8 June 2012

Nazri, Kuetiau Dan Budakfalah...


Nazri & anak-anak
Takdir menentukan dua malam berturut-turut, saya dan cikgu Non bersembang hingga awal pagi bersama Ahmad Nazri Hj Hashim. Kalau malam pertama hingga jam 3.30, malam kedua tidaklah pula selewat itu kami mendera mata.Hingga sekitar jam 2.30 sahaja.....

Mulanya rasa bimbang juga melakukan kali kedua. Takut disalahmengertikan oleh menantu Hj Hashim - balik ke rumah mertua tetapi ditinggalkan hingga awal pagi... Namun  apabila anaknya sendiri menyatakan bahawa di Hulu Langat pun dia selalu begitu, tumbuhlah rasa senang kami. Rupanya kami dari spesies yang sama - makhluk yang tidak menghiraukan waktu lena sangat!

Kalau malam pertama kami ke Sungai Limau sebelum melepak di rumah cikgu Non, malam kedua pula kami dimestikan pergi ke Alor Setar. Tepatnya ke Taman Pandan. Tepat lagi ke kedai Kuetiau Iman. Itu tempat kegemaran Nazri setiap kali pulang ke Kedah.[ Kedai di Sungai Limau itu pilihan cikgu Non]

 Jadi, kerana memenuhi tuntutan seleranya, yang dijanjikan sejak dia masih belum bercuti, maka terpaksalah kami menurut... Terpaksa juga menelan seorang dua pinggan kuetiau. Kalau tidak turun ribut dan hujan yang kuat sehingga menerbangkan payung dan gelas Encik Iman, agaknya bilangan  pinggan di meja kami mungkin bukan enam.....



Balik ke rumah cikgu Non, kami meneguk kopi o 'kaw'. Aromanya terperangkap kerana dinginnya malam selepas hujan. Fuh! Makin rancaklah perbualan.


Sambil membelek-belek beberapa laman web, saya menunjukkan Cinta Tidak Semestinya Bersatu yang saya catat sebaik berpisah pada awal pagi sebelumnya. "Dan lagi tulis 'tu...." Terpejam mata Nazri tertawa. Beberapa butiran yang kami bualkan dan saya catat sepintas lalu di dalam entri itu agaknya menggeletek Nazri.

Rupanya dia belum tahu akan kewujudan Budakfalah.blogspot.com. Sahlah blog ini akan ada seorang lagi pengikut berdasarkan janjinya untuk sering menjenguk.

Sebagai pengendali tunggal, sambil mengelik beberapa entri yang dirasa sesuai dengan selera Nazri, saya menghuraikan isi blog ini. Antara sengih dan tawa, dia sempat mengulas beberapa entri. Secara tidak langsung, terpacullah beberapa perkara yang di luar pengetahuan saya selama ini. Makin kayalah saya dengan perbendaharaan kisah AlFalah. Ditambah pula oleh cerita dari sudut pandangan cikgu Non, rasanya untuk jangka masa yang lama, dengan izin Allah, bahan bagi blog ini tidak akan putus......

Banyak yang kami bualkan, menyambung atau menokok apa yang kami perkatakan malam sebelumnya. Bukan bab AlFalah sahaja, namun tidak sesuai temalah jika dimasukkan ke dalam blog ini....Jadi, off record sajalah.

Kebanyakan tentang AlFalah pula adalah memori yang manis-manis belaka. Manis-manis untuk dikenang kini, walaupun ada juga yang pahit semasa kejadian atau hal itu berlaku dahulu. Biasalah. Berdiri di atas kerusi selama 45 minit amat menyakitkan hati ketika itu, kini dikenang dalam selitan hilai tawa....Apa lagilah kisah ketahuan hubungan kasih. Dulu, guru merupakan makhluk yang paling mahu dihindari, kini boleh pula bercerita......

Jam 2.30 pagi kami berpisah dengan janji untuk bertemu lagi.

"Balik sat 'gi, 'nak tulis apa 'tu....?" Nazri mengacukan kata-kata itu kepada saya..

Di rumah, saya menghadap komputer. Tiada apa yang saya tulis. Sebagai pengarah, saya perlu mencari sudut yang menarik. Nampaknya tiada yang menarik untuk waktu itu. Semua sudut seakan suram. Pelakon-pelakonnya juga tidak datang!

Saya tahu puncanya.

Dua pinggan kuetiau tadi, sebahagiannya masih menunggu untuk dihadamkan. Saya perlu membantu usus berasa selesa...... Tidur adalah cara terbaik!



No comments: