19 November 2012

Sepasang Merpati Di Tepi Pagar AlFalah

Salam...Tetiba teringat peristiwa solat tarawikh di kampung berhampiran AL-Falah....Imamnya saya dah lupa....Tapi ...bacaan al-Fatihahnya hanyalah senafas saja...kalau tak silap..surau tu berwarna biru...kalau boleh cikgu Salahuddin Mohd Jusoh membuat pencerahn...tq...
Demikian tulis Pawang Nujum di laman fb Alumni AlFalah pada jam 9:55 malam 17 November 2012. Setengah jam kemudian saya pun mencatatkan sedikit:
Surau Hj Ahmad.Imamnya Hj Ahmad (arwah), ayah kepada makcik Habsah yang jual ais Malaysia satu sekupang tu.... Anaknya Nasir pernah belajar di AlFalah. Tiga beradik cucunya - anak makcik tadi - yg pernah belajar di situ adalah Ayob, Hafizoh dan Rozinatun Hanim Talib. Rosli Jasin dr Ptg Bendahari, Sbrg Perai, bekas pelajar Falah menjadi suami Rozinatun Hanim. Rosli ni mukanya hampir sebiji dgn Pawang Nujum. Maka kami panggilnya 'Nyan', mengenang bapa saudara Pawang di Sg Nonang - terubatlah rindu budak asrama terutamanya terhadap Pawang yang meninggalkan mereka.....
Kemudian, kami terus bersembang sedikit untuk bersesuaian dengan pencerahan yang dimintanya.
Ketika menunggu datangnya lena, selepas memasukkan entri Cikgu Norhashimah Mansor, saya terkenang sesuatu. 
Betapa banyak wira 'lain' muncul sepanjang saya di AlFalah.....
Dan satu pasangan suami isteri muncul paling awal.....
Siapakah boleh menafikan peranan PakNdak Mat - Ahmad bin Saad - ayah Ustazah Rodziah dalam menaikkan kembali AlFalah. Dialah insannya yang turut membaiki bahagian atas bangunan dua tingkat untuk dijadikan asrama puteri pada hujung tahun 1983 sebagai persiapan menyambut sesi persekolahan 1984. Kami turut membuat sebuah bilik untuk warden di tengah-tengah asrama itu. Di bawah beranda, antara pecahan dua tangga, kami siapkan pula tempat memasak, cukup untuk diletakkan lima enam dapur minyak tanah bersumbu dua belas..... Dinding dan pintunya dibuat dari papan lapis tipis berbingkai kayu kecil sebesar pembaris.
Ketika kayu bangunan dari bekas sekolah Ustaz Azizan [Sekolah Fajas Islam]di Kg Baru. Alma, Bukit Mertajam, sampai dan diletakkan di tepi jalanraya [kerana lori 'besar' tidak dapat masuk ke kawasan AlFalah], PakNdak Matlah yang mengumpulkan orang kampung untuk mengangkutnya bersama-sama dengan sebilangan waris pelajar yang Cikgu Rahim, Ustaz Zubaidi dan saya maklumkan secara peribadi dari rumah ke rumah - dari Sala Kechil hingga ke Alor Ibus.
Ketika 'bangunan' itu mahu didirikan semula, di tapak perancangannya masih ada bangunan kayu sekitar 40'x60'. PakNdak Matlah juga yang mengumpulkan orang kampung untuk mengusung bangunan itu bagi dipindahkan ke bahagain belakang rumah Ustaz Azizan. Tujuannya adalah menjadikan bangunan itu sebagai asrama putera.
Di tapak yang baru itu pula masih terdapat beberapa pokok kelapa seusia AlFalah yang diasaskan pada tahun 1955 itu. Malah ada dua batang pula bakal menghalang perjalanan bangunan itu. Saya masih nampak bagaimana pada pagi gotong-royong itu diadakan, dengan langkah perkasa PakNdak Mat berbekalkan sebilah kapak, menebang sebatang demi sebatang pokok kelapa bagi memberi laluan serta ruang bangunan itu ditempatkan. Mengatam batang dan mencantas pelepahnya sebelum diangkat ke tepi oleh orang ramai.
Tiada perobohan pada bangunan. Ia diusung oleh ramai orang setelah PakNdak Mat dan beberapa tukang rumah mengikat atau melekatkan kayu panjang pada sekeliling bangunan. Riuh rendah sorakan mereka ketika bangunan itu diusung. Kalaulah boleh divideokan.......
Selepas itu, hampir setiap hari, terutamanya waktu petang, PakNdak Mat akan berada di kawasan sekolah. Di tangannya pasti ada gergaji atau penukul. Dibaikinya atau dibaikpulih apa sahaja di sekolah atau di asrama.
Ketika sekolah dibuka, isterinya, MakNdak Pah [Hajah Arfah] bertindak sebagai pengusaha 'kantin'. Dengan jumlah pelajar yang tidak seberapa, yang membawa wang saku yang tidak seberapa juga,jualannya tentulah tidak seberapa pula. Tetapi MakNdak tidak pernah terlupa untuk memperagakan senyumnya. Dia menerima seadanya hasil jualan, malah beberapa pelajar yang tidak berwang tidak dibiarkannya menelan liur sahaja.............
Kepada penghuni asrama , terutamanya sebelum Maklong/Maklang menetap di rumah di kawasan AlFalah, MakNdaklah 'tok' mereka. Selain menjadikan dirinya sebagai tempat bermanja, rumah dan kawasan sekeliling turut memanjakan mereka dengan menyediakan tv, ulam-ulaman malah tempat bermandi-manda....
Jika berlaku kekecohan, terutama kerana 'usikan' nakal makhluk yang tidak kelihatan, PakNdak dan MakNdaklah antara orang yang terawal tahu dan menerpa membantu.....
Ketika itu. Suatu waktu dahulu.....
Kini, kedua-duanya sedang uzur dalam meniti hari tua. 
Sesekali merenung bekas tapak kantin pada era awal pemulihan AlFalah dahulu, atau melihat bekas tapak asrama yang bersempadan dengan rumah mereka, atau menjeling bekas sekolah apalah agaknya yang mereka fikirkan? 
Mungkinkah mereka tertanya-tanya ke manakah suara yang meriuhkan suasana pagi, petang dan malam di bumi AlFalah suatu waktu dahulu?
Mungkin pula mereka hairan, berubah sangatkan jalan ke AlFalah, sehinggakan tiada sesiapa pun, di antara yang pernah mereka kenali, berjaya menemui jalan ke situ?
Kampung di tepi pagar AlFalah itu juga sunyi. Sepasang merpati - PakNdak dan MakNdak - hanya mampu memerhati...atau menanti.....
Sesekali, budak Falah, jengahlah......

No comments: