8 November 2012

Pawang Nujum Balik Kampung


Salam. Pawang nujum dah selamat tiba di sg tiang. [07:45:11]

Demikian mesej yang melompat ke kotak saya pada pagi 24 Oktober itu. Benarlah janjinya yang diuar-uarkan di laman fb. Saya membalas ringkas: Syabas. Welcome home. Dia menjawab, lagi ringkas: Tq.
Melihat waktu dia menghantar mesej itu, saya faham dia masih keletihan memandu dari Jerantut. Bandar itu bukannya terletak di Seberang Perai… Saya tidak mahu mengganggunya. Biarlah dia berehat secukupnya. Lagi pula baru hari Rabu. Sekurang-kurangnya dia akan berada di Kedah sehingga hari Jumaat – Hari Raya Aidil Adha….
Namun, kerana sedang menghadap komputer, saya menjengah laman.Saya umumkan di laman:
Mengumumkan ketibaan Pawang Nujum ke Negeri Jelapang Padi pada pagi ini. Belut sudah balik ke lumpur. Sirih telah pulang ke junjung. Janggut sudah datang ke dagu.

Namun, di sini saya berbuat khilaf sedikit.  Maaflah.

Pertama, perkataan junjung itu diganti dengan gagang. [Ingat murid-murid ya: ga + gang bukan gang + gang! Untuk kepastian sila rujuk ke sini].  Junjung digunakan untuk kaduk yang naik..… Kedua,menaikkan gambar dua biawak berpelukan sebagai lambang kebahagiaan yang sedang merata di dada. Marahlah beberapa orang hingga dari seorang daripadanya terkeluar dialek yang bukan dari leluhurnya….
Selepas itu, saya cuba mencari bahan untuk mengisi blog. Tidak pernah saya berlama menanti ilham tiba. Namun hari itu, hingga komputer ditutup, tiada apa yang muncul di kepala. Lalu saya meninggalkan komputer, bertukar kepada perbuatan yang tidak kurang seronoknya - mengacau menantu emak yang sedang menjahit pakaian cucu-cucu mertuanya!

Menjelang tengah hari, saya mendapat mesej dari Pawang lagi.
 Salam.Malam ni pukoi berapa?[11:38:24]

Sekejapnya dia berehat! Tetapi ,agaknya demikianlah rutin seorang pawang plus nujum. Tidurnya tidak pernah mengikut selera orang biasa….

Sejujurnya, saya sangat gembira mendapat mesej tersebut, sehinggakan tanpa sedar saya menghabiskan  dua gelas minuman sejuk yang disediakan oleh menantu emak untuk saya dan untuk dirinya! Memanglah membayangkan pertemuan nanti cukup menggembirakan. Akan tetapi saya lebih gembira  berbaur rasa syukur apabila terlihat perkataan ‘pukoi’ dalam mesej tersebut! Sahlah dia masih ingat loghat daerah kelahirannya walaupun lama bermertua serta menetap di Jerantut! Tidaklah seperti sesetengah orang yang cepat lupa akan usulnya. Contohnya, ada seorang budak Kedah. Dalam perjalanan menuju ke Kelantan, slanganya terus berubah ketika menjawab mesej saya. Dihantarnya :
Ambo dok dale ute dkat tasik banding, lg 2 je lg nok sapa ktere..ipm  nok rayo mah tok guru.
sedangkan ketika itu dia baru beberapa jam meninggalkan rumahnya di sebuah kuala yang senama dengan negerinya! Ada ka patut? Hehehe.

Maka dalam gembira. saya pun membalas kepada Pawang:
Cdg tengok. Sapa lagi yg ada jmput?

Saya tersenyum sebaik menekan butang menghantar mesej itu. Terasa diri seperti watak Orang Kaya Mahfuz [Tompel] dalam babak dari filem ANAK BAPAK, bertanya anaknya, Haron, lakonan P Ramlee: Siapa-siapa lagi yang ‘kau jemput untuk majlis malam ‘ni?

Selang seminit saya mendapat jawapannya:
Kita 4 aja.Saya wakil cikgu jemput lg 2 orang tu.Sy ikut saja.[11:43:16]

Dua orang itu, tentulah dimaksudkan Cikgu Abdur Rahim Daud dan Cikgu Mohd Zainon Puteh. Ikut saja maknanya, bawalah ke mana pun. Siaplah……

Segera saya hubungi Cikgu Rahim yang sedang dalam perjalanan pulang dari berurusan di Bukit Raya. Memaklumkan kepulangan Pawang ke Kedah dan mengajaknya berjumpa pada malamnya. Cikgu Rahim setuju. Tempat dan waktu akan saya nyatakan selewat-lewatnya selepas Maghrib kerana belum mengesahkan kedudukan Cikgu Non. 

Saya hubungi Cikgu Non pula yang sedang berehat di bilik eksklusifnya di hujung bangunan yang menempatkan bilik Kemahiran Hidup di SMA Sungai Limau. Seperti selalu, sahabat itu setuju sahaja dan mencadangkan waktunya sekitar jam 10 malam kerana ada sedikit komitmen di Guar Chempedak pada awal malam. Tempatnya? Cikgu Non mencadangkan salah satu lokasi yang biasa kami kunjungi dua tiga kali sebelum ini bersama beberapa bekas warga AlFalah…..

Selesai.

Kerana gembira, di dalam laman fb, saya catatkannya. Lihatlah akan respon dari seseorang itu:
·  Akan menghadap Pawang Nujum malam ini. Insya Allah. Bersama Cikgu Rahim dan Cikgu Non. Semoga mood Pawang baik waktu itu....
·  aku nk ikuttttttttttttttt
·  Itu pertemuan tertutup. Appointment dibuat sejak awal bulan. Kau ada?

Hehehe. Bukan disengajakan jawapan begitu. Tetapi kalau dia membaca mesej Pawang itu, tentu dia faham. Apalah daya saya melawan kehendak seorang pawang yang lagi nujum itu…..

Tetapi saya tabik juga kepada hamba Allah yang sering muncul di laman AlFalah itu. Dia tidak pun berkecil hati. Kebetulan kami telah berjanji untuk melayan ais salji Simpang Empat pada petang tersebut sempena pemergiannya selama seminggu ke rumah besan emaknya di sebuah negeri unik, di mana pasirnya saja ada pelbagai – ada pasir pekan [pastilah ada pula pasir desa…].ada pasir yang putih sahaja, ada pasir yang menjadi emas dan ada pula pasir yang boleh tumbuh!

Dalam seminit, segera ditukar butir bicara, malah sempat lagi menyakat seorang rakannya yang sedang mengharung hidup di Kuala Lumpur:

·  Appointment kita sat lagi mcmn?
·  ok ja. get, set, go!
·  yaya..ko ada
·  x pnh ada...... :'(

Maka menjelang pertemuan dengan Pawang pada malamnya, petang itu saya bersama dia, buat sekian kalinya meratah ais salji. Sambil berbual tentang beberapa hal yang tidak perlulah diperincikan di sini buat masa ini…..

Urusan mengambil anak di sekolah menjadi penyebab untuk kami berpisah kemudiannya. Lagi pula dia teringat menantu emaknya yang sedang mengitari Alor Setar, membeli beberapa benda lagi.

Demikianlah.

Menjelang Maghrib. Saya menghubungi Pawang dan Cikgu Rahim, memaklumkan masa dan tempat pertemuan yang dicadangkan oleh Cikgu Non. Kedua-duanya akur dan Pawang menyatakan akan keluar dari rumah keluarganya di Sungai Tiang sekitar jam 9:30.

Menjelang pertemuan mereka bertiga di pekan Simpang Empat, berkali-kalilah pula kami saling menelefon agar tiada sebarang onar. Pawang sampai di situ, tempat pertemuan dulu, lebih kurang jam 10:20, berjumpa Cikgu Rahim yang datang kemudian sedikit, diikuti oleh Cikgu Non yang secara marathon meredah lebuhraya, turun di susur keluar Alor Setar Selatan, memecut sepanjang jalan ban dari Tesco Stargate ke Kepala Parit dan seterusnya ke Simpang Empat. Dari situ mereka menaiki kereta Pawang untuk menghala ke tempat  saya mencakar rezeki.

Setelah lengkap set berempat, kami menghala semula ke Alor Setar.

Jalan tidak begitu sesak walaupun lagi 24 jam akan masuk malam raya haji. Agaknya umat kita belum betah betul dari demam raya puasa yang baru 40 hari ditinggalkan bulannya….
Simpang ke Tesco Stargate lengang. Cahaya lampu jalan boleh membantu sesiapa yang rajin membilang garisan putih di tengah jalan dengan mudah!

Ketika berhenti sebentar di lampu isyarat di situlah, berdekatan tempat yang saya sebutkan  dalam entri Nah dan Naum, di mana terdiri kawasan perumahan kos sederhana dan mewah, Pawang berkata:

“Siapa sangka boleh jadi lagu ‘ni……”

“Hah! Kalau hang ‘tau nak jadi macam ‘ni dulu, hang kaya ‘dah la ni …..”tingkah Cikgu Non.

Saya pun ambil satu mangkuk untuk menumpang: “Tapak Tesco ‘tu dulu alur saja. Sapa pun tak mau. La ‘ni, sapa yang ada tanah dekat tu kayala…..’’

Cikgu Rahim tidak bersuara.

Pawang sedang berkira-kira untuk bercakap ketika Cikgu Non berkata,“Kalau orang ‘tau nak jadi macam ‘ni dulu, pakat berebutla ‘nak beli tanah area ‘tu…”

“Rumah ‘tu dekat setengah juta…..” saya tambah semangkuk lagi sebaik melepasi Taman Gunung Hijau Di situlah seorang jiran saya dan Cikgu Non berpindah lebih setahun lalu. Daripadanyalah saya tahu harga rumah tersebut.

“Bukan macam ‘tu maksud saya….” Suara Pawang mematikan binaan ayat yang telah saya susun di dalam kepala, menunggu untuk dihamburkan ke dalam mangkuk….

Cikgu Non begitu juga agaknya.

“Maksud saya: siapa sangka boleh naik sekereta dengan cikgu semua. Dulu boleh fikir ‘dak benda  ‘ni jadi…..”sebiji-sebiji saya mendengar lontaran suara Pawang.

Sebiji kami terkena.

Nyata Pawang masih fokus kepada pertemuan malam itu.  Saya, dan mungkin Cikgu Non, memarahi mangkuk yang pandai-pandai hendak menumpang tadi….

Beruntunglah Cikgu Rahim yang tidak bersuara….

Maka kami kembali ke fokus utama.

Pawang diminta memandu memasuki Jalan Lencong Barat untuk ke Kuala Kedah. Berada berhampiran SMK Tun Sharifah Rodziah, Pawang bersuara lagi, “Sapa sangka nooo. Jalan ‘ni dulu kecik saja. Nak selisih pun payah…..”

“Tapi bas boleh selisih …..” saya yang tidak serik cuba memegang mangkuk lain, yang agak kecil. Kali ini pun ada mangkuk yang ditumpangkan oleh Cikgu Non atau Cikgu Rahim juga. Tetapi tidaklah lagi menyimpang macam tadi….

“Bas MARA noo….” Pawang bersuara perlahan seperti sedang bernostalgia. Tidaklah mahu saya tebak apa yang ada di fikirannya ketika itu. Dia pawang lagi nujum. Tidak dinujumkan apa yang ada di kepala saya pun, cukuplah…

Selepas melintasi sekumpulan polis trafik yang membuat sekatan jalan, Pawang bertanya tempat yang akan dituju.  Cikgu Non meminta kereta diperlahankan agar tidak terlepas dari tempat yang dimaksudkan untuk mengelakkan dari terpaksa membuat pusingan U yang jauh. Sambil itu kami memerhati ke kiri jalan. Bimbang juga kalau pekerja di tempat kami maksudkan sedang berada di seberang sempadan untuk menyambut raya…..

Akhirnya kami sampai di Restoran D’ Samila.

Bukanlah istimewa masakan yang menjadi punca kami bertandang ke situ. Menu di kebanyakan restoran makanan a la Thai ini semuanya sama. Biasa.  Malah hampir sama pula rasanya dengan masakan menantu-menantu emak-emak kami juga – pada menu telur goreng/dadar, sambal belacan, kailan ikan masin, nasi putih dan air suami buang i, terutamanya……

Gazebo lima enam buah diletakkan di keliling laman kedai.

Itulah puncanya. Bukan semua kedai makan mempunyai kemudahan itu. Kami boleh bersantai sepuasnya di atas gazebo itu. Berlunjur. Bersandar. Tidur mengiring, menelentang atau meniarap. Buatlah apa pun. Merokok atau bersubahat menumpang menyedut asapnya. Lantaklah. Tiada siapa melarang. Berbual-bual atau menyulamnya dengan tawa senada atau songsang. Ikutlah.

Kerana itulah kerap kedai itu menjadi pilihan. Tambahan pula, hingga awal pagi pun, tiada pekerja pura-pura datang menyapu sampah di dekat kami atau tuan kedai secara kerap beberapa kali melihat jam di lengan atau di belakang kaunter…….

Pawang memarkir kereta betul-betul di pintu masuk, menghimpit dua kereta yang agaknya telah lama berehat di situ. Bayangkan kesempitan di situ yang tidak membolehkan saya keluar dari keretanya jika masih ego tidak mahu mengecilkan sekejap saiz perut! Pawang terkekeh-kekeh melihat saya bergelut untuk melepasi pintu belakang keretanya. Tak apalah – dia ditakdirkan tidak boleh mempunyai perut sefleksibel perut ini….

Ada satu gazebo yang ditakdirkan tersedia untuk kami. Satu-satunya. Alhamdulillah.

Kami melangkah naik, berlunjur dan menyandar.

Pelayan yang sama jenisnya dengan kami, datang. Mengilik rangkuman menu bersalut plastik tiga empat keping serta sebuah buku kecil berselit pen.

Rambutnya, kalau ditakdirkan dimiliki oleh budak AlFalah dahulu tentu sudah disambar oleh gunting mandatori Cikgu Non – menerjah telinga. Mukanya tidaklah begitu manis. Tegang sahaja. Mungkin dia sedang teringat pergolakan berterusan di Selatan Thai. Atau mungkin teringat terpaksa beraya di rantau orang lagi. Atau mungkin memang wajahnya memang begitu!

“Mangoes!” kata  Cikgu Non. Pelayan itu mencatat pada buku kecilnya. Tulisannya mungkin berakar umbi dari seberang sempadan. Berbelit-belit.

“Mangga!” pinta Pawang pula. “Ada dak?” Pelayan mengangguk lalu membuat tanda palang pada pesanan Cikgu Non tadi.

““Mangoes! Kalau kena gaya pekatnya…fuh!” kata Cikgu Non lagi. Mendengar ‘fuh’nya,saya sudah terliur…

“Oren. Jus oren!” Kata Cikgu Rahim. Pelayan menulis berbelit-belit pendek lagi,pada buku kecilnya, di bawah pesanan Cikgu Non.

Empat pasang mata menghala ke arah saya. “Minta mangga juga..” saya memutuskan. Pelayan membuat satu lagi tanda palang pada pesanan Cikgu Non tadi.

“Makan?”tanyanya.

“Makan apa oi. Hangpa makanla. Aku baru kena tadi….”kata Cikgu Non. Dia makan bersama teman yang ditemui di Guar Chempedak, agaknya.

“Pilihla….”kata Pawang setelah lega dari tersentak sedikit kerana Cikgu Non tidak mahu makan..

“Mintakla. Aku usaha tak makan apa-apa tadi pasai ‘nak makan tang ni.” Kata Cikgu Rahim. Pawang tersengih.

“Cikgu Rahim ‘ni memang tak makan nasi pada waktu malam. Lama ‘dah. Tapi kali’ni dia ‘nak makan nasi dengan kita….” Saya mencelah. Nak buat macam mana. Mulut ini teringin juga menumpang…. Pawang tersengih lagi sambil menganguk-angguk sambil menjeling tubuh tegap Cikgu Rahim.

Kami bergilir-gilir membelek menu yang dihulurkan oleh pelayan.

“Nasi untuk 3 orang”

“Sup ekor”

“Telur dadar”

“Tomyam campur”

“Kailan ikan masin”

Demikianlah saling memesan.

“Udang dengan sotong goreng tepung!”, Cikgu Rahim menambah ketika pelayan hampir mengorak langkah. Pelayan berhenti untuk mencatat pesanan itu.

Kemudian, kami pun mula berbual secara bersemuka. Kerana lama tidak berjumpa, banyaklah juga yang kami ingin korek dari Pawang, selain bercerita tentang kehidupan kami terkini dan terdahulu.
Seperti selalu, tidak sahlah bekas warga AlFalah berjumpa tanpa bernostalgia tentang sekolah yang sedang terjajah itu.

Ketika tengah asyik, pelayan datang dengan dulang berisi empat gelas minuman. Ada dengusan kehampaan di bawah bumbung gazebo itu.

“Ni mangga apa ‘ni?”

“Ni sirap perasa mangga!”

“Buah mangga tak dak ka?”

Buwoh tok dok……”kata pelayan itu. Mukanya masih seperti tadi. Tegang sahaja. Mungkin dia sedang teringat pergolakan berterusan yang memakan bukan sedikit korban di Selatan Thai. Atau mungkin kesal terpaksa beraya di rantau orang lagi, setelah Syawal lalu juga tidak berpeluang balik ke kampung di Nathawi. Atau mungkin memang wajahnya memang begitu!

Cikgu Rahim mencapai gelas minumannya. Kalaulah tadi saya meminta jus oren sama…..

Silap kami juga kerana tertinggal perkataan ‘jus’ semasa memesan tadi. Kalau tidak, tentulah awal lagi dimaklumkan ketiadaan buah yang mempunyai banyak baka dan nama itu.

“Tak pa. Balik satgi kita singgah kedai Haji Ramli [Nasi Kandar],”kata Cikgu Non, memujuk diri Pawang dan saya serta dirinya…. “ Di situ, jus dia pekat….fuh!”

Dan sekali lagi saya terliur…..

Sambil membuat sedutan pertama, kami menyambung perbualan. Tetapi tidak lama. Pelayan berwajah tegang itu muncul. Memberitahu ekor untuk dibuat sup telah habis, yang tinggal hanyalah tulang. Terpaksalah ditukar sedikit menu. Tidak sampai hati rasanya untuk meminta hamba Allah yang sedang piatu di rantauan itu meredah malam, menjelang raya korban pula, mengerat ekor mana-mana lembu…..
Kami menyambung perbualan. Juga tidak lama apabila kami nampak pelayan tadi sedang menghala ke arah kami.

“Kali ‘ni ‘nak habaq apa pulak yang takdak…..” Cikgu Non bersuara perlahan. Tetapi pelayan itu membelok ke sebuah gazebo lain yang penghuninya sedang mengeliat kekenyangan. Nasib baik….

Kami menyambung semula perbualan. Kali ini lama sedikit sahaja dari yang tadi. Sedikit. Pelayan muncul semula. Membawa dulang berisi nasi dan sahabat-sahabat senasibnya. Semua ada. Sup ekor.Telur dadar. Tomyam campur. Kailan ikan masin. Ditambah pula dengan sepiring sambal belacan berhias hirisan timun.

“Satgi bawak mai sambal ‘ni satu lagi…” kata Cikgu Non. Sebaik pelayan berlalu, Cikgu Non berkata,”sambal di sini sedap. Hangpa makanla tengok….”

“Bawa sky juice satu!” pinta Pawang pula. Saya tersenyum, fikiran sengaja berbuat nakal – membayangkan kalaulah pelayan itu tahu bahawa yang meminta minuman terakhir itu adalah pawang, agaknya dia mungkin akan bertanya,”bekas kemenyan tak mau ka?” Hehehe.

Sedang memulakan dengan menyapa udang dan sotong bergoreng tepung, sky juice pun sampai. Bekasnya ramping di tengah macam dupa bekas kemenyan. Jadilah…. Hehehe.

Kami pun makan. Kami juga terus berbual. Topiknya tidak banyak. Sub-topik saja yang kadang-kadang meleret.Tapi masih dalam semangat warga AlFalah. Ke mana pun perbualan dibawa, pasti akan berpusing sampai kepada soal AlFalah juga. Agaknya demikian juga bekas warga AlFalah ketika berbual sesama ahli. Ataukah kami yang terlalu rindu pada masa lalu, masa itu?

Hingga selesai makan nasi, sambil meratah apa yang patut, menghirup sup dan tomyam; sambal kedua yang diminta tidak muncul. Pelayan itu pun demikian pula. Tapi sebenarnya,sambal awal tadi juga tidak mampu dihabiskan.

“Hangpa tak makan pedas-pedas. Kalau aku, sepiring ‘tu, aku sorang saja….”kata Cikgu Non ketika menyudikan seketul tulang di dalam sup. Ternyata dia benar. Pawang cuma sekali dua menyentuh sambal. Cikgu Rahim pula sekadar jarang-jarang. Saya sendiri hanya kadang-kadang…..

Perbualan diteruskan. Pawang beranjak jauh dari meja makanan. Bersandar sambil melunjurkan kaki.
Malam itu dia benar-benar dilontar ke masa silam.

………Saya melihatnya berkain pelikat nipis saiz kanak-kanak. Gulungan kain sebesar lampu kalimantang pada pinggangnya, sesekali dikejapkan. Tanpa baju, dia membasuh beras yang dimasukkan ke dalam periuk bersaiz super s. Kemudian meletakkan periuk itu ke atas dapur minyak tanah. Air bersih dari koleh plastik besar berwarna merah dimasukkan sekali.Dengan tangan kiri mencekak pinggang, dia menggunakan jari telunjuk kanan menyukat air di dalam periuk. Setelah berpuas hati, dia menutup periuk. Membongkok sedikit melihat api dapur. Kemudian dia berpaling ke arah rakan sebayanya yang memerhatikannya sejak tadi. Rakan itu menunjukkan tanda bagus dengan kedua-dua ibu jari. Mereka berbalas-balas senyuman. Itulah kali pertama dia memasak sendiri – jauh dari keluarga dan kampung kelahiran  – sebatang kara di kelilingi rakan baru ketika berusia 13 tahun pada tahun 1984……….

“Saya rasa lebih akrab dengan AlFalah,” kata Pawang sambil menggoyang kaki yang dilunjurkan.”Rumah Tok ada dekat situ [Sungai Nonang]…..”

Dia terkenang berjalan berderet di atas batas bendang selebar 3 kaki bersama-sama rakan seasrama, menuju ke Masjid Alor Pulai pada tengah hari Jumaat. Dia paling bersemangat kerana kalau bernasib baik dia akan berjumpa dengan salah seorang bapa saudaranya, Nayan, seorang peniaga ikan. Dua beranak itu tidak bersalam kosong di dalam atau di luar masjid. Pasti Pawang akan mendapat duit kertas berwarna biru dua tiga helai….. Nasib baik yang cukup untuk membuatkan beberapa rakan berharap agar bapa saudara mereka juga menjual ikan dan tinggal di dalam kariah Masjid Alor Pulai!

Pada usia awal 40-an kini, Pawang tidak banyak berbeza di mata saya berbanding dahulu. Kecuali kedutan kulit muka ketika tersenyum atau ketawa. Dan sedikit warna putih pada rambutnya….
Dia bercerita dan bertanya tentang beberapa rakan-rakan semasa di AlFalah. Bercahaya matanya mengimbau ke masa itu.

“Dulu pernah sangkut dengan seseorang ‘dak?”Saya cuba mencungkil. Biasalah….

Pawang terdiam seketika. Walaupun di Jerantut dia menjadi pemimpin komuniti, ada sedikit getar untuk menjawab soalan saya. Cikgu Rahim dan Cikgu Non juga menambah sepatah dua, memberinya semangat untuk bersuara.

“Bukan tak ada……”Pawang bersuara perlahan. “Tapi…..”

Biasalah dialog begitu, kan? Pawang orang Melayu. Begitu juga dengan 3 bekas gurunya yang sedang menanti sambungan cakapnya. Sukar dicari satu drama Melayu yang tiada dialog TAPI yang tergantung itu…..

“….sapa yang ‘nak kat kita….”Pawang bersuara semula,”kita ‘ni belemoih/serebeh……”

Maafkan saya kerana terlupa perkataan akhir itu. Saya tidak fokus. Saya hanya melihat pada wajahnya.

Sekali lagi, biasalah dialog begitu, ‘kan?

Orang paling lawa pun menyimpan dialog seperti itu dalam kitab menguratnya!

“Siapalah kita ini. Rupa tiada, harta pun kurang…….” Hehehe.

Makhluk manalah yang tidak cair mendengar ayat menghinakan diri seperti itu?

Tetapi agaknya Pawang hanya menyebut begitu di hadapan kami, hampir dua dekad kemudian. Cuba pada masa tersebut ayat itu telah dilafazkan di depan orang yang dimaksudkannya. Silap-silap , kalau ditanyakan di manakah Jerantut, akan dijawabnya: Di Uttar Pradesh, India!

Walaupun saya hampir tahu sapa yang dimaksudkan, tidaklah pula saya mendapatkan kesahihan dari Pawang. Biarlah. Masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri-sendiri. Lagi pula mereka telah berusia lebih empat dekad. Dulu Pawang belum melebarkan sayap untuk melihat luasnya dunia dan ramainya calon. Lagi satu, tidak sangguplah untuk melihat budak setua itu meraung di atas gazebo mengenang cerita cinta lama. Siapa yang akan menemaninya meredah kelam malam untuk balik ke Sungai Tiang kelak? Hehehe.

Pawang sebenarnya mempunyai sepupu yang turut  belajar di AlFalah. Dua beradik – Asilah, yang sekelas dengannya, dan Ahmad Lutfi Ismail – yang tinggal di Kampung Pergam, Tebengau. Satu lagi sebab dia berasa cukup akrab dengan AlFalah. Malangnya saya terlupa untuk bertanya akan khabar kedua-dua mereka.

“Sesekali teringin saya masuk melawat kawasan AlFalah ….”perlahan lagi suara Pawang, lalu menyebut beberapa sudut dan mercu tanda di situ, yang masih diingatinya.

“Tak akan terjumpa ‘dah semua ‘tu…..”saya memancung rasa ghairahnya.

Untuk apa saya membiarkannya memejam membayangkan alam sekitar AlFalah ketika ditinggalkannya. Telaga berlumut di bawah pokok pukul lima bersebelahan asrama puteri telah ditimbus – didirikan bangunan konkrit dua tingkat. Asrama puteri itu sendiri entah di mana kayu asalnya – telah dirobohkan dan dibangunkan blok setingkat. Surau yang dulu telah tiada. Dirobohkan juga dan didirikan surau terbuka setingkat. Malah asrama yang mencatat beribu-ribu kenangan telah hampir pupus. Bumbungnya telah hilang, yang tinggal hanya sedikit rangka.  Hanya lantai dan dinding simen yang mungkin masih ada.

Ada redup pada mata Pawang. Cikgu Rahim juga mungkin terkejut mendengarnya. Tempoh masa dia dan Pawang meninggalkan AlFalah tidak terlalu jauh berbeza. Mungkin apa yang tergambar di memori mereka juga tidak banyak lainnya. Banyak yang terlalu asing pada mereka sekarang. Saya tahu, walaupun tidak pernah lagi berpeluang masuk ke kawasan berpagar itu…..

Saya teringat kepada seorang sasterawan yang bercerita pada pertengahan tahun 70-an dahulu. Di dalam satu perjumpaan sasterawan Nusantara, dia mengulas lagu dan pantun lama:

Tanjung Katong airnya biru,
Tempat mandi si dara jelita;
Sedang sekampung lagi dirindu,
Inikan pula hai jauh di mata…..

Kata sasterawan itu, air di Tanjung Katong, Singapura tidak lagi biru kerana pesatnya pembangunan di sekitarnya. Lalu dibalas oleh seorang sasterawan dari Singapura sendiri, “Tanjungnya juga telah tiada…….”

Sayu.

Demikianlah saya ketika bercerita tentang AlFalah itu……

Tiba-tiba ada orang melemparkan mesej:
Slamat hr rya utk smua yg ada kat situ. [00:00:07]25-10-2012.

Maaf. Hampir terlupa kepada insan yang siang tadi mempelawa diri untuk diajak bertemu dengan Pawang. 

Saya pun membalas:
Pwg d samila. Layannnn…. [00:01:57]

Belum pun sempat dititipkan ucapannya kepada tiga insan di hadapan saya, dia menghantar lagi:
Samila ja..dkatnya..rugi x ikut…Hamzah ada kat pndg..dia msj[00:03:48]

Saya tersenyum. Saya memberitahu isi mesej itu kepada yang ada.

“Dia teringin ‘nak kenai Pawang Nujum la ‘tu…..” kata Pawang.

Saya katakan bahawa besok dia akan bertolak ke kampung mertuanya, nun jauh di sana….
Cikgu Non tertawa apabila saya ceritakan perbualan tulisan di dalam fb siang itu.

“Hang kata dia budak-budak lagi…..” kata Cikgu Non apabila diberitahu saya sedang menelefon dia itu.
Dia mengangkat telefon dan sama-sama kami tertawa. Saya sebutkan apa yang Cikgu Non katakan. Seperti kebiasaan Melayu tulen,saya tambah sedikit lagi. “Dia kata hang tak baligh lagi, pasai tu kami tak ajak join grup ni….”

Dia mengekek tertawa. Tertawa orang di dalam kelambu.

Saya menyuruhnya tidur sahaja kerana tinggal beberapa jam untuk bertolak….

Kami menyambung perbualan. Antaranya tentang Pawang yang mengendalikan satu grup fb yang mempunyai 10,161++ ahli.  Kecil amatlah fb Alumni Budak Falah….. Tapi bertuah juga sebab saya menjadi ahli grup besar itu. Yang mengundangnya admin sendiri, dan dari lebih 10k ahli itu saya hanya kenal dia seorang…….

Pawang mengimbau seorang insan yang menggalakkannya memesrai fb, yang kini telah hilang dari alam maya.

Dari awal sampai ke restoran itu, banyak juga yang diungkapkan oleh Cikgu Rahim, Cikgu Non dan saya sendiri, namun biarlah hanya kami yang tahu apanya. Lagi pula, pencatat minit perbualan ini hanya lebih tertumpu kepada Pawang, selain sesekali mencatat juga beberapa pergerakan dan eksperesi wajah Pawang.

Satu ketika, Pawang bangun untuk ke bilik air. Lama juga masa yang diambilnya. Banyaklah juga kami bertiga dapat bualkan. Lenguh jugalah lidah memperkatakan tentang diri kami…..
Pawang kembali semula dengan membawa secubit senyuman. Rupanya, selain dari menunaikan tuntutan dalaman, dia sempat mengkaji duduk letak tandas restoran itu yang dianggapnya unik. Tetapi kerana sudah namanya tandas, tidaklah pula sesiapa di antara bekas gurunya tergerak hati untuk melihat keunikan yang dikhabarkannya….

Setelah satu dua tajuk kecil lagi, kami bersedia untuk pulang. Cikgu Non menggamit pelayan yang berwajah kekal tegang itu namun boleh pula dibuat tidak nampak…. Rupanya, dalam langkahan balik dari tandas  yang mempunyai reka letak mangkuk yang unik tadi, Pawang telah menujumkan bil sekali – tidaklah dapat kami melihat bentuk dan angka pada bil restoran itu. Malanglah nasib dua sahabat saya yang bertaraf tauke itu, kan…….

Dalam perjalanan pulang Cikgu Non mencadangkan agar kami singgah di Restoran Haji Ramli Nasi Kandar di Simpang Empat. “Kita pekena mangoes di situ….” katanya. Walaupun tiada kalimat ‘fuh’ lagi, saya tetap terliur….

Sampai di tempat saya mencakar rezeki, mereka masih mengajak untuk ke restoran masakan mamak milik orang Melayu itu. Saya menyuruh mereka pergi dahulu dan kalau ada jus itu, saya akan menyusul. Pawang setuju sahaja malah ketika ditanya, dia mempunyai lessen besar untuk berjaga hingga ke pagi!
Namun, hingga ke pagi pula tiada sebarang panggilan dari mereka. Sahlah Haji Ramli sedang fokus untuk menyambut Aidil Adha sahaja ….

Pagi Khamis, tidak apa yang saya lakukan selain mengemas sedikit blog-blog dan berceloteh dengan beberapa insan yang sudi – termasuk dua hamba Allah yang buat sekian kalinya tidak dapat beraya di kampung…. Menantu emak mengemas rumah. Sesekali dia menjenguk saya yang kadangkala terkekeh-kekeh membaca pelbagai laku manusia dalam berkomunikasi. Mujurlah Allah mentakdirkan dia faham kepala ipar adik-adiknya ini……

Tengah hari, saya mencuit sedikit seorang insan yang sedang memandu secara berhemah kereta yang 24 jam sebelumnya bersidai di tapak pasar sehari Simpang Empat a.k.a Pekan Khamis, memerhati tuannya melayan ais salji. Kini, kereta itu sedang menghala ke negeri aneh….

Selepas Maghrib, sedang saya mengacau lagi menantu emak yang di fasa terakhir menyiapkan baju tiga cucu mertuanya, saya menjeling laman fb Alumni AlFalah.

Terpandanglah catatan ringkas dari Pawang:
Manggoes.............manggoes.....manggoes.....hu.....hu...hu...

Hanya kami berempat yang faham. Saya tersenyum. Lalu saya catatkan di dalam ruang komen:
Akan ada dalam http://budakfalah.blogspot.com/ nanti. Insya Allah.

Namun pertanyaannya kemudian mengejutkan saya:

Pawang Nujum malam ni jadi dak? lewat sikit laaa....ada beberapa urusan perlu dibereskan dulu...

Saya terlupa tentang jus mangga awal pagi tadi. Bila pula saya berjanji akan ada pertemuan ulangan? Agaknya mereka ada berbincang setelah gagal mendapatkan jus mangga itu …Mengenang mungkin Pawang belum puas bernostalgia, atau lesennya untuk di luar rumah belum tamat tempoh,saya terus menjawab:
saya on saja.....

Pawang Nujum yang lagi berdua?

Dua sahabat saya itu juga tidak kurang besar lesen yang dimiliki. Saya tahu sangat. Namun adakah jadual mereka untuk malam itu masih kosong?
http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-ash3/173265_100000968020027_1950780_q.jpg kena tanya depa la
Pawang Nujum minta depa bersedia saja....kalau jadi..kast akan msj....ha ha ha...kast....

Kast itu maksudnya saya/aku. Dialek orang Jerantut. Saya dapatkan kepastian dari Pawang semasa bercerita tentang grupnya kerana kerap saya jumpa perkataan itu dalam komunikasi mereka. Dari susuk ayat saya dapat meneka tepat maknanya. Maka sebagai pelajar yang baik, saya terus mengaplikasikannya…..
http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-ash3/173265_100000968020027_1950780_q.jpg kast pun tunggu msj dr pawang nanti.
Pawang Nujum ok..kalau jadi atau tak jadi...kast akan mesej jugak nanti...insyaallah...
Insya Allah....

Saya tidak pun menghubungi Cikgu Rahim dan Cikgu Non. Niatnya, jika Pawang sah akan datang, barulah saya akan berbuat demikian. Saya yakin sangat, kalau lagi lewat, mereka tentulah tidak langsung bermasalah. Takkanlah mereka hendak pergi beraya pada dinihari!

Maka saya teruskan acara mengacau menantu emak. Cucu-cucu emak juga ikut jejak. Kami menunggu ayat lazim dari mulutnya: “Isy! Jangan dok kacau la…!” Lagi kerap frasa itu keluar, makin seronok rasanya! Lebih seronok dari menonton drama Melayu di tv yang asyik menayangkan cerita yang sudah diketahui isinya sebaik melihat tajuk…..

Jam 10:12, datanglah mesej dari Pawang:
Salam. Maaf.Malam ni pawang takdapat nak bersama. Ada urusan perlu dilangsaikan.Maaf.[22:12:32]

Kan? Mujurlah saya faham rutin seorang pawang. Dia bukan ada jadual seperti doktor di klinik… Lalu saya membalasnya: Ok. No hal.Nk buat mcm mana. Lain kali…

Menantu emak pula yang susah hati kerana saya tidak keluar buat sementara….

Saya menjeling sekejap laman fb. Ada komen dari seorang insan yang sejak siangnya saya tahu iri dengan orang yang boleh beraya di kampung halaman…hehehe..
Amboih!...projek sja YB2 ni....on call ja...hehehe
Hehehe sekali lagi….

Pagi raya, selesai bersama menantu dan cucu-cucu emak bagi adegan bersalam-salam, saya mendapat mesej dari Pawang:
Salam Salam aidil adha. Maaf zahir batin.[07:24:04]

Segera saya membalasnya:
Salam.Samalah kita. Maaf juga.Kalau umur pnjng kita jmpa lg.Insya allah.

Kalau umur panjang…..

Terharu pula pagi-pagi raya mendapat mesej dari pawang yang lagi nujum itu. Lebih-lebih lagi mengenang diri kami yang senasib. Sama-sama yatim piatu. Kebetulan lagi, sama-sama akan beraya di rumah pusaka mertua isteri masing-masing. Jauh dari rumah mertua sendiri. Demikianlah pengorbanan kami….

Sementara itu, di satu sudut, di satu bilik,di sebuah rumah, di satu kampung, di satu daerah, di sebuah negeri unik, ada seorang hamba Allah sedang menggelisah. Tidak mampu berlakon berwajah sentiasa manis walaupun berada di tengah keluarga besan emaknya yang sedang berkumpul untuk berhari raya serta sibuk bersedia menerima seorang lagi besan…..
Untuk menggambarkan kegelisahan itu dihantarlah satu mesej:

Rugi mampus brukband celcom xleh guna kat sini dpa pakai maxis..smggu la xbrfb
Nampaknya dia terpaksa berkorban juga……..

****Nota: Semua frasa di dalam mesej dan fb yang dipaparkan di atas adalah tanpa suntingan. Ejaan dan bahasa yang digunakan adalah hak milik pengirim sendiri. Harap maklum……Hehehe!

No comments: