14 June 2012

Hilang Di Mata, Di Minda Jangan!




Salah satu binaan di AlFalah yang tak mungkin hilang dari ingatan sesiapa yang  pernah bersamanya.

Didirikan pada penghujung 80-an, asalnya tapak kantin ketika AlFalah beroperasi semula [1983].

Asalnya bertangga kayu, di sebelah sana, namun diubah ke sebelah yang kelihatan itu, apabila diganti dengan tangga simen. Binaan tangga yang kelihatan itu dilakukan oleh 3 mahir dari Kola, termasuklah Encik Mansor, ayah kepada Maizura, Ustaz Mazlan, Mazliana dan Mazni [semuanya warga AlFalah].

Di atas adalah bahagian surau, manakala di bahagian bawah [dipecahkan menjadi dua bahagian] pernah menjadi bilik kelas, bilik buku, bilik kemahiran hidup dan menjelang hujung hayatnya menjadi stor.

Pertukaran kedudukan tangga terpaksa dilakukan bagi memberi ruang kepada binaan pisang sesikat, yang kelihatan sedikit di bahagian kanan foto, untuk dijadikan tempat memasak bagi pelajar asrama, berikutan kepadatan penghuni asrama.

[Jurufoto, ketika itu, berada di atas jalan menuju ke bilik Ustaz Wan Osman [Waesemae], ketika dia menjeritkan 'sedia' kepada bangunan yang menggagah menunjukkan kekacakannya dalam foto....]

Bangunan kecil di sebelah kiri foto adalah kolah air berbumbung yang besar untuk berwuduk dan dengan selamba disalahgunakan oleh putera asrama sebagai tempat mandi di sekelilingnya, terutamanya selepas berpeluh di padang bola...

Sesiapa yang menjadi warga AlFalah ketika kewujudan bangunan ini, tentulah punya kenangan sendiri, mengikut era dan selera masing-masing. Ada yang manis, masin, pahit, payau, pedas dan pedar......

Ada yang akan terkenang zaman belajar di bawahnya. Pelajar yang berada di kelas di bawah surau terkenal dengan kesiapsiagaan mereka menjelang sesuatu pelajaran. Ini mudah difahami kerana mereka akan nampak guru yang melenggang ke situ dari kantin atau bilik guru, maka mudahlah mereka untuk bersedia berlakon.....Kalau guru tak muncul, tidaklah dapat saya terangkan kerana saya bukanlah termasuk sebagai sebahagian pelajar berkenaan....

Bagi penghuni asrama, tempat ini lebih-lebihlah berganda kenangannya. Yang sesekali menumpang asrama [terutamanya menjelang peperiksaan peringkat kebangsaan] demikian jugalah adanya.

Saya sendiri, tidak terpermenai banyaknya.

Antaranya, di bawah bangunan inilah saya menjerkah Ismail Teluk Bulang [rujuk di sini] sekuat hati kertika dia mengganggu seorang rakannya yang sedang berhadapan dengan saya untuk ujian lisan BM SRP/PMR. Tahun itu ada bahagian mendengar kaset dan menjawab lisan untuk peperiksaan berkenaan.

Di sinilah kelasnya, buat pertama kali, saya melagu sedikit untuk pengajaran BM [rujuk di sini]

Di sinilah, saya menahan sayu melihat tangisan seorang geng Gajah Mati, yang bagai tidak terpujuk, meratapi kematian kucing kesayangannya yang dilenyek tayar kereta ustaz.....

Di sinilah, dari bawah, saya melihat bagaimana seorang guru muda bertungkus-lumus membaca rukyah, mencuba merawat pelajar yang keteguran......

Di kelas inilah, satu malam, menjelang hari akhir satu peperiksaan peringkat kebangsaan, saya diminta oleh Ustaz Fairose, untuk bersama Cikgu Non, berkhutbah sakan kepada sekumpulan pelajar yang terkesan menjadi nakal......Cikgu Non yang menghidu dan mengesannya. Saya sekadar memuntahkan kekecewaan....

Di sinilah, jauh lebih awal daripada itu, [saya juga belum menjadi warga AlFalah], sebuah kereta berhenti. Muncul seorang anak muda lengkap berpakaian seperti raja, diiringi beberapa pendamping, membetulkan samping dan songkok. Diiring ke rumah di belakang asrama. Ketika itu kawasan AlFalah tidak berpagar. Saya mengekori mereka. Rupanya ada lagi anggota kumpulan mereka yang sedang menunggu di bawah pokok hak kelima besar antara Alfalah dan rumah berkenaan. Sederet mereka berjalan. Saya mengekori.
Ustzh Rodziah
Bang Man

Itulah hari berlangsungnya majlis perkahwinan Ustazah Rodziah Ahmad. Anak muda lengkap berpakaian seperti raja tadi adalah Encik Abdul Rahman bin Samad, yang kemudiannya dipanggil Bang Man atau di kalangan pelajar AlFalah memanggilnya Paklong, pengendali kantin hampir separuh dari jangka hayat saya di AlFalah......

Demikianlah yang sempat saya ingat ketika ini.

Kini pohon nyiur dan pisang yang melatari foto itu telah lama hancur. Demikian juga bangunan tersebut. Pihak pentadbir Pusat Tahfiz Amal telah merobohkannya pada tahun 2004 dan digantikan dengan bangunan surau setingkat dengan keluasan yang hampir sama.

Merenung foto ini, pasti akan terasa baru benar kita berada bersamanya. Hakikatnya sudah hampir sedekad dia pergi......

Payah benarkah datangnya rindu itu?

No comments: