Gajimu tiga empat ribu
saya cuma tiga per empat ribu
rumahmu berharga lebih 300 ribu, berpengawal
rumah saya sewanya 300 saja, kerja pun pengawal...
cutimu dihabiskan di bandung, guangzhou atau london
saya cuma di rumah, setahun sekali menjamah almond london
dinding rumahmu penuh gambar besar berjubah, berkali-kali konvo
dinding rumah saya ada kalendar dan gambar kecil anak taska berkonvo
anak-anakmu kenal semua menu, baik dari thai, jepun, perancis atau itali
anak-anak saya hanya sesekali dijamu kfc, paling kerap pisang bernama rastali
anak-anakmu mahir IT sejak lahir, dalam bilik bersepah pelbagai gajet
anak-anak saya hanya berbangga dengan broadband jimat bajet
ceritamu berumrah berselang tahun, ikut rombongan adik abang
saya, sejak ia dipindahkan, belum menjejak lapangan terbang
ada dalam albummu gambar berbuka di hotel lima bintang
saya berbuka dengan bubur dari menara satu bintang* *masjidla 'tu
jelaslah perbezaan antara kita amat-amat ketara
rasanya perlukah lagi memanjangkan bicara
mari kita cari titik persamaan yang satu
berhimpunlah di SK Taman Bersatu
tidak akan terhakis darjat kamu
kami sekadar ingin bertemu
hulurkanlah sumbangan
walau sebelah tangan
23 Ogos nanti
satukan hati
hubungi An
atau Yam
sekian.
[Didedikasikan untuk pihak pengurusan majlis sambutan hari raya alumni sma Al Falah 2012. Anda tabah, semoga Allah mengganjarkan rahmatNya]
No comments:
Post a Comment