15 July 2012

1Sukan 1Kenangan

Khamis.

12 Julai 2012.

Jam 2.30 petang.

Di padang awam Taman Simpang Jaya, Simpang Empat berlangsung Sukan Tahunan SMA Ihya' Ul Ulum Diniah, Simpang Empat. Tidak semeriah sukan tahunan SMK yang lain, kerana jumlah pelajar keseluruhan lebih sedikit dari 100 orang, namun cukup menarik minat saya.

SMA Ihya'.........?

Sekolah yang bagi budak AlFalah lebih gemar menyebutnya Pondok G Talib - sempena nama pengasasnya Tuan Guru Haji Mutalib. Ia pernah menjadi pusat peperiksaan SRP semasa kedua-dua sekolah itu - AlFalah dan Ihya' -merangkak membina semula reputasi setelah lama lengang, pada suku pertama dekad 80-an. Di sinilah, kerana lokasinya berhampiran bandar, pelajar SRP 1983 hingga 1988 AlFalah berkongsi dewan peperiksaan dengan pelajar Ihya'. Maka berbasikal dan bermotorlah calon-calon peperiksaan dari rumah ke sekolah yang terdiri dari dua blok bangunan itu. bagi yang tinggal di sarama, terutama puteri, disewa sebuah kereta/van bagi menghantar dan mengambil pelajar.

[Pernah satu ketika Cikgu Non ditukarkan ke Ihya' sebelum sekali lagi dikembalikan ke Alfalah. Jadi secara langsung beliau berhak untuk menaungi Alumni SMA Ihya' - dan jangan lupa SMA Sungai Limau - jika dibiarkannya terus bosan dengan keletah dan kerenah Alumni SMA AlFalah....]

Kini SMA Ihya' yang tertutup kerana kekurangan pelajar dan kekangan lain pada awal millenium baru, telah lima tahun beroperasi semula. Pada tahun 2011, ia telah temasuk sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan [SABK] menuruti kedudukan SMA Nahdzoh, SMA Sungai Limau, SMA Fauzi,Yan dan lainnya. Kini rasanya ia tidak menoleh lagi ke belakang. Makin jauhlah ditinggalkan AlFalah yang seakan teraba-raba dalam terang mencari jati diri........

Mengetahui adanya acara sukan tahunan Ihya' pada kali ini, cukup untuk menarik nostalgia ke era kegemilangan AlFalah. Walaupun bukan bertaraf sukan SMK, Sukan Rakyat [sebagaimana selalu digunakan kalimahnya] di AlFalah memang ditunggu oleh pelajar-pelajar, guru-guru dan orang kampung. Meriah. Penuh drama dan provokasi serta keputusan yang di luar jangkaan!

Antara acara yang diadakan adalah mencari benda, mencari pasangan, music chair, lari dalam guni, lari ikat kaki, tiup belon, menarik upih, memancing botol, makan roti/epal gantung, cari syiling dalam tepung, memukul air tergantung dan bawa bola pingpong serta tarik tali.......

Acara wajib dan benar-benar menguji kudrat serta acara pertama bagi setiap tahun adalah lari pecut. Itulah sahaja acara yang berciri Olimpik! Pelajar akan dilepaskan dari jalan raya/tempat menunggu bas dan memecut hingga garisan penamat di pintu masuk kawasan sekolah. Hiruk pikuk tukang sorak tidak dapat dicari akan ayat tepatnya....

Bagi yang terlepas terlibat atau menonton acara-acara tersebut, bolehlah serba sedikit saya berikan penerangan.

Mencari benda:

Mudah di atas kertas tetapi tetap mencabar. Di atas kertas yang kemudiannya digulungkan di tulis benda-benda yang dikehendaki juri, tetapi dalam bentuk ejaan yang diterbalikkan atau disongsangkan. Misalnya, AAAPTSNNGU atau PANTANG SUA untuk SAPU TANGAN. Pasukan harus memilih bukan sahaja peserta yang celik huruf tetapi juga tidak buta kata.

Mencari pasangan:

Seperti permainan di atas juga, cuma bezanya dikehendaki mencari pasangan [sama jantina] dengan abjad bagi nama mereka dirombak. Misalnya, OH MISAI untuk SOHAIMI atau RHAYA HINDU  untuk NURHIDAYAH. Pemenang adalah yang pertama membawa individu yang dicari itu kepada juri, yang biasanya adalah si pembuat soalan.......


Music Chair:

Antara yang paling popular dan menarik perhatian peserta dan penonton. Lapan peserta dari 4 rumah sukan akan mengelilingi bulatan yang dibuat dari 7 kerusi dengan muzik dimainkan. Sebaik muzik dihentikan, peserta yang tidak mendapat kerusi akan tersingkir. Pusingan berikutnya, satu kerusi dibuang. Begitulah seterusnya sehinggalah tinggal dua peserta dan satu kerusi - untuk membuat perhitungan terakhir. Peserta yang berjaya menduduki kerusi pada peringkat ini akan dikira sebagai pemenang. Tak faham juga? Tontonlah filem Aa Gale Lag Jaa lakonan Shashi Kapor dan Sharmila Tagore.......

Bagaimana pun dalam satu mesyuarat guru pada satu tahun-tahun akhir saya di AlFalah, atas permintaan seorang ustaz, acara ini dimansuhkan kerana adanya muzik dan kami menghormatinya...........

Lari Dalam Guni:

Tidak perlulah saya mencari frasa yang sesuai bagi menerangkan bagaimana acara ini dimainkan. Semua orang tahu mengenainya. Kalau tidak juga, lihatlah foto ini. Tidak perlukan latihan intensif yang berbulan-bulan. Cukup dengan membiasakan diri menunggu saat akhir yang paling kritikal untuk ke tandas dengan berkain batik atau pelikat yang hampir terburai......

Tiup Belon:
Bawa Bola Pingpong:
Memancing Botol:
Menarik Upih:
Makan Roti/Epal Gantung:
Cari Syiling Dalam Tepung:


Sejak tadika semua acara ini diadakan. Maka tidak perlulah saya huraikan. Masing-masing pelajar pernah sekurang-kurangnya mengambil bahagian dalam satu daripadanya semasa peringkat pra sekolah itu. Mereka sekadar diminta melanjutkan permainan yang mereka kuasai, pada tahap yang lebih tinggi.......


Baru-baru ini, ada seseorang menulis dalam ruangan pembaca di sebuah akhbar, bahawa acara ini dan yang seumpamanya adalah ketinggalan zaman dan tidak berdaya maju di peringkat dunia. Dia benar. Tetapi bagi Alfalah, dalam keadaan prasarana dan waktu yang terbatas, disalut pula dengan pelbagai batasan dan had, itulah juga yang mampu dianjurkan.

Tarik Tali:

Ini biasanya menjadi acara penutup. Baik lelaki atau perempuan, inilah acaranya di mana dipilih ahli rumah sukan yang benar-benar bertenaga. Inilah acaranya secara berkumpulan, yang lelaki menunjukkan kejantanan manakala yang perempuan boleh menunjukkan kebetinaan...Dengan gabungan kudrat yang mereka miliki, pasukan yang menang akan memberikan reaksi kepuasan yang sukar untuk digambarkan. Sehingga tahun berikutnya, pemenang akan dikenang sebagai sekumpulan orang gagah. Kalau setakat pecahkan telur ayam pun pakai sudu, janganlah acara ini disertai..........

Memukul Air Tergantung:


Ini acara yang menjadi kemestian juga tetapi adakala menjadi antiklimaks apabila terlalu banyak masa diambil oleh setiap peserta.  
   
Pada zaman kanak-kanak dahulu, saya sudah melihat acara ini namun lebih hebat kerana yang dipukul adalah periuk tanah yang berisi air. Atas faktor keselamatan dan mengelakkan pembaziran, periuk tanah itu diganti dengan air di dalam plastik dan digantung di dahan pokok.

Kaedahnya tetap sama. Peserta diletakkan secara membelakang dalam jarak 3-4 meter dari objek yang digantung itu. Matanya ditutup [dan kelegapannya ditentukan oleh juri]. Sebelum itu, dia diberi peluang melihat ke arah objek. Setelah dipastikan pandangannya benar-benar terhalang, badannya dipusing 3-4 kali lalu dibebaskan untuk memukul plastik berisi air itu.

Ketika inilah keriuhan terjadi. Peserta keliru mencari arah, manakala hampir semua penonton bersuara cuba membantu. Ketika yang baik dan tepat, dia menghayun kayu sekuat hati, lalu terburailah air dalam plastik. Itulah pemenangnya.

Namun hakikatnya tidaklah semudah itu. Ada peserta sampai ke akhir tidak menjumpai sasaran. Ada yang hanya memukul angin ketika bantuan penonton diyakini adalah tepat......Ada yang melewncong ke arah penonton lalu menerbitkan keriuhan berkali ganda.

Dengan keadaan demikian, masa menjadi terlalu panjang. Pernah juga dimansuhkan beberapa kali namun tetap kembali atas permintaan ramai......

Selain acara-acara tersebut, sekali-sekala kami selitkan juga acara bola sepak. Permainan dalam keadaan padang yang sempit, kadang-kala saya terfikir, AlFalahkah yang mempelopori futsal yang terkenang sekarang?

Rumah-rumah sukan pula sejak 1983 dinamakan oleh Ustaz Azizan sebagai Hilal, Badar, Qamar dan Syamsu......Namun saya serta Cikgu Non malangnya tidak pernah menganggotai mana-mana rumah sukan sebagai guru rumah. Maka tidaklah dapat saya ceritakan bagaimana rasanya apabila menjadi juara atau menjadi bekas juara dan sebagainya. Kecacatan ini berlaku kerana telah ditakdirkan kami hanya layak menjadi pengelola acara........

Dalam banyak edisi Sukan Rakyat di AlFalah, rasanya Md Rautin Md Desa [geng Gajah Mati] adalah legenda. Beliau menyertai banyak acara setiap tahun , terutama yang melibatkan tenaga dan sentiasa berada di atas podium, tak kiralah sebagai pemenang pingat emas, perak atau gangsa. Bayangkan beliau belajar di situ hampir 10 tahun. Sesiapa yang menguasai matematik tahap tadika cubalah andaikan berapa jumlah pingat yang dikutipnya.......[Kini, tokoh legenda ini masih segar bugar di kampung kelahirannya ]

Dan sesiapa yang pernah berada di AlFalah tetapi tidak pernah menyertai sebarang acara Sukan Rakyat, dia kekurangan salah satu detik terindah di situ.......


No comments: