Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Tahu.
Saya tersenyum pada pagi Jumaat ini apabila mengenangkan beberapa kes yang melibatkan kentut. Yang pernah didengari dan dialami. Tapi tidak melibatkan kentut sendiri...... cerita tentang orang lain.
i]
Pemandu kereta sapu bengang kerana ada gas metana terlepas dalam keretanya yang ditumpangi oleh 4 orang. Mereka naik di satu pekan kecil dengan destinasi yang sama - ibu negeri. Tiada siapa pun yang mengaku, semuanya saling menuduh dan menafikan- memanglah, kalau anda sendiri, mahu mengaku? Akhirnya semua diam sendiri.Masing-masing menekup hidung, di dalam hati.....@*^#\|
Sampai di ibu negeri, semua turun setempat di hadapan sebuah restoran makanan segera. Keempat-empat mereka membayar berasingan. Lama juga masa diambil untuk menukar duit kecil antara setiap seorang dengan si pemandu.
Setelah selesai, si pemandu menyakat, "Yang kentut tadi belum bayar lagi!"
"Cakap baik-baik sikit. Yang bayar paling awal 'tu, siapa?" kata penumpang yang tadinya duduk di tengah di bahagian belakang kereta.....................
ii]
Seorang YB sedang menikmati pek nga bersama hampir sedozen orang kuatnya di sebuah gerai di hujung kampung. Sambil mengunyah, ditunda pula dengan kopi pekat, mereka berbual bab ceramah dan masalah setempat. Sambil pula menunggu beberapa pek nga edisi baru yang masih dalam belanga tuan gerai.
Ketika rancak mengunyah dan bercakap itu, tiba-tiba semua terhidu bau yang tarafnya kurang 0.001% sahaja dari bau telur tembelang. Masing-masing terdiam dan berpandangan. Salah seorang yang tangannya baru saja membenamkan pek nga ke dalam gulai ikan kembung, membiarkannya di situ. Halkumnya bergerak-gerak.
Seminit dua kemudian, orang paling kanan yang duduk di kiri YB dalam tersipu, sambil menggosok kedua-dua tapak tangannya, mengangguk-angguk yang ditujukan kepada semua, dan berkata, "Saya minta maaf, saya minta maaf!" Diulangnya ayat itu lebih dari jumlah orang kuat kampung yang sedang makan itu.
Barulah semuanya mula bersuara selepas masing-masing memberikan komen dan markah terhadap bau tadi. Ada yang bertanya apa makanan orang kanan itu semalam. Yang bergerak-gerak halkumnya tadi bertanya, "berapa hari hang tak masuk jamban 'ni?"
Selepas makan, masing-masing bersalam dengan YB lalu berpecah dengan janji akan berjumpa semula di dewan malam nanti. Ketika memasuki kereta, YB menggamit orang paling kanan tadi. Dari poket bajunya YB mengeluarkan sebuah sampul yang mempunyai logo besar parti. Dihulurkannya kepada orang paling kanan yang mengacah-acah menolak.
"Ambillah," kata YB," abang telah menyelamatkan saya tadi!"
Orang paling kanan menggenggam sampul itu erat-erat dan tersengih, "YB makan apa semalam?"
"Melawat kawasan, bang," jawab YB, juga tersengih,"macam-macam ada. Nak tolak takut orang kecil hati, last-last tolak ke mulut.....Itulah pasal...."
iii]
Di AlFalah. Lama dahulu.
Pelajar di kelas sebelah bising. Bunyinya macam ada pergaduhan. Ketika guru muda mula bergerak untuk melihat duduk perkara, tiba-tiba bunyi bising itu terpancung sendiri.
"Ada apa 'ni? Tak tahukah ada orang belajar di sebelah' tu? Cikgu kamu tinggal sekejap saja,'dah riuh!" rupanya Pengetua lebih dulu sampai. Patutlah semua terdiam tadi.
"Ada orang lepas kentut! Busuk!" seorang pelajar perempuan bersuara. Ramai pula yang menokok, mengiakan penjelasan pelajar yang berani bersuara itu.
"Dah 'tu buat apa riuh-rendah?" balas Pengetua, "Tak usah berebut! Pakat hidu sorang sikit!!"
Kelas tadi terus diam tetapi kelas guru muda pula yang bergegar!
No comments:
Post a Comment