Mariam & Zulkifli |
Saya hampir tidak pernah mengemukakan 2 entri dalam satu hari. Kali ini saya melawan kelaziman dengan melakukan sesuatu yang tidak pernah itu. Semuanya sebagai dedikasi saya kepada sahabat kita yang murah dengan senyuman - Zulkifli Shamsuddin.
Pukul 11.25 pagi tadi saya dikejutkan oleh satu lintas langsung dari Pusat Kesihatan Simpang Empat, Alor Setar. Menantu emak memancarkan acara yang berlangsung sempena Perhimpunan Hari Guru KAFA Daerah Kota Setar. Memang disengajakan agaknya, ia berlaku tepat ketika Mariam Ismail sedang mendeklamasikan sebuah sajak di pentas.
Seperti selalu, acara begini membuatkan bulu roma meremang. Apabila yang dengan lantang melontarkan suara itu pula adalah Mariam, liang roma turut mengembang! Hati dan perasaan tak usah diceritalah - mengembang seperti sekeping keropok dimasukkan ke dalam kuali yang di dalamnya adalah minyak yang menggelegak!
Saya segera terpelanting ke masa lalu.
Mariam [kiri] dan Cikgu Deja Man |
Di Alfalah, dalam majlis muhadhoroh, selain nasyid, sajaklah yang paling menjadi pilihan pelajar. Mungkin kerana bentuknya yang bebas dan ringkas, maka singkatlah masa pendeklamasi berada di depan khalayak. Tidak seperti syarahan yang amat digeruni oleh pelajar yang berdarah sejuk - terpaksa berlama berdiri untuk ditenung oleh rakan-rakan dan guru-guru, dan terutamanya rakan yang mengangkat diri merangkap pengomen.....
Namun, dalam ringkas dan bebas itu, sebenarnya sajak turut menuntut keberanian dan keyakinan yang tinggi. Bukan calang-calang orang boleh berdiri di depan ramai, sambil mengingat bait-bait puisi, perlu pula menyesuaikan dengan intonasi dan gaya. Deklamator yang baik mampu menarik perhatian audien lebih dari seorang penceramah, walaupun jumlah baris puisinya hanya setengah muka surat!
Pendebat-pendebat yang dilihat amat gagah di kedai kopi - setelah membaca berita pada akhbar percuma yang kusam - belum tentu berani, jika disuruh berdiri sendirian, meski di hadapan rakan-rakan pendengar yang sama di warung kegemaran, memperdengarkan hujahan masing-masing..........
Dengan demikian, saya amat berbangga dengan penampilan Mariam. Dan perasaan itu berganda apabila mengetahui bahawa sayalah satu-satunya manusia di bumi ini yang mendapat lintas langsung sebahagian [dalam durasi 85 saat] persembahan Mariam!!! Terima kasih atas ihsan menantu emak....
Mariam menyampaikan sajak tentang jasa atau pengorbanan guru. Meski saya tidak berada di lokasi, saya dapat membayangkan pesona yang tercipta ketika itu. Semuanya diam menghayati dan terdetak kekaguman atas bakat Mariam. Ini kemudiannya diceritakan secara jujur oleh salah seorang pengagum - menantu emak yang mengaku tidak akan mempunyai kekuatan sekelumit keupayaan Mariam.
"Budak Falah....." kata saya dengan diakui oleh makhluk bertanduk yang tiba-tiba muncul di sisi.
Mariam mendapat tempat kedua di mata juri. Di hati menantu emak, selayaknya Mariam menjuarai. Pengagum itu turut bercerita tentang Mariam yang muncul berkolaborasi dengan beberapa rakan sedaerah bernasyid pada awalnya. Demikian aktif dan hebatnya ustazah ini yang juga sedang sibuk menguruskan Majlis Perjumpaan Aidilfitri Alumni AlFalah Ogos nanti.
Bagi saya ketrampilan Mariam amat berkait rapat dengan kekerapannya muncul di dalam majlis muhadhoroh dahulunya. Tanpa melazimi sesuatu, mana mungkin akan tumbuh kesediaan menyahut cabaran bersajak di depan khalayak?
Tahniah Mariam!
Tahniah juga untuk suaminya Zul. Saya percaya, izin, restu dan dorongan Zul cukup berfungsi dalam memungkinkan Mariam berdiri yakin di depan khalayak. Bersama senyum dalam diam, Zul menyaksikan isterinya berlatih berkali-kali demi satu persembahan yang hebat!
Budak Falah yang lain, kalian ada?
No comments:
Post a Comment