18 November 2012

Cikgu Norhashimah Mansor


1987.

Cikgu Norhashimah
Jadualnya tahun ini kami akan ke Pulau Pangkor dan Pangkalan TLDM di Lumut. Cikgu Norhashimah Mansor menulis surat kepada pihak TLDM bagi membolehkan kami melawat pangkalan mereka. Diluluskan. Waktu lawatan jam 2:30. Kami bersyukur.


Demikian petikan pada awal entri Lumut, Di Manakah Pangkalan TLDM?.

Cikgu Norhashimah Mansor.

Dia sebaya saya. Kami sekampung dan sekelas ketika di sekolah rendah - SK Kangkong. Ketika melangkah ke alam menengah, kami terpisah. Dia dihantar ke SM Tun Sharifah Rodziah, manakala saya ke SM Simpang Empat. Sesekali saja bertembung, itu pun sekadar bertukar senyuman.

Hampir dua dekad kemudian, kami kembali sebumbung. Di AlFalah. Suatu hari dia muncul mendaftar diri selaku tenaga pengajar di situ. Dihantar oleh Jabatan Agama Islam Kedah bersama-sama dengan Cikgu Khamariah Hj Ismail, anak qari legenda Malaysia itu.

Cikgu Norhashimah Mansor mengajar Bahasa Inggeris, serta kalau tidak salah, Geografi juga. Lama juga dia di AlFalah. Banyaklah pengalaman ditimbanya menghadapi kerenah para pelajar yang pelbagai.

Banyak juga yang saya sendiri ingat tentang Cikgu Norhashimah Mansor ini. 

Ketika Kurikulum Baru Sekolah Menengah [KBSM]diperkenalkan, kami di antara guru terawal yang diberikan taklimat dan kursus. Bertempat di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, saya menyertai guru-guru sekolah menengah biasa yang mengajar Sains, manakala Cikgu Norhashimah Mansor bersama guru-guru Bahasa Inggeris...

Masih jelas di ingatan, betapa dia pernah menghadapi tindakan biadab seorang pelajar lelaki yang tidak mahu mengikuti pengajarannnya di dalam sebuah kelas yang terletak di bawah asrama puteri....

Cikgu Norhashimah Mansor pernah mengalami keadaan yang mengecutkan di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang ketika kami membuat lawatan ke pulau bergelar Tanjung itu. Salah satu eskalator telah memberi respons tertarik kepada pakaiannya. Mujur kecepatan seseorang berjaya menyelamatkan 'gangguan' tidak terduga itu....

Cikgu Norhashimah Mansor juga mengalami keadaan tidak menyenangkan dalam lawatan ke Lumut dan Pulau Pangkor, seperti dicatat di dalam entri yang saya sebutkan pada awal tadi. Kerana gagal sampai ke Pangkalan Tentera Laut di Lumut, AlFalah khabarnya telah disenaraihitamkan dari membuat lawatan ke situ lagi. Itu bukan langsung kesalahan Cikgu Norhashimah Mansor, tetapi sebagai guru yang bertanggungjawab menguruskan surat kepada pihak berkenaan, pastilah dia sedikit terkilan. Sila baca catatan itu untuk mengetahui duduk perkara.

Demikianlah.

Setelah beberapa tahun akrab di AlFalah, suatu hari kami terpaksa merelakan pertukaran Cikgu Norhashimah Mansor ke SMA Batu Lapan, Sik.

Sejak itu, tidak lagi terdengar berita tentangnya.

Bukan jauh rumah keluarganya di Kampung Permatang Ibus itu. Malah setiap hari saya melintas di depannya, berdekatan empat persimpangan menghala ke Yan, Kangkong, Batas Paip [Kuala Kedah] dan Pekan Simpang Empat. Ayahnya, yang saya panggil PakNdak juga sering saya sapa,tetapi tidak pernah sekali pun saya tanyakan tentang Cikgu Norhashimah. 

Sering juga bekas pelajar AlFalah yang bersama pada eranya, bertanyakan tentang cikgu yang kaya dengan senyuman itu, namun saya hanya mampu mengangkat bahu. Sunggguh, saya tidak pernah tahu khabarnya. 

Kebetulan sekali, saya bertemu adik lelakinya dalam keriuhan Majlis Anugerah Cemerlang SKHHI baru-baru ini. Darinya saya mendapat sedikit maklumat:  Cikgu Norhashimah Mansor mengajar di sekitar Sik, tinggal di kawasan Jeniang, mempunyai enam cahaya mata dan awal tahun ini baru mendapat menantu sulung.

Segera saya mengharapkan Ustaz Ahmad Sofi Ahmad, salah seorang yang pernah belajar BI dari Cikgu Norhashimah Mansor semasa di AlFalah dahulu, mengesan cikgu asal sekampung saya itu. Ustaz Sofi terlintas di fikiran kerana khabarnya telah lama bermastautin di sekitar Baling. Sik dan Baling tidakkah 'sejalan'?, demikian sifir saya.

Sambil itu, saya juga ikhtiarkan mencari sendiri menggunakan pawang bernama Google....

Dengan izin-Nya, pawang itu boleh pula memberikan sekali nombor telefon Cikgu Norhashimah Mansor!

Dua hari juga saya perlukan untuk mendail nombor yang diberikan itu. Bukan bimbang tersalah nombor, cuma bimbang tidak dilayan. Makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan memang sengaja meminta saya bersangka buruk......

Hari ketiga, saya nekad. Ini minggu terakhir persekolahan. Jika sudah masuk musim cuti, tidaklah mahu saya mengganggu cikgu itu.....

Saya mendail dalam debar. Diangkat. Tanpa berbasa-basi, mendengar riuh disekitarnya, saya bertanya, "cikgu di dalam kelas ke 'ni..."Saya memutuskan talian sebaik dia mengiakan....

Begitukah perbualan setelah hampir dua dekad tidak mendengar khabar?

Besoknya, sekali lagi saya hubungi nombor telefonnya. Dia tidak menjawab. Mungkin sedang di dalam kelas, fikir saya.

Lama kemudian, dia menelefon. Tertera namanya di skrin.  Cikgu Norhashimah Mansor!

Tidak guna memintanya meneka suara yang tidak pernah didengarnya sekian lama. Terus saya memperkenalkan diri. Dia terkejut. Saya bertanya khabarnya. Rupa-rupanya maklumat dari pawang Google sedikit meleset. Tidak dikemaskini. Dia telah bertukar sekolah - lebih hampir dengan rumahnya. Dia memberikan lokasi rumah dan menjemput saya singgah jika melintasi kawasan itu. Saya teringatkan Ustaz Ahmad Sofi. Saya bercerita bagaimana mendapat nombor telefon, bercakap tentang perjumpaan hari raya budak Falah.

Walaupun singkat, saya puas mendengar khabarnya.

Saya terus maklumkan kepada Ustaz Ahmad Sofi. Saya uarkan di laman fb AlFalah. Saya ceritakan kepada menantu emak.

Saya gembira.

Ustaz Ahmad Sofi berkata ada kawannya yang mengajar bersama  dengan Cikgu Norhashimah Mansor, sebaik saya sebutkan nama sekolah itu...Senanglah. Saya sebutkan lokasi rumah cikgu sebaya saya itu. Ustaz Ahmad Sofi berkata selalu dia melintasi kawasan itu. Lagi senanglah... 

Kemudian ustaz yang merupakan pelajar kelas Peralihan AlFalah pada tahun 1983 itu menghantar mesej meminta nombor telefon Cikgu Norhashimah Mansor. Segerasaya hantar. Semoga dia memulakan langkah........

Semoga akan berputik kembali ukhuwah sesama kita.

Demikianlah.

No comments: