3 April 2015

Kebetulan Atau Suratan?


Empat entri sebelum ini berturut-turut berkisar soal kematian.

Ahmad Munif
Pertama, kematian isteri BF, yang juga cucu pengasas AlFalah.  Ahmad Munif Sehabudin kehilangan isteri yang belum pun dua minggu dinikahi. Munif dan arwah isterinya berusia 24 tahun.

Kedua, kematian Mohd Subki Hj Ali pada awal bulan lalu.  Subki atau di kalangan orang kampung serta teman rapat sejak sekolah rendah, dikenali sebagai Pak Utih, meninggal pada usia 35 tahun.

Ketiga, serta keempat, kematian Azren Lateh, yang hilang di laut semasa bertugas di atas sebuah bot nelayan.

Kebetulan.

Itu yang saya jawab kepada pertanyaan seorang pembaca blog ini – bukan BF – dari Tanjung Piandang. Dia – saya tulis namanya sebagai ST -  yang gemar membaca blog seiras yang ini di segi isi, hairan kenapa berturut-turut entri berkisar hal yang sama.

Saya yang menulis berdasarkan gerak rasa hati tidak mengaturkan begitu. Apa yang terlintas, ditambah punya masa dan keafiatan mood. Itulah yang saya tulis. Tidak kira bab kronologi langsung

Selepas ditanya barulah saya dapat mengesan.

Terima kasih, ST….

Kebetulan.

Mungkin tepat jawapan itu.

Dan sebaik menjawab untuk ST, perkataan KEBETULAN menerawang ke ruang minda.

Bukan SURATAN?

Tidakkah itu yang lebih tepat?

Image result for kenny tay
Kenny
Image result for habsah hassan
Habsah
Minda tiba-tiba bertanya sebaik terlintas jodol sebuah lagu retro ciptaan Kenny Tay dan lirik oleh Hjh Habsah Hassan, nyanyian Kenny sendiri dari trio KRM [Kenny, Remy dan Martin]. Sebuah lagu yang cukup popular pada awal 90-an serta sering menjadi pilihan penerbit drama tv, sebagai lagu tema...

Entahlah.

Ikutkan semua telah tersurat…

KEBETULAN [atau SUDAH TERSURAT…]

Norhayatul Akmar Md Nasir, isteri Munif, meninggal pada malam Jumaat, dikebumikan pada siangnya.

Azren
Pak Utih terjatuh lalu dibawa ke hospital pada tengah hari, menjelang waktu orang lelaki bergerak ke masjid bagi menunaikan Solat Jumaat.

Azren yang hilang pada pagi Ahad, dijumpai mayatnya pada petang Khamis/ malam Jumaat, dan disemadikan jenazah selepas solat Asar hari Jumaat.

Ahmad Munif sebaya usia dengan isterinya. Cuma berdasarkan tarikh lahir, Yat [panggilan manja untuk Nurhayatul Akmar] tua 32 hari dari suaminya.

Subki berusia 35 tahun. Demikian pula Azren. Tidak pasti , dari segi bulan dan hari, siapa yang lebih tua…

Subki dan Azren serentak menjadi BF mulai tahun 1993. Memasuki kelas peralihan pada tahun awal itu.

[Saya  - KEBETULAN atau TERSURAT sebagai guru kelas mereka semasa di Tingkatan TIGA - segera merujuk daftar nama pada entri tentang Kelas Peralihan AlFalah 1993. Nama Azren dan Subki dipisahkan oleh seorang rakan – Mohd Sayuti Osman – di dalam senarai itu…]

Ya. Ikutkan semua telah tersurat…

KEBETULAN atau TERSURAT tidak terhenti…
Ada sepupu saya bertugas di Pejabat Agama Islam Kulim. Dia, seperti sepupu sepapat yang membaca tentang kematian Yat mellaui WhatsApp famili mahu pun blog ini, memaklumkan keesokannya [sehari setelah entri tentang Yat dan Munif dinaikkan] bahawa pada hari muncul cerita lara itu, petangnya, Munif telah pergi ke Pejabat Agama bagi mengambil surat nikah. Mahu saya sambung episod itu dalam entri lain, tetapi cukuplah rasanya, nanti ada lagi soalan seperti dari ST…
Saya tanyakan sepupu itu, adakah dia sempat bersembang dengan Munif. Ini jawapannya. {Tolong jangan betulkan mata anda – bagi yang akan menduduki sebarang peperiksaan bahasa ibunda, abaikan ejaan di dalam jawapan ini. ….Ini adalah lumrah orang ber’wasap’…]
xsmbng pown ngan dia..yg pngntin pmpuan xsain lg sjil nkah..staf pjbt tnya dia istri mai dk sbb kna sain sjil nkah..pastu dia gtw istri dia mnggal..berayaq jgk la mta dia wktu hbq tu..

Berayaq jgk la mta saya wktu membaca apa yang dihbq tu…

**********

ST dan saudara-saudari pembaca.

Catatan kali ini bukan apa-apa. Cuma bercerita tentang empat episod berkenaan.

Untuk rekod, entri tentang kematian Yat paling menjadi tumpuan, kerana ada pertambahan pembaca blog ini secara mendadak. Ini tidak menghairankan. Maklumat kematian itu ada di dalam beberapa grup WhatsApp yang saya sertai – dengan niat supaya semua insaf bahawa kematian berlaku di dalam detik dan ketika yang pelbagai…- lalu menyarankan mereka membaca blog ini bagi mendapatkan sedikit perincian saya. Maka ramai yang sudi membaca atau mengeliknya….

Naiklah jumlah pengunjung ke sini untuk hari itu…Lebih dari hari-hari biasa, malah lebih dari semua entri  - dalam sehari - yang pernah tersiar . Semoga dari yang bertandang secara ‘terpaksa’ itu, akan ada yang kekal menjadi pengunjung setia…seperti ST dan beberapa lagi, yang bukan pun budak Falah…

Hidup ini singkat. Kita tidak dapat mengalami semuanya. Hanya dengan membaca/menonton pengalaman orang, kita dapat mengetahui sedikit tentang yang di luar pengalaman kita…

Anda mungkin bukan BF. Dengan membaca di sini, anda mungkin mengetahui sesuatu yang tidak sempat alami itu…Seperti saya mendapat sesuatu yang asing dengan membaca blog atau berita/cerita di media lain…

Terima kasih.

p.s.

ST, sampai hati mengatakan saya buang tabiat….asyik tulis bab mati!

Bila Izrail datang hampiri
Tinggallah harta emas dan perak
Nafas terhenti lemahlah diri 
Jasad terbaring tidak bergerak

Tiada lagi teman ketawa 
Tinggallah pangkat harta melimpah
Ke tempat sunyi jasad dibawa
Dalam keranda dibawa pindah

Di liang lahad muat seorang 
Gelapnya wahai tidak terperi 
Selesai tanah ditimbus orang
Tinggallah badan seorang diri

Segala harta dan menantu 
Tidakkan dapat mengambil alih
Hanyalah amal dapat membantu
Dan doa dari anak yang solih

2 comments:

RUSLI BIN HASSAN said...

Kematian itu pasti

wiraosman said...

Kepastian