1 November 2013

Salam Kemaafan



Tiada lagi.

Itu jawapan saya kepada beberapa orang yang bertanya tentang senarai pelajar AlFalah selepas 1999. Setakat ini saya tidak dapat mengesan senarai lain. Lagi pula selepas tahun itu, saya bukan lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya menjadi pemalas dan banyak tidur, kata dua sahabat yang sering menggunjing saya di kantin...

Mencampurkan semua pelajar Tingkatan 1 [serta Peralihan] sejak tahun 1983 sehingga 1999, saya terkejut. Rupanya ramai yang sempat mengenali saya atau sempat pula saya kenali.... Jumlahnya..... ah, anda kiralah sendiri!

Jika dicampurkan dengan pelajar yang datang di tingkatan lain , pada tengah musim persekolahan, pastilah jumlah itu makin besar. Apa lagi dengan AlFalah menjadi tempat mengulang bagi pelajar yang mengambil peperiksaan SRP sekali lagi pada tahun 1980-an - mereka yang terpaksa datang dari sekolah menengah biasa yang tidak layak naik ke tingkatan empat di situ. Makin bertambahlah jumlahnya....

Dalam gembira melihat jumlah itu, hati sebak juga.

Saya manusia biasa. Cipher lagi. Tentulah ramai  pula yang telah dan pernah merasai pedih sengsaranya kerana kewujudan saya sepanjang mereka berada di AlFalah.

Sudahlah mengajar tidak sepenuhnya. Ada pula yang terhiris kerana hal-hal peribadi, ditokok pula oleh salah faham atau salah tafsir. 

Bukan semua yang kita lakukan akan disenangi. Kadangkala seperti pepatah orang, selimut pendek - tutup kepala, terdedah kaki; tutup kaki, terbuka kepala...

Saya pun demikianlah. Bukan semua yang menyenangi setiap perilaku semasa di AlFalah. Baik semasa mengajar, semasa bermain, semasa di asrama, semasa di luar kelas dan sekolah [termasuk semasa menyertai rombongan...], serta apatah lagi semasa menyoalsiasat tentang pertembungan dua hati...

Saya perturunkan sekali lagi catatan ikhlas seorang blogger, bekas pelajar AlFalah, tentang saya. Sekadar satu bukti, bahawa ada hati yang pernah saya lukakan; dilakukan entah antara sedar atau tidak - kerana seperti dia, saya juga tidak mempunyai sebarang keistimewaan...

Saya memetiknya pada komen di dalam entri Ustaz Husin Dan Adiknya lebih satu setengah tahun yang lalu:

mata ke hati :

ketika di falah aku juga tergolong dalam golongan yang tidak disukai oleh CD. Mungkin CD tak perasan yang aku perasan sikapnya pada aku. Maklumlah aku tidak ada sebarang keistimewaan padanya...Namun aku tetap pasrah, kerana aku boleh dikatakan antara murid yg disayangi oleh kebanyakkan guru-guru kat situ. Almarhum Ustaz Azizan pun kalau pergi kenduri selalu bawa aku dengan kereta VOLVO 144nya.Mungkin dulu aku menaruh Dendam pada CD. Tapi sekarang aku dah pun maafkan dia,kerana dia salah seorang guru yang mengajar aku.dan menjadikan aku kini bergelar seorang guru. Dan aku berusaha dan akan terus berusaha agar tidak menjadi seorang guru yang bersikap prajudis pada mana-mana muridku...MOga ada antara anak muridku akan mendoakan kesejahteraanku dunia dan akhirat..Amiiin...

Kumpulan pelajar terakhir saya di AlFalah kini pastilah berusia sekitar 27 atau 28 tahun. Guru mereka ini tentulah ikut meningkat usianya. Tidak kekal muda.  Pada tahun 2061 nanti genaplah 100 tahun... 

Saya menghitung, setakat ini telah 17 orang pelajar telah mendahului saya menghadap Ilahi. Beberapa rakan setugas juga ikut serta - Ustaz Hj Azizan Hj Mustaffa, Cikgu Mustaffa Mohamad, Ustaz Abdul Hamid Ismail, Ustaz Fadzin Hamid, Cikgu Md Radzi Majid [guru yang saya ganti pada tahun 1983 dahulu], serta yang terbaru Cikgu Siti Ramlah Johari.

Tiap yang hidup pasti merasai mati. Seminggu selepas sahabat saya, Cikgu Ramlah, entah siapalah pula yang bakal menyusul...Lambat-laun akan tiba masa kita. Kita boleh berjumpa, bercinta dan bermesra, tapi kita tetap akan berpisah; kita boleh hidup hingga seribu tahun, tetapi kita tetap akan mati. Demikian pernah saya baca dari seorang yang terkenal.

Sempena petang Jumaat yang mulia, menjelang 1 Muharam 1435 pada hari Selasa nanti, dengan rendah hati, saya mengambil kesempatan untuk memohon ampun atas SEGALA yang telah menyebabkan hati anda - budak-budak Falah - tercalar, terguris, terluka, tersinggung, tercelaru, terobek, atau berkecai!

Maafkan segala keterlanjuran kata dan tingkah. Halalkan setiap yang diminum dimakan. 

Semoga di dalam setiap doa anda akan ada nama saya.

Saya yang tidak ada apa-apa. Saya, Cipher.

[Jika tidak ada perutusan lain atau kesempatan lain, dan mendengar berita saya telah tidak boleh berkata-kata, atau tidak lagi berada di alam kita, anggaplah ini pernyataan memohon ampun dan maaf, dengan sebenar-benar maksudnya.]

Salam Ma'al Hijrah. Salam kemaafan.

No comments: