Foto koleksi Yusnita Mohd Yusof |
Itulah tangga yang dibuat secara berseorangan oleh Encik Ismail Hassan, tukang dari Kg Permatang Ibus. Ia dibuat di bahagian menghadap ke sawah dan jalan raya kerana bahagian depan [asal] yang menghadap ke sebelah matahari naik [juga menghadap ke surau dan rumah Maklong dan padang permainan AlFalah] telah dirobohkan. Tapak tangga asal tersebut kemudiannya didirikan satu blok baru buat menjadi bilik simpanan buku. Sila lihat gambar di bawah. Bangunan yang kelihatan selari dengan kereta sorong biru itulah yang dimaksudkan.
Foto koleksi Yusnita Mohd Yusof |
Berbalik kepada tangga tadi. Setelah siap, tangga itu semestinyalah secara hakiki digunakan untuk naik dan turun asrama. Setakat 10 orang serentak tangga itu hanya akan tersenyum menyambut mereka......
Namun ada satu lagi bebanan yang terpaksa ditanggungnya: di situlah pada waktu-waktu tertentu, berkumpulnya beberapa orang jejaka AlFalah dengan pelbagai tujuan. Ada yang membilang kenderaan yang lalu, ada yang melihat kehijauan atau kekuningan atau kerebahan padi. Ada lagi yang memperagakan dada bidang masing-masing menanti tiupan angin dari laut.... Ada juga yang di hatinya berbunga-bunga melihat bas berhenti dan mengharapkan si dia yang turun, maka dapatlah dilihat si dia melangkah semakin dekat dan dekat dan dekat lalu hilang di balik bangunan rendah yang menjadi blok pejabat itu...... Mungkin juga berlaku sebaliknya: si dia melangkah semakin jauh dan jauh dan jauh dan jauh .............untuk ke perhentian bas.
Itu senario pada siang, terutama selepas waktu sekolah hinggalah menjelang petang serta pada sepanjang hari Jumaat dan Sabtu.
Malamnya, tangga itu masih setia berperanan menampung sekitar sedozen insan. Di situlah mereka berbual sambil berkongsi menghirup kopi o kaw dari koleh plastik berisipadu setengah liter. Sambil secara kerap juga menampar nyamuk yang turut menyibuk, bertenggek untuk mendengar orang bercerita:. masing-masing dengan stail tersendiri. Ada yang mempunyai hobi mengumpulkan mayat nyamuk yang berjaya dimatikan sebelum dipicit sekuat hati setelah sesi di situ berakhir. Dan ada yang menampar sekuat hati diikuti menaikkan jari ke hidung kerana ketagihannya kepada bau bangkai nyamuk.......
Pada malam-malam tertentu, akan ada sama Cikgu Non dan Cikgu Din menyertai sesi berbual di tangga itu. Selalunya selepas sesi mengulangkaji oleh budak asrama. Cikgu Non cukup dicemburui oleh beberapa pelajar asrama yang telah biasa merokok ketika menjadi tukang basuh pinggan di rumah kenduri di kampung masing-masing. Puncanya, setiap kali datang, Cikgu Non akan membawa dan memperagakan sekotak besar rokok Dunhill. Biasanya selepas duduk di atas pagar tangga paling atas, menghadap ke dalam asrama, dibakarnya rokok itu sebatang demi sebatang. Tidak pernah sekali pun dipelawanya sesiapa, sementelah Cikgu Din pula tidak termasuk kategori perokok. Maka dalam remang-remang cahaya, terlihatlah beberapa halkum turun naik, menelan liur, melihat asap yang dihembus Cikgu Non menerawang lalu hilang ditelan kegelapan. Alangkah tak acinya Cikgu Non membuat deraan begitu........
Dalam banyak-banyak malam ketika berlonggok di situ, teringat bagaimana pada satu malam, Mustadi Mohammad teruk diserang dan dibelasah oleh dua orang guru itu. Kasihan dia. Merah padam seluruh badannya, terutama bahagian muka. Berseorangan berusaha menepis dan mempertahankan diri. Kawan-kawan yang lain sekadar membiarkan malah ada di antaranya turut serta bersama Cikgu Non dan Cikgu Din! Kalaulah ada abangnya, Ramli, ketika itu..........
Antara yang pernah merasai asrama berlantai papan bertangga kayu. Mustadi [berdiri kanan] memeluk seorang rakan yang bukan kelahiran K.edah ....... -Foto koleksi Aswad Lorongmayat= |
Puncanya?
Cikgu Non dan Cikgu Din mengemukakan fakta kekayaan negeri Kedah berbanding dengan negeri Perak, tempat kelahiran Mustadi!
Antaranya, Kedah mempunyai Bukit Wang, Telaga Emas, Bukit Perak, Kg Perlis, Seberang Perak, Pantai Johor, dan seterusnya........
Bukan Mustadi tidak melawan. Negerinya tentulah Perak, ada Teluk Intan dan seterusnya. Namun apalah dayanya kerana hujah-hujah dari Cikgu Non lebih bernas dan tidak boleh dipatahkan lantaran disokong pula oleh Cikgu Din dan rakan-rakan yang semuanya orang Kedah. Diungkitlah pula rakyat Perak yang susah kerana tinggal di dalam Parit, Dinding, Lumut.................
Hingga lewat malam penghujahan daripada pihak yang ramai itu tetap rancak. Pemenangnya? Lagi mahu tanyakah?
Tangga itu hanya mendengar dan tidak mampu menolong menyelesaikan serangan berat sebelah itu.
Kasihan Mustadi...........
Kini tangga itu telah lenyap bersama robohnya bangunan tersebut bagi digantikan dengan bangunan selapis di atas tapaknya. Asrama berlantai papan itu telah menjadi sejarah........
Kalaulah ada jalan ke situ semula ...........
Kalaulah ada jalan ke situ semula ...........
No comments:
Post a Comment