12 September 2012

'Weak Point'

[i]

Semasa saya kecil dahulu, awal 70-an, kampung kami secara berkala didatangi sekumpulan pekerja Jabatan Kesihatan, menyembur ubat pembasmi nyamuk, DDT, kalau tidak silap. Biasanya selepas disembur, habis dinding rumah papan nampak seakan berkulat, berwarna putih. Baunya pula satu hal lain. Lama juga masa diambil untuk kesan itu benar-benar hilang.

Satu hari, selepas menyembur di rumah ayah, mereka berehat di bawah bangunan sekolah AlFalah yang kosong,  kemudiannya menjadi bangunan asrama puteri.pada tahun 1984... Saya yang datang melangut di situ - lebih kerana meminati nasi bungkus yang mereka makan - mendengar perbualan mereka.

Salah seorang, yang berdasarkan perbualan mereka, adalah penyanyi kepada kugiran 'Midnite/Mid-night Sun' Alor Setar rancak bercerita. Ketika ditanya rakan akan kenangan sebagai penyanyi, dia bercerita: satu waktu ketika menyanyikan lagu Tarikan Nafasku Yang Terakhir nyanyian asal Tetty Kadi [Indonesia], dia nampak ada seorang makcik mengalirkan airmata.

Atas permintaan rakan-rakan, dinyanyikannya bait awal lagu tersebut, sebelum menyalakan sebatang rokok lalu menyedut dalam-dalam.

Saya ternganga.


Pertama, hairan kerana ketika menterjemah sendiri, nama band itu bermaksud Matahari Tengah Malam - sebelum lama kemudian saya terbaca ada kumpulan bernama 'Sweet Salt' {Garam Manis} dari Singapura, di mana salah seorang penyanyinya adalah Datin Rina Rahman yang kemudian lagi terkenal dengan lagu dari album solo Ku Ingin Bahagia......


Kedua, juga hairan, bolehkah dengan mendengar lagu sahaja, orang akan menangis? Kenapa begitu?

Kerana bukan zamannya rumah kami mempunyai pemain kaset atau piring hitam, lama juga saya terpaksa menunggu radio memutarkan lagu yang kononnya boleh membuatkan air mata seorang makcik itu berlinang. Setelah dua tiga kali mendengarnya, dapatlah saya ingat akan melodi dan liriknya.

TARIKAN NAFASKU YANG TERAKHIR

Kini saat yang terakhir
Ku pinta maaf kepadamu

Jauh dari lubuk hatiku

Tak pernah ku dendam padamu


Bila engkau tak percaya

Ku rela korban jiwa raga

Kini saat yang penghabisan

Ku harap kau datang kepadaku


Berulang kali ku nyatakan

Aku sayang padamu

Berulang kali ku meminta

Peluklah belailah daku


Oh itu tak pernah terjadi

Semua harapan belaka

Nafasku yang terakhir ini

Hanyalah ku tujukan padamu



Saya sering melagukannya, perlahan. Tiada terasa apa-apa.  Sekali, pada satu petang, ketika hanya berdua dengan kerbau ayah yang saya temani meragut rumput di batas bendang, agak jauh dari kampung, saya menyanyikannya sekuat hati. Juga tidak terasa apa-apa.Tiada air dari mata, cuma dari mulut......menyembur-nyembur!

Satu hari, ketika radio memutarkan lagu itu, sebaik mendengar muzik intronya, saya menguatkan suara radio. Kebetulan MakNdak yang berada di situ. Tapi saya lihat MakNdak biasa sahaja - tiada pun linangan airmata.

Bagaimana makcik itu, yang penyanyi band Midnite Sun ceritakan, boleh pula menangis? Soalan itu tersimpan sendiri.

Satu hari, radio, teman setia satu-satunya,  memainkan lagu Malam Ini Kita Berpisah nyanyian Habibah Yaakob - lama kemudian barulah saya tahu lagu berkenaan terdapat dalam filem Enam Jahanam lakonan P Ramlee dan Nor Azizah, kerana ketika itu saya belum pernah menonton filem tersebut. Maklumlah ketika itu peti tv masih jauh jaraknya dari keupayaan kebanyakan keluarga di kampung.... Kalaupun mahu menonton, terpaksa kami menapak ke tengah-tengah Kampung Permatang Ibus, di rumah seorang 'ada-ada'. Di situ, kami terpaksa memasukkan pula sekupang ke dalam tin Milo yang siap ditebuk sepanjang dua inci tudungnya, dipegang oleh anak tuan rumah di muka pintu, dengan mukanya sendiri keras seperti pintu.......
 
 MALAM INI KITA BERPISAH

Malam ini kita berpisah
Rasa hati resah gelisah
Pulanglah kanda wahai pujaan
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat Jalan

Mengapa kita berjumpa
Bercinta dan putus pula
Mengapa kita berjumpa

Bercinta dan putus pula
Kalau dah nasib
Apa nak dikata

Pulanglah kanda wahai pujaan                                          
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat jalan

Hatiku sudah berdarah
Asmara hancur dan musnah
Hatiku sudah berdarah
Asmara hancur dan musnah
Kalau dah nasib
Apa nak dikata


Pulanglah kanda wahai pujaan
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat jalan...


Dua kali Habibah Yaakob menarik kalau dah nasib......... apa nak dikata , dua-dua kali itu MakNdak mengeluh, separuh berbisik, "Hai...Tak taulah Bibah oiiii...." 

Lama. Terlalu lama kemudian, baru saya faham: Lain orang, lain pula lagu yang memberi kesan dalam hati.....



[ii]


Setiap tahun, kebanyakan sekolah mengadakan kem motivasi. Bagi yang inginkan kelainan dan mempunyai dana yang cukup pula, kem  luar akan dipilih. Di Kedah, antara kawasan yang popular adalah sekitar Pekan Yan kerana mempunyai beberapa kem yang sesuai. Kalau tidak, kem motivasi dalaman tetap ada dengan memanggil pengendali/motivator dari luar.

Di dalam pengisiannya, selain dari motivasi tentang pelajaran akademik, selalunya mesti ada bab muhasabah diri, lebih kuranglah. 

Saya banyak kali berkesempatan menyaksikan bagaimana acara ini berlangsung. Biasanya skrip yang serupa dengan tokok-tambah di sana sini.

Ini salah satu sesi dan kes yang saya pernah 'ada':

Lampu dewan dan sekitarnya dipadamkan. Suasana sepi. Di skrin [bersumberkan kandungan Youtube yang melambak],  ditayangkan  rengekan anak yang baru lahir. Ditunjukkan keperitan ibu ketika melahirkan, kemudiannya dibesarkan oleh ayah ibu, menjadi remaja dan seterusnya dewasa. Diselitkan lagu-lagu yang mendayu-dayu tetapi relevan. Berlinang mata sebahagian anak-anak yang melihat itu. Kemudian, pengendali dengan suara bergetar akan meminta semua yang ada memejamkan mata, di dalam kegelapan dewan itu. Mereka disuruh membayangkan, bagaimana ketika pulang esoknya didapati emak dan ayah baru meninggal. Apa lagi, yang baru basah pipi tadi terus meraung....Ada yang terjerit hendak pulang! Ada yang tanpa silu, bersulam tangis meminta ampun...Lama sedikit dibiarkan mereka melayan perasaan. Kemudian diselitkan nasihat yang berkaitan hingga akhirnya masing-masing berjanji, mengikut lafaz yang diketuai oleh pengendali, untuk menjadi anak yang baik dan soleh....

Lampu dinyalakan semula sedang yang teresak-esak mengelap pipi. Insaf sungguh!

Namun, guru-guru yang mengawasi pelajar dapat mengesan bahawa ada seorang  pelajar mereka tidak menangis pun, malah mengukir senyuman kepada teman di sebelah yang sampai mengalir air hidung! Pelbagai andaian dibuat: dia tidak faham, dia tidak peka, dia tiada perasaan, dan seumpamanya.


Di sekolah perkara tersebut dibincangkan sekali lalu. Kemudian tenggelam.

Satu hari, budak yang tidak menangis pada malam muhasabah itu, meraung sekuat hati. Berlari ke bilik guru untuk mengadu: gambar kucing kesayangannya yang dilekatkan pada bahagian dalam kulit buku nota dikoyak oleh rakan sekelas! Puas pula guru kaunseling mencari frasa ayat terbaik untuk menenangkan pelajar itu. 

Demikianlah.

[iii]
 
Pertengahan tahun70-an.

Dalam sekitar dua puluh rumah, bermula dari rumah ayah saya di kampung, hanya rumah Pakcik Yusof Hj Osman - nama sebenarnya Hassan, ayah Salmiah, bekas pelajar AlFalah - ada peti tv. Di situlah kami menonton hampir setiap malam.Di situlah saban minggu kami menanti drama peperangan Combat!, konsert orkestra James Last, drama penyiasatan komedi Misadventues of Sheriff Lobo, drama kepolisan trafik CHiPS lakonan Eric Estrada serta drama koboi The High Chapparal lakonan Leif Erickson dan Cameron Mitchell, rancangan gusti dan sebagainya.

                

Pada masa itu, drama melayu hanya seminggu sekali dalam slot Drama Minggu Ini. Tayangan gambar melayu juga seminggu sekali - Jumaat malam Sabtu. Selalunya jika ada tayangan gambar melayu, penuh ruang depan rumah kayu itu diisi penonton. Lelaki dan wanita dipisahkan oleh satu pemidang anyaman buluh.


Satu malam, RTM menayangkan filem Sesudah Suboh lakonan P Ramlee dan  Vera Wee. Semua khusyuk menonton, sesekali terdengar perlahan kutukan terhadap anak, lakonan arwah Bob Mustaffa yang biadap terhadap bapanya [P Ramlee]. Pada penghujung filem, bapa yang tidak pernah menjentik pun anak-anaknya, telah menampar sekali pipi si anak lelaki yang bermulut lancang. Semua penonton tersentak. Ketika si bapa berdialog mencungkil betapa kasihnya kepada anak-anak dan isteri, bekas perempuan kabaret, semua penonton kian asyik. Saya yang berada paling depan secara sengaja berbunyi seolah teresak-esak dua tiga kali dengan jelas. Maka kedengaranlah esakan yang kuat dari beberapa penonton di bahagian wanita...... Saya terkejut. Rupanya mereka menahan ledakan itu.....

[iv]


Saya terbaca sebuah cerpen tulisan arwah S Othman Kelantan. Terlupa akan jodolnya, pernah mendapat Hadiah Sastera Negara rasanya. Ia berkisah tentang seorang yang boleh dikategorikan samseng kampung yang di hatinya tidak pernah ada simpati kepada sesiapa. Semua orang takut kepadanya. Suatu hari, dengan mata sendiri, dia melihat seksa isterinya mahu melahirkan anak. Tidak sampai hati, apalagi si isteri pula kehilangan darah, tanpa memeriksa jenis darah, dia menghulur tangannya kepada doktor. "Hiris saja!" katanya. Keras suara itu tetapi hatinya basah....

[v]


Lama dulu, saya pernah menonton sebuah drama tv. Skrip oleh Jaafar Khan, nama samaran Dato Johan Jaafar, orang kuat Kumpulan Media Prima Berhad kini, dulunya Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Kalau tidak salah ingatan, tajuknya Asy-syura dan lakonan Karim Latiff terkesan hingga hari ini. Baru kematian isteri, wataknya seorang bekas pelajar pondok yang mengabaikan ilmu agama yang pernah dipelajari - menjadi seorang kampung bersikap baran dan penjudi. Kadang-kala sampai ke pagi dia berjudi. Satu hari, menjelang subuh dia mendengar seorang anak gadis [lakonan dramatis airmata Faezah Noor], membaca Al Quran, surah AsySyura. Hatinya tersentuh tatkala menterjemah perlahan-lahan ayat-ayat yang didengarnya itu......Dia kemudian mengahwini gadis tersebut. Banyak proses dilalui untuk dia menjadi baik dan insaf. Paling diingati betapa si isteri meratap di atas kubur seorang ahli keluarganya, meluahkan lara hati ......

Perkara yang hampir serupa ditemui dalam sebuah filem seberang lakonan Wahab Abdi. Lupa pula tajuknya. Kisah seorang bekas pelajar pesantren yang menjadi penjahat yang pemabuk namun berubah kerana sesuatu yang cukup menyentuh hatinya......

[vi]

Leman [memang nama sebenar], seorang yang cukup terkenal di pekan Kuala Simpang [bukan nama sebenar]. Hobinya: tunggu dan lihat. Maka tidak hairanlah jika setiap hari - pagi atau petang atau kedua-duanya sekali - Leman akan duduk di satu kerusi khas pada sebuah meja khas juga, di sisi sebuah kedai kopi. Di atas meja itu diguris kekal oleh seseorang yang berjiwa seni, sebuah tapak permainan dam. Selalunya grup yang sama hobi dengan Leman akan duduk mengelilingi meja itu. Dua orang akan berperanan sebagai pemain, manakala yang lainnya menjadi penonton merangkap jurulatih dan sesekali menjadi batu api! Sambil itu mereka akan menoleh setiap kali ada bayang orang melintas di hadapan kedai kopi, terutama yang sejenis dengan isteri mereka.

Di situlah Leman: menunggu kawan belanja kopi atau kuih atau nasi lemak atau kesemua sekali. Menunggu kawan membawa kertas keputusan nombor ekor yang difotostat, melihat kalau-kalau ada yang sangkut, mengesali kerana lari satu dua digit, mengomen serta menganalisis nombor yang akan naik pada sesi berikutnya....

Tidak kira apa juga keadaan cuaca, di situlah Leman. Kalau tiada kawan, dia menjadikan akhbar di kedai kopi sebagai teman. Kalau ada kawan, dia mempunyai banyak pilihan: berbual kosong atau mengulas isi berita akhbar atau bermain dam atau diam dan melihat orang - terutama dari jenis isteri - lalu-lalang di situ.

Pendeknya, tiada hari tanpa Leman di situ.....

Leman sudah beristeri. Isteri sulungnya bekerja di sebuah kilang menghasilkan makanan rencam di sebuah kawasan perindustrian ringan, 3km dari Kuala Simpang. Isteri tengah pula bertugas di sebuah stesyen minyak di dalam pekan. Isteri alang? Belum ada tetapi calon idamannya sudah ada - ibu tunggal beranak tunggal yang menjadi agen tunggal tauke judi ekor, yang mendapat sebuah lagi meja khas di sudut tersorok di kedai kopi itu...

Leman mempunyai tujuh anak perempuan - semuanya hasil perkahwinan dengan isteri tengah.

Pekerjaan Leman? Sesungguhnya hanya Leman dan Allah dan Leman yang tahu........kerana tiada siapa pernah menjumpai Leman di tempat lain!

Satu hari, seluruh pelanggan di kedai kopi itu terkejut. Tauke kedai kopi apatah lagi.

Leman menepuk meja sekuat hati hingga terpelanting dua tiga haji di atas papan dam yang sedang menyaksikan pertarungan antara dua sahabat karib Leman.

Leman melompat ke atas motornya dan berlalu pergi selepas berkata sesuatu dan meludah  ke arah kedai kopi.

Besoknya Leman tidak muncul di situ. Ramai menyangka dia tidak mahu lagi duduk-duduk di kedai kopi, sebelum salah seorang rakannya nampak kelibat Leman di sebuah kedai kopi lain, jauh di seberang jalan, sedang membelek kertas keputusan nombor ekor.

Lama kemudian, barulah rakan-rakan dan tauke kedai tahu akan punca keadaan hari itu.

Dr Hatta Azad Khan
Malam sebelum itu, di tv [RTM] tersiar sitkom Kampung Seri Wangi [asalnya dari skrip drama pentas berjodol Syhhhh.... karya Hatta Azad Khan, yang kemudiannya bertukar jodol menjadi Pi Mai Pi Mai Tang Tu di TV3]. Ketika itu setnya masih sebuah warung berhampiran tapak loji pembuangan najis. Dalam satu babak, seorang tua meminta kepada Mydeen [lakonan arwah Sabtu Hussain], roti canai jantan. Teragak-agaklah mamak warung untuk mengatakan 'wokey', seperti selalu, sebelum diterangkan maksudnya adalah roti canai telur.......

Maka pagi itu, ketika ada seorang rakan karib semeja mengajaknya bersarapan kali ketiga, kali ini dengan roti canai, Leman tidak menolak, terus melaung meminta dua biji. Mamak roti canai, yang sejak awal pagi, beberapa kali mendengar permintaan pelanggan, mengikut dialog dalam sitcom tersebut, cuba berjenaka: "Leman, mau roti betina ka roti jantan?"

Rakan yang mengajak Leman tadi tertawa berdekah-dekah, secara bergurau juga berkata: "Betinala mamak. Dia mana ada anak jantan ......."

Leman menepuk meja sekuat hati hingga terpelanting dua tiga haji di atas papan dam yang sedang menyaksikan pertarungan antara dua sahabat karib Leman.

Leman melompat ke atas motornya dan berlalu pergi selepas berkata sesuatu dan meludah  ke arah kedai kopi.

                                                                        *************

Banyak keadaan dan hal seperti di atas pernah kita dengar, baca malah alami!

Ada sesuatu hal yang kelihatan kecil tetapi boleh menyentuh. Apa lagilah yang boleh mencungkil kenangan.....

Kenangan....

Yang selalu membuatkan kita terkesan adalah lagu-lagu yang pernah didengar semasa itu apatah yang liriknya selari dengan keadaan. Ada juga membabitkan gambar, buku, tempat dan lainnya. Namun lagu,yang mudah mencuit rasa, kerana kadangkala kita terdengarnya di kedai, rumah atau di kereta. Maka.....

Cikgu Abdur Rahim Daud pernah bercerita tentang seorang kenalannya yang akan hiba apabila mendengar  lagu Di Hari Persandinganmu nyanyian arwah Abang Mokhtar dari kumpulan The Goodman Brothers!

Saya sendiri mempunyai sedozen lagu yang membuatkan hati basah - terkenang rakan, keluarga, arwah isteri atau buah yang pernah singgah ke hati suatu waktu dulu!

Ada pula, dengan mengunjungi taman tempat pertemuan dahulu, cukup untuk membuatkan seseorang pilu mengenangkan kasih yang tidak kesampaian!

Rosli Hassan, bekas pelajar AlFalah selama 4 tahun bermula pada tahun 1984 pernah memberitahu, kerana hiba melihat dan mendengar cerita kehilangan AlFalah, tidak boleh melalui jalan Yan-Batas Paip untuk ke rumah bapa saudaranya di Sungai Nonang. Dia sanggup meredah jalan jauh semata-mata tidak sanggup melintas di depan bekas sekolahnya itu!

Demikianlah.

Setiap kita mempunyai titik lemah......


PN dulu
Saya catatkan ini sebagai dedikasi kepada rakan fb, Pawang Nujum[PN], yang bergembira kerana setelah mengirim lagu Terpisah Akhirnya nyanyian asal A Ramlie, saya balas dengan meminta jangan mainkannya di depan saya. Dia seronok, kononya telah menjumpai salah satu weak point saya.......Agaknya sampai terlompat-lompat kerana berkali-kali dia menulis: yes, yes!

Saya membayangkan dia meraikannnya sehebat Lin Dan melompat setelah mendapat mata kemenangan dalam pertarungan sengit dengan Dato' Lee Chong Wei di Sukan Olimpik lalu.....

Saya tidak langsung pernah sehiba Chong Wei, ketika mendengar lagu kiriman itu. Saya cuma berkongsi rasa dengan mereka yang lara seperti tergambar dalam liriknya. Ramai yang saya kenal pernah melalui detik sukar itu sebelum kemudiannya kembali berpijak ke bumi nyata, menghayati Rukun Iman.... Saya terkenang mereka ......

Tetapi cara Pawang Nujum meraikan itu membuatkan saya geram hingga kini......hehehehe.

Tak pa. Tak pa.....hehehehehe..

No comments: