6 August 2012

'Apa Bakar Encik Kabar?'

Sejak berjumpa pada majlis hari raya tahun lalu, di SK Seberang Nyonya, saya hanya sempat menyapa Abu Bakar Zainol menerusi telefon. Sedangkan secara geografinya, Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan kami tinggal di kawasan DUN yang sama....

Lama betul tidak berbual lama-lama dengannya.

Dulu, pernah kami, bersama Cikgu Non, berbual panjang di Restoran Tok Nadoq, Tebengau, bercerita lara hati Cik Bakar semasa di AlFalah dan selepas kematian isteri. Bercerita tentang lara hati seorang lagi kawan yang cukup tragik [kalau diizinkan, akan muncul kisahnya nanti]. Punyalah lama kami berbual, hinggakan saya dan Cikgu Non dikatakan datang berkaraoke di situ, oleh seorang jiran yang nampak kami lalu diceritakan kepada menantu emak. Tapi menantu emak hanya tersengih, maklum sangat dengan tahap kemampuan anak mertuanya bernyanyi - sahih diketawakan oleh si kodok........

Selepas itu, walaupun pernah berjanji, kami tidak berpeluang untuk berbual begitu lagi. Cik Bakar sibuk dengan anak-anak dan perniagaan, sementelah pula beristeri baru. Cuma sesekali, apabila teringat, saya 'bertanya bakar' melalui telefon.

Maka, selepas solat tarawih malam tadi, saya menghala ke Tebengau. Di jalan masuk ke kualanya, saya menelefon Cik Bakar. Seperti biasa, sejak di AlFalah lagi saya menyapanya dengan bertanya, "Apa bakar Cik Kabar?" Dia yang berada di rumah menjawab seperti biasa dan terkejut apabila saya memberitahu dalam perjalanan ke rumahnya.

Di rumah, Cik Bakar siap menunggu di luarnya. Berkain pelikat dan ....itu sajalah pakaian yang saya nampak dipakainya. Anaknya yang baru saja mencecah setahun turut menyambut saya. Bapa borek, anak rintik - anaknya juga ramah dan ....tidak berbaju!

Dua minit saya berada di atas sofa, isterinya keluar mengangkat sejag air anggur. Kemudian disusuli pula dengan sepinggan buah berwarna hijau yang mengilhamkan Parameswara memberi nama kepada sebuah negeri.... Menurutnya buah itu dipetik di Kuala Kedah, berhampiran rumah mertua.

Berjumpa dengan Cik Bakar, selain mengutip sisa kenangan di AlFalah, tak manislah pula kalau kami mahu membincangkan topik  patut atau tidak kakitangan kerajaan diberikan setengah bulan bonus atau penyingkiran empat pasangan badminton wanita di Sukan Olimpik London kerana 'main-main' ketika bermain....

Maka kami bercakap bab BELACAN.

Belacan?

Jangan tak tahu, kerana belacan, ada suami sanggup memenggal kepala isteri dan belacan adalah bahan terlarang berbanding candu di sebuah negeri - rujuk dua filem P Ramlee!

Rupanya banyak yang saya tidak tahu tentang belacan. Dan tentunya ramai lagi yang taraf pengetahuannya tentang itu adalah sama dengan saya....

Ramuan untuk membuat belacan adalah udang kecil dan garam. Tiada pengawet yang lain. Jika terkurang garam, belacan akan cepat rosak yang berbau tidak enak. Jika terlebih garam, belacan akan masin, namun tahan lama. Untuk mengelakkan kemasinan, ada pemproses belacan mencampurkan serbuk perasa. Namun, kesannya, jika disimpan lama rasanya akan menjadi pahit. Oleh itu, Cik Bakar tidak mencampurkan serbuk perasa dalam belacannya. Biarlah masin, katanya, paling tidak pembuat sambal belacan hanya tidak perlu menambah garam dan rasanya kekal enak.

Lama dia mengusahakan proses pembungkusan belacan itu - sejak datuknya masih ada - namun awal tahun ini dia hampir membungkus saja perusahaan tersebut. Rupanya banyak masalah dalam menguruskannya.

Persaingan memang tidak dapat dielakkan. Di sekitar Alor Ibus, termasuk produknya - walaupun duduk di Tebengau, belacan itu tetap dinamakan Belacan Alor Ibus [atas faktor komersil, agaknya]- ada lapan production house. Permainan harga cukup mengecewakannya. Di Pekan Rabu, misalnya, tempat dia membekalkan belacan sejak era arwah datuk masih ada, pesaing baru sanggup menurunkan harga borong hingga 50 sen semata-mata menutup peluang Cik Bakar. Bagi edaran di kedai runcit, lagi menjengkelkan. Semakin jauh dari Alor Setar, harga borong menjadi lebih murah. Di Jeniang, dia menemui pengedar yang sanggup menurunkan harga yang kebiasaannya RM1.20 [saiz kecil] kepada serendah 70 sen! Dan diberi kredit pula sehingga dua minggu walaupun cuma meletakkan 20 ketul di satu-satu kedai! Memang tak berbaloi....

Bagi Cik Bakar, itu masih lagi boleh dihadapinya.

Proses pembungkusanlah yang benar-benar menguji keutuhan jiwanya. Setiap ketul dibayarnya upah 60 sen, 30 sen dan 15 sen, mengikut saiz. Namun untuk membuat belacan tahan lama, ia perlu dijemur, kemudian diletakkan ditempat teduh, menunggu hingga benar-benar sejuk sebelum dibungkus. Sejuk itu pula harus diketahui takatnya, kalau terlalu sejuk belacan akan lembab semula. Akan tetapi aturan itu tidak diikuti sepenuhnya oleh pekerja, demi mengejar kuantiti. Akibatnya, selepas dua tiga hari dihantar kepada pemborong, ada yang terus menghubunginya menyatakan belacan telah rosak atau berkulat. Maka dia terpaksa mengutip semula dan terpaksalah juga menanggung kesemua kosnya, termasuk upah pembungkusan yang sudah dibayar tunai.

Kerugian yang bukan sedikit itulah - beliau mengedarkan sekitar DUA TAN setiap bulan - menyebabkannya mahu membungkus sahaja usaha. Namun, secara perlahan dia dan isteri cuba membaiki keadaan. Kini hanya mereka berdua melakukannya, tiada lagi seorang pun pekerja. Menjemur, memesin, menimbang dan membungkus serta melabel. Sambil itu, dari Isnin hingga Sabtu, Cik Bakar mengedarkan. Memang meletihkan dan terfikir untuk mengupah orang lagi, di bahagian pemprosesan tetapi isterinya bimbang; tiada jaminan masalah lama tidak akan berulang.....

Saya tidak bertanya berapa pendapatannya dari jualan sebulan tapi dia ada memberitahu secara tidak langsung bahawa nilainya lebih kurang gaji guru gred DG48.......Hehehehe. 'Hehehehe' itu bukan dari mulut saya, tahu? Ia keluar dari dua bibir Cik Bakar, sambil memamah buah hijau Parameswara tadi. Cuma saya memandai-mandai menterjemah pendapatannya kepada pendapatan seorang cikgu DG48 yang berbual dengan saya petang tadi, yang sedang berkira-kira tentang bonus yang diperoleh..... Dan kepala saya mencongak lagi, tanpa kos upah, Cik Bakar dan isteri tentu mengaut bonus yang tinggi juga.... 2000kg bahagi 360g darab 60 sen...... Sebuah keletihan yang indah!

       

Cik Bakar berkisah tentang hinaan yang diterima dari rakannya, pemborong ikan, apabila mengetahui dia menjual belacan. Rakan itu datang melihat dia memproses ketika lebih kurang satu setengah tan berada di dalam setornya. Rakan itu tertawa, "Sapalaaaaa yang 'nak makan belacan banyak 'ni?" tanyanya.

Cik Bakar menjawab, kalau setiap orang menggunakan belacan sebesar ibu jari saja, habislah belacan itu.

Dua minggu kemudian, rakan itu datang semula dan terkejut, semua belacan telah terjual!

Demikianlah.

Dulu, dalam pertemuan dua tiga tahun lalu, Cik Bakar pernah bercerita: Dia membalut belacan dengan kertas surat khabar dan dicop nama datuknya. Kemudian memikirkan untuk berkembang, dia membalut pula dengan kertas minyak dan dicop dengan cop yang sama. Namun belacan itu tidak berapa laku. Pemborong berkata, pembeli mahu belacan yang dibalut kertas akhbar - yang ori! Cik Bakar tergelak, lalu kembali menggunakan kertas akhbar. Sebagai tanda sayang kepada insan yang menjaganya, untuk setiap ketul, dia membayar royalti kepada datuk!

Kini, Cik Bakar menggunakan plastik telus cahaya untuk bungkusan belacannya. Pelanggan boleh nampak warna dan teksturnya. Di atas plastik iu dilekatkan labelnya yang berlatarkan warna kuning:

BELACAN ALOR IBUS
ABZ
ABU BAKAR ZAINOL
Kampung Tebengau, Tepi Laut, 06600 Alor Setar
Kedah Darul Aman.

Ada dua ekor udang merah melengkar di label itu. Nombor telefon dan nombor pendaftaran perniagaan sengaja tidak saya catatkan atas sebab-sebab peribadi!

Ketika saya meminta untuk melihat labelnya, kerana di pokok berhampiran rumahnya ada papan tanda buatan sendiri, Cik Bakar mengambil sekeping yang mengandungi sedozen label dari dalam almari. Ketika saya membeleknya, Cik Bakar  keluar mengambil belacan yang siap dibungkus - empat ketul dengan berat yang berbeza. Lebih cantik label pada sampel dari hanya dilihat pada kepingan kertas....

Sambil itu saya menghubungi Encik Wira Osman, dari bahagian Pemasaran, Persatuan Nelayan Kuala Kedah. Difahamkan dulu bahawa PNKK yang turut memasarkan produk KEKEK MAS itu, sedia membantu ahlinya mendapatkan mesin dan peralatan lain termasuk papan tanda bagi perusahaan belacan. Tentang papan tanda itulah yang menjadi tumpuan Cik Bakar. Bukan harganya yang menjadi persoalan, tetapi dia ingin memiliki lambang naungan PNKK agar keyakinan pelanggan bertambah dan permintaan meningkat.

Sebenarnya, saya telah dua kali memaklumkan kepada Cik Bakar, namun dia dengan hehehehenya.

Apabila saya menyebut Wira, dia tidak perasan lagi. Sehinggalah isterinya menyampuk barulah dia berkata dengan bersemangat, "Wira Falah 'tu ka? Awat tak kenainya....." dan semangat itu, saya menyuakan telefon untuk mereka berbual sendiri. Isterinya mengenali Wira yang katanya menghantar anak ke taska berhampiran rumah ibunya, kalau tidak silap pendengaran.

Sekadar info, inilah produk jenama KEKEK MAS:  Nugget Ikan, Bebola Ikan, Burger Ikan, Kek Ikan, Jeruk Beremi dan Air Mineral.

Cik Bakar memberitahu bahawa dulu dia memiliki mesin yang disumbangkan PNKK melalui nama bapa saudaranya. Namun, setelah kematian datuknya, dengan pengakuan masing-masing mempunyai saham dalam perusahaan itu, ditambah penghasilan produk tidak mengikut kualiti kehendaknya, dia terpaksa mengundurkan diri dan terpaksa juga kehilangan mesin utama. Kini dia memproses dengan mesin yang dibeli sendiri. Sebab itu, mesin tidak lagi diperlukan sangat, begitu juga dengan tempat menjemur, kerana didapati pemberian PNKK sebelumnya tidak sesuai untuk penjemuran belacan yang banyak. Tanda pengiktirafan sebagai perusahaan naungan PNKK saja yang diingini. Namun Wira berkata bahawa, jika diluluskan, keseluruhan pakej akan diberikan. Cik Bakar kedengaran berhuha-huha sahaja.

Sedang berbual seperti kekasih yang bertahun tidak bertemu itu, tiba-tiba telefon seolah ingin mengaibkan tuannya.... Bateri kehabisan! Terhentilah perbualan yang nampaknya seperti akan panjang itu... . Selepas dicas, lama kemudian barulah saya memaklumkan keadaan kepada Wira yang memang telah mengagaknya.

Semasa bateri dicas itulah timbul pula cerita tentang AlFalah. Cik Bakar berharap AlFalah akan kembali....dan saya meyakinkannya: Insya Allah.

Hening seketika apabila bercerita hal Ustaz Fadzin yang telah pergi. Di mana-mana, bila-bila dan siapa-siapa pun, begitulah.....

Kemudian kami bercerita tentang perjumpaan hari raya nanti. Bersinar mata Cik Bakar ketika meramalkan perjumpaan ini akan lebih berjaya dari tahun lalu kerana ramai yang telah maklum. Dia sendiri mendapat surat undangan dari Ustaz Husin Lateh. Surat itu sendiri menunjukkan perubahan telah dan akan berlaku.

Apabila saya sebutkan kemungkinan Cikgu Aziz, Cikgu Khadijah, Cikgu Faisal, Cikgu Rahim dan Ustaz Zahari serta Cikgu Alhamidi akan turut serta pada tahun ini, dia tersenyum. Tentu seronok, katanya. Tatkala saya mengingatkan Ustaz Md Daud Daie juga akan muncul, tiba-tiba Cik Bakar tertawa besar. Pasti ada sesuatu sedang menggeletek perutnya yang tidak berlapik itu.

Cik Bakar teringat betapa satu hari di dalam kelas tingkatan tiga, dia bersama Mohd Jamil Md Isa, budak Lubuk Merbau/Padang Cicak sedang bernyanyi sakan. Ustaz Md Daud datang menegur. "Ala, releksla , ustaz....." kata Cik Bakar. Ustaz Md Daud terus ke pejabat tanpa berkata apa-apa lagi. Sebentar kemudian, masuk seorang guru yang bercerita kepada kelas, "Dua budak menyanyi macam orang gila. Ustaz tegur, dia boleh kata, releksla ustaz! Ada ka patut?"

Siapa guru itu? Saya bertanya Cik Bakar.

"Cikgula....." jawabnya sambil terpejam tertawa. Saya tidak mengingati langsung episod itu. Tiba-tiba Cik Bakar terkenang kawan baiknya, Mohd Jamil. Entah di mana kini......

Saya bercerita pula tentang pertaruhan  Zabarina Ahmad dan Cikgu Aziz. [Sila baca episod Zabarina: Satu-satunya, jika disiarkan]

Isteri Cik Bakar juga sesekali menyampuk. Walaupun dia tidak bersekolah di AlFalah, namun dia kenal ramai Budak Kola, termasuklah Yusri Harun bersaudara, Aswad Lorongmayat bersaudara [kebetulan dia berkawan dengan kakak Aswad], Mustafa Ismail bersaudara dan Mazlan Mansor bersaudara.

Selepas isteri membawa anaknya masuk tidur, kami berbual lagi, mengimbau masa lalu dan membaurkan dengan cerita belacan pula. Bauran seperti sambal belacan digaul buah bacang itu, rupanya sedap juga. Lagi pula bukannya kena bayar.... Sekejap kami calit bab sini, sekejap bab sana dan sekejap lagi bab situ!

Akhirnya saya terpaksa berundur setelah hari akan bertukar nama.

Di luar, melintasi tempat menjemur belacan, saya dibawa ke setor bersebelahan rumahnya. Terdapat sekitar satu setengah tan belacan 'mentah' yang didatangkan dari Perak, menunggu untuk diproses, dan di satu penjuru tersusun kemas ketulan belacan siap dibungkus - "untuk Pekan Rabu, esok," kata Cik Bakar.

Saya meminta diri sendiri untuk kali kedua dengan janji untuk berjumpa lagi. Sebagai tanda kenang-kenangan atas kunjungan itu, empat ketul belacan yang ditunjukkan kepada saya tadi, dihadiahkan terus kepada saya. Apa 'nak dikata? Stok belacan untuk rumah saya hingga awal tahun depan nampaknya mencukupi.....

Saya membelah dingin angin Selat Melaka melalui jalan tepi laut dengan lapang dada. Tercapai sudah hasrat yang lama tertangguh.Ketika itulah Wira menghantar mesej meminta nombor telefon Cik Bakar......

Mungkin besok, Wira juga akan menyapa, "Apa bakar Cik Kabar?".........

No comments: