9 September 2012

Pusara Bermandi Darah....

Sejak penubuhannya pada pertengahan dekad 1950-an, AlFalah - pernah disebut Madrasah AlFalah dan Alfalah School pada ketika itu - telah melalui beberapa kali zaman cerah dan gelap.

Dari cerita yang meniti di bibir sebahagian bekas pelajar awalnya, serta ingatan peribadi, termasuk semasa kecil,  saya kira AlFalah telah melalui sekurang-kurangnya 3 zaman kemuncak.


[i]

Setelah sedekad Ustaz Azizan dan adindanya Ustaz Fauzi  Hj Mustaffa mengasaskan AlFalah, ada beberapa perkara yang saya ingat sendiri, meski ketika itu saya terlalu muda.

Pertama, saya pernah dibawa oleh emak berarak mengelilingi Kampung Permatang Ibus, bermula dari kawasan sekolah, keluar ke jalan raya [masih jalan tanah merah], terus melalui jalan batas paip itu, membelok ke barat di simpang  ke Kangkong, Yan dan Simpang Empat, memasuki semula jalan kampung [kini jalan tar mini] hingga sampai semula ke kawasan AlFalah. Ada sebuah kereta Morris Minor bergerak di tengah-tengah perarakan itu. Di atas bumbungnya diikatkan pembesar suara [loud-speaker]. Itulah perarakan Maulidurrasul yang terindah pernah saya rasakan dan membekas di hati. Jumlah semua yang berarak tidak dapat saya pastikan, namun memadailah kalau dikatakan terlalu ramai.

Kedua, pada satu majlis Ihtifal AlFalah, kerana terlalu ramai orang yang datang, pihak pentadbir terpaksa mengadakan acara sampingan di luar kawasan sekolah. Tempatnya adalah di dalam bendang di belakang yang diusahakan oleh keluarga Ustazah Rodziah hingga kini. Terdapat deretan bangunan pondok pelajar lelaki [atau lebih dikenali sebagai berek - barrack], berbentuk L di tepi pagar dari tapak rumah Maklong/Maklang sekarang hingga belakang rumah Ustazah Rodziah kini. Kerana terlalu ramai penonton, ayah mendukung saya sambil memanjat ke atas bumbung salah satu berek itu. Dari situ, pemandangan ke arah padang adalah berkelas super! Kami menonton acara yang berlangsung bersama berpuluh orang lagi yang ikut memanjat dan duduk di atas perabung berek itu......


[ii]

Pada awal 70-an, lama setelah Ustaz Azizan berpindah ke Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam dan mengasaskan Sekolah Agama Fajar Islam, manakala Ustaz Fauzi berpindah ke Sungai Yan dan menubuhkan Sekolah Agama Fauzi. Ketika itu AlFalah diterajui oleh bapa saudara mereka, Ustaz Hj Hussain Abdul Rahman. Walaupun tidak seramai semasa zaman adanya Ihtifal yang saya ceritakan itu, pelajar AlFalah bolehlah dikatakan agak banyak. Masih ada berek meski tidak semeriah era pentadbiran Ustaz Azizan dahulu.

Pelajar-pelajarnya juga aktif dan bersemangat. Mereka menggauli masyarakat setempat dengan mesra dan sentiasa dikenang walaupun setelah AlFalah ditinggalkan.


Saya masih ingat satu majlis Ihtifal pada masa itu. Siangnya ada kenduri selain penyampaian hadiah kepada pelajar. Malamnya ada pementasan drama pentas!

Berduyun-duyun penduduk sekitar AlFalah berhimpun di depan laman sekolah. Pentasnya membelakangkan blok sekolah  melintang menghadap jalanraya yang ada hingga kini. Penonton duduk di depan, menganjur hingga ke bendang. Saya duduk di sisi pentas, tidak sangat menantikan kemunculan pelakon, sebaliknya lebih memandang ke arah penonton. Sebabnya? Sebagai budak yang tinggal berhampiran AlFalah, saya sudah tahu jalan cerita dan dialog dalam drama itu kerana setiap hari saya berpeluang melihat mereka berlatih di dalam bangunan melintang tersebut. Malah dahi saya pernah dipalit cat putih oleh penyedia prop drama - satu-satunya prop yang ada adalah papan sekaki sepanjang 6 kaki yang di kedua-dua hujungnya ditegakkan satu papan berbentuk batu nesan. Yang dijadikan batu nesan itulah diwarnakan putih.... Tajuk drama pentas [ketika itu diuar-uarkan sebagai pantomin] ialah Pusara Bermandi Darah! Antara pelakonnya adalah  Mohd Noor [Teluk Kechai] dan  Abdul Wahab Yahya [Kg Pisang]. Abdul Wahab pernah menjadi seorang Kadi daerah di Kedah!

Sayangnya ketika itu kamera adalah barangan pilihan terakhir untuk sesebuah keluarga, maka tiadalah sesiapa yang mengambil gambar persembahan  tersebut. Sayang juga, saya tidak berapa mengingati sepenuhnya jalan cerita purbawara  itu - mengisahkan tentang kezaliman dan menuntut bela. Babak akhir yang menampilkan pertarungan sengit cukup saya ingati. Semasa berlatih sahaja babak pertarungan itu cukup ditekankan oleh pengarahnya. Berulangkali dilakukan supaya waktu pertikaman terakhir sehingga penjahanya terbunuh kelihatan hidup....... Tiada pelakon wanita namun kami terasa kehadiran 'emak' si wira dengan dialognya yang lantang berselang hiba. Ala-ala lakonan Nordin Ahmad bagi mata saya.

Besoknya, batu nesan yang digunakan itu, menjadi bahan permainan kami - anak-anak kampung - semuanya mencuba menunjukkan bakat dengan meniru watak di dalam drama, berteleku di atas pusara, meratap dan berhiba setelah menang dalam pertarungan dengan sang antagonis.....


[iii]

Bermula dari tahun 1983.

Sebelum itu Cikgu Abdur Rahim Daud, Cikgu Som Mariah Saad, Cikgu Ramlah Johari dan Ustazah Rodziah Ahmad serta Ustaz Azizan hanya mengajar sekumpulan pelajar. Dalam keadaan demikianlah Cikgu Rahim mengusulkan mengambil senarai pelajar yang gagal dalam temuduga ke Maktab Mahmud, Alor Setar dan ditawarkan belajar di AlFalah. Beliau melakukan proses itu dengan meminta Ustaz Azizan bersembahyang hajat dan berdoa agar usaha itu berjaya. Allah mengizinkan dan semuanya kemudian, seperti kata orang, menjadi sejarah.......

Pada awal milennium ketiga, AlFalah kembali merudum....

Hingga kini tanda-tanda kebangkitan kembali masih belum menampakkan tunasnya.......

Akankan berulang detik-detik manis itu?

1 comment: