26 July 2012

Berkiblatkan Tandas!





Foto yang berada dalam simpanan Wira Osman di atas sengaja saya pilih. Bukanlah ada cerita tentang tentang 3 Nangoi - Sharifah Maryani Syed Omar, Shakiroh Abdul Hamid dan Nor Raihan Md Yunus - dengan Sifu mereka, Cikgu Non

Cuma saya terkenangkan seorang rakan setugas.

Entah di mana silapnya, ustaz ini sentiasa kena waktu selepas rehat untuk ke kelas ini. Banyak kali dia merungut untuk bertukar jadual sebaik keluar dari kelas ini. Katanya setiap kali ada guru atau pelajar melintas untuk ke tandas atau bilik air, satu kelas akan berpaling. Serentak. Apabila guru atau pelajar itu menghala keluar, sekali lagi serentak pelajar kelas tersebut berpaling lagi. Bayangkan kalau lima enam orang melintas, katanya. Waktu selepas rehat dan menjelang waktu pulang adalah paling sibuk trafik ke bilik air......Dia tidak boleh tumpu mengajar dan budak pun tidak boleh tumpu belajar, tekannya lagi.

Perkara ini pernah dibangkitkan dalam bilik pengetua ketika beliau, saya dan ustaz Fairose sedang berbual-bual 'o'. Ustaz tersebut ada mengusulkan agar kelas ini dipindahkan ke bangunan berhampiran asrama perempuan, yang ketika itu menjadi bilik buku. Saya tidak ingat apa jawapan Ustaz Fairose. Mungkin untuk memindahkan buku-buku yang bertimbun bukanlah kerja mudah, lagi pula kelas yang di bawah surau itu tidak ada langsung ciri-ciri keselamatan untuk buku-buku...Tingkapnya tanpa besi bulat melintang, memudahkan akses dari mana-mana bahagian.

Cerita itu kemudian hilang seketika.

http://a2.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc7/s480x480/575933_393404964029615_357273054_n.jpg
Bahagian bawah surau yang menjadi bilik kelas. Yang di bahagian kanan foto menghadap ke tandas.....

Satu hari, ketika mengajar BM dalam satu kelas, ada seorang pelajar membina ayat dengan memasukkan perkataan KIBLAT /Berkiblatkan. Kurang lebih begini bunyinya: Masalah akhlak di kalangan remaja kita .................[lupa]....................................  terlalu berkiblatkan negara barat, terutama Amerika Syarikat.

Saya memuji pelajar tersebut, kalau tidak silap, Anuar Ismail, kerana memilik perbendaharaan kata demikian. Saya menghuraikan maksud berkiblatkan itu secara ringkas apabila disoal oleh seorang pelajar puteri.

Di bilik guru, saya ditanya oleh ustaz tadi tentang perkataan berkiblatkan itu. Rupanya dia sedang di kelas bersebelahan ketika saya mengulas ayat BM tadi. Bukan apa, katanya, kalau boleh perkataan KIBLAT itu sesuai untuk yang kita faham selama ini, iaitu Baitullah.

Lama juga saya berbual dengannya, cuba melunakkan dan memurnikan kefahamannya tentang bahasa kita. Betapa bahasa berkembang dengan peminjaman bahasa asing, misalnya Arab dan Inggeris bagi kita, sesuai dengan sejarah negara. Saya sebutkan beberapa contoh istilah yang dulunya mungkin terdapat dalam kitab agama, namun kini boleh difahami apabila digunakan dalam bidang lain mahupun dalam perbualan biasa. Misalnya, perkataan istiqamah, mutakhir dan muhasabah. Dia faham, malah sempat lagi berseloroh, "Patutlah lumba kuda la 'ni depa kata musabaqah kuda......."

Sambil itu, dia sempat melontarkan rasa terkilan kerana kadang-kadang tidak memahami istilah yang digunakan di dalam akhbar, malah di dalam majalah agama, termasuk majalah Pengasuh yang terdapat di atas mejanya. Majalah itu setiap bulan diterima secara percuma, terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Negeri Kelantan. Banyak benar perubahan zaman, rungutnya.

Termasuk dalam perbualan itu adalah keistimewaan bahasa Melayu/Malaysia. Misalnya, untuk ucapan Allah, kita sebut firman. Untuk ucapan Nabi Muhammad, kita sebut sabda. Untuk ucapan sultan atau raja, kita sebut titah. Sedangkan semuanya adalah kata/ucap. Tiada dalam bahasa lain kepelbagaian sebegitu.

Ustaz bercerita tentang satu ceramah oleh seorang daie yang berpendidikan Indonesia. Ceramahnya sedap dan bersemangat, namun ramai orang sebenarnya kagum dengan kepetahannya sahaja. Sedangkan isinya tidak begitu difahami kerana banyak menggunakan istilah dari Indonesia.

Demikianlah keadaan bahasa, kata saya. Berkembang namun perlukan masa untuk dapat diterima umum.

Dia menerima penjelasan saya. Cuma sukar untuk membayangkan berkiblatkan itu dalam penggunaan hariannya. Saya kata, perlahan-lahanlah.....

Setelah lama berbual, loceng berbunyi. Ustaz tadi bangun sambil mencapai beberapa buah buku di atas mejanya.

"Ustaz ada kelas ka?" tanya saya atau saya tanya.....

"Ada. Satu masa lagi......" jawabnya sambil mencapai pula rotan halus yang selalu dijadikannya teman ke mana-mana kelas.

"Kelas mana?" tanya saya lagi sekadar tanpa rasa ingin tahu. Sekadar bertanya.

"Kelas Berkiblatkan Tandas!" katanya, berlalu sambil memukul-mukul pehanya dengan rotan kecil tadi.

Saya terpempan sebelum tertawa kuat. Seorang ustazah di dalam bilik itu tersenyum sama. Ustaz! Ustaz! Bijak dia mengaplikasikan pelajaran......

Sahlah dia sedang menuju ke kelas di bawah surau yang menghadap matahari naik itu. Menghadap tandas!

Siapalah lagi yang pernah belajar di kelas berkiblatkan tandas itu.......

No comments: