang pintu gol Kedah. Jaringan beserta kelonglaian dan kekesalan
pertahanan Kedah tatkala melihat bola melepasi garisan gol masih berbekas di
minda hingga kini. Salah seorang pemain yang terduduk sambil menepuk bumi
seakan mewakili hati kami menzahirkan kekecewaan.
Bersorak sakanlah penyokong KL kerana sah juga Piala Malaysia
sekali lagi menjadi milik warga kota dengan masa perlawanan tinggal hanya 8
minit. Memang Kedah, malah Brazil, tidak pernah menjaringkan 4 gol dalam masa
sesingkat itu pada peringkat genting pula. Lainlah kalau pemain amatur di
padang AlFalah……Sepetang saja berpuluh-puluh gol tercipta!
Untuk tahun kedua berturut-turut, kami, ribuan penyokong
pasukan Kedah terpaksa menelan kepahitan. Perit lagi rupanya apabila menelan
pula di dalam stadium perlawanan…..
Ramlan Askolani [kini] |
Paktam Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy itu rupanya memakai baju
keramat KL di bahagian dalam. Baju biasa yang saya lihat agak tebal pada awal
tadi itulah yang dilucutkannya lalu dikibarkan dengan riang….
Kami tidak terkata apa-apa. Kami hanya penumpang manakala dia tuan punya KL…… Tapi kalau saya tahu
demikian sudahnya, baju merah putih yang diletakkan di sofa petang tadi, akan
saya sumbatkan ke dalam mangkuk tandas!
Kami melangkah keluar stadium belum pun wisel penamat
dibunyikan. Hampa sungguh oooo. Pedih lagi apatah mendengar kekekan Khairi yang
bertanya ke mana gerangan kami berderet berlima…….
Di luar, ramai penyokong Kedah telah mula mencari ketua dan
bas rombongan. Nampak jelas kemurungan pada wajah mereka. Saya tahu mereka
sedang merasakan betapa jauhnya untuk sampai ke rumah di Kedah……
Kami berjalan ke tempat kereta diletakkan. Terasa amat jauh
perlu diatur langkah untuk sampai. Sepanjang jalan kami mengiringi atau
memintas ramai penyokong Kedah yang datang bersendirian – turut menuju ke
kereta masing-masing. Melihat mereka bermuram durja sambil melangkah, timbul
kesyukuran juga di dalam hati. Dengan memakai baju biasa tidaklah kami terasa
apabila terserempak dengan penyokong KL. Saya tidak dapat bayangkan apa yang
ada di hati peminat yang berbaju petak-petak hijau kuning atau jalur-jalur
kuning hijau ketika melihat peminat KL tersenyum-senyum…..
Sampai di kereta, wajah vw pula kelihatan seperti sedang
tersenyum – dengan dua mata terbeliaknya……Cet!
Kami masuk dan dibawa pak supir keluar dari hiruk-pikuk
sekitar stadium. Tidak banyak yang kami ulas sebaliknya diganti dengan dengusan
dan keluhan.
Kami singgah di sebuah kedai makan untuk memenuhkan perut.
Pelanggan semuanya sedang menyaksikan acara penyampaian hadiah kepada finalis
Piala Malaysia di tv. Tiada siapa yang pedulikan kami selain tuan punya kedai –
orang Kelantan yang mungkin sedang mengasah semula kemahiran dialeknya setelah
dua hari terkehel lidah bergebang dalam loghat Kedah…..
Sekali lagi saya bersyukur ketika menunggu pesanan tiba.
Kerana memakai baju biasa-biasa tiada siapa pedulikan kami. Kalaulah ada di
antara kami yang memakai baju bercirikan pasukan Kedah, agaknya kenalah kami
menyedut minuman dari bawah meja….
Memandang ke luar, sekali lagi saya bersyukur. Baru saya
perasan vw Ustaz Fairose pula bukannya bernombor pendaftaran dari negeri
kelahiran kami!
Lama juga kami menunggu makanan sampai. Maklumlah tuan kedai
juga berminat untuk melihat Razip Ismail menjulang piala.Ada antara kami yang
terlalu lapar sudah mula berang tetapi demi tidak mahu mendedahkan identiti,
terpaksalah keberangan itu diluahkan di bawah meja! Ptuih!
Sambil itu, kami berbincang tentang plan untuk esoknya.
Sepakat kami tidak mahu pulang lekas ke Kedah. Kehampaan perlukan sehari dua
untuk pulih dan kami tidak mahu bergerak pulang bersama dengan rombongan dan
individu yang sedang sekecewa kami. Lagi pula takut juga ada yang cedera di
AlFalah jika banyak bertanya ketika menyambut kami kelak!
Tetapi sehari dua itu tidaklah mahu diisi dengan duduk
melingkar sahaja di rumah Khairi – orang
Kedah yang telah luntur cinta pada tanah tumpah darahnya!
“La ‘ni kita balik tidoq dulu…..”
Saya tidak ingat siapa yang melontarkan kata-kata demikian.
Yang pasti, maksudnya adalah pulang ke rumah tempat kami
berlingkar dari malam hingga petang tadi.
Kerana di situ, masih tersimpan beg-beg pakaian kami.
Tetapi di situ, ada seseorang sedang meraikan kejayaan pasukan
warga
kota membelasah skuad dari negeri kelahirannya…
Di situ!
Tetapi siapalah kami untuk ke situ hanya untuk mendapatkan beg
dan keluar semula di tengah-tengah malam buta. Bukan takut tetapi tidak pernah diajar untuk berbuat biadap kepada tuan rumah.....
Kami mesti bersikap semi-pro seperti juga liga Malaysia ketika itu
- pulang dan tidur di situ menunggu pagi.
No comments:
Post a Comment