Maka apabila saya melihat statistik untuk kelmarin, saya terkejut. Apakah binatang yang anda fikirkan ketika ini? Katakanlah anda bayangkan lalat, maka terkejut lalatlah saya. Kalau beruk...
Rupanya ramai juga yang sudi mengelik ke blog ini. Walau tidaklah sebanyak kunjungan ke blog politik, sekurang-kurangnya saya rasa berbaloi menulis catatan setiap ada kesempatan. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih. Saya tidak tahu siapa anda. Tak apalah. Izinkan saya tulis satu ayat klise sekali lagi: Tanpa anda, siapalah saya!
Menantu emak yang tinggal serumah dengan saya juga memberitahu ada kenalannya yang pernah mengenali AlFalah, kadang-kadang menjengah juga. Terima kasih daun kering. Semoga yang kadang-kadang itu menjadi sering-sering.... Akan si pemberitahu itu, baru TIGA kali membaca, itu pun ketika saya tiada di rumah. Tidak pula sampai hati untuk bertanya akan sebabnya. Mungkin dia tidak mahu kliknya akan termasuk dalam statistik..... Supaya statistik itu telus...
Ketika hendak memulakan blog ini - saya mulakan blog yang satu lagi pada 8 Januari 2010 - maksud asalnya adalah untuk bersenam sahaja. Senam otak, senam tangan, senam mata.
Alhamdulillah, hasrat itu tercapai.
Komponen medula oblongata, sereberum dan serebelum serta otak tengah berfungsi elok. Keadaan yang demikian, dengan izin-Nya, banyak membantu saya duduk tegak menghadap skrin, menghela nafas lalu mengenang sesuatu dengan baik. Mengimbau sesuatu seolah baru dua tiga bulan berlalu.Kemudian menyusun ayat sambil menyunting ejaan, lalu mengalirkan yang terkumpul di otak setepat mungkin melalui deria sentuh pula. Cuma kelajuan jari tidaklah mampu menandingi kederasan rayauan fikiran........ Kita tidak akan dapat semua yang kita mahu.....
Masih segar melagukan sedikit:
Datuk panglima pergi membajak,
ke tanah rata senja pulangnya,
kalau Saloma orang yang bijak,
negara kita apa namanya? [lagu filem Ragam P Ramlee]
ketika mengajar BM kepada gerombolan Wira di dalam kelas di bawah surau, menghadap tandas ............
Atau juga, masih terbayang geng Gajah Mati membawakan sekeping gambar seorang gadis kampung mereka untuk diperkenalkah kepada saya - agaknya kerana takut saya terlajak mempertahankan taraf bujang .........[Apa khabar P***h sekarang?]
Alhamdulillah. Semua anugerah ini tidak ternilai. Semoga sentiasa dipandu menggunakan ke jalan yang tidak mengundang bala, musibah dan noda........
Demikianlah.
Sekali lagi, terima kasih.
Semua ini atas izin-Nya. Allahu Akbar.
No comments:
Post a Comment