12 November 2013

Ceritera 1Malam: Batas Paip, Simpang Empat , Yan Dan Tanjung Dawai [Episod Akhir]

Sambungan dari Episod Dua. 

Lama agaknya dia memerhatikan kami. Mungkin semenjak kami mula mendarat di pondok berdekatan pondok yang didudukinya bersama isteri dan dua anak. Memang kami tidak pedulikan keliling ketika berbual itu – cuma adalah sekali apabila dua orang seakan artis Malaysia melintas…. Bukan seiras, ya. Seakan – di segi gayalah…

Dia menunggu sehingga selesai makan, barulah datang menyapa kami. Di atas dukungan ada anak kecil yang katanya baru terjaga dari tidur.

Dialah Mohd Sayuti Abd Rashid, budak Kg Padang Jambu, semasa di AlFalah dahulu.

Dia menghulurkan tangan, menyalami kami. “Takkan minum ayaq saja…?”katanya di tengah-tengah sapaan itu, agaknya melihat meja di hadapan kami yang masih bersih.

Dia dan kakaknya, Norhayati pernah belajar di AlFalah. Adiknya pernah belajar di SMA Ihya’ Al Ulum Ad Diniah, Simpang Empat [Pondok Hj Talib]. Adiknya yang lain pernah pula belajar di SMA Sungai Limau. Kebetulan semasa adik-adiknya belajar di dua sekolah itu, Cikgu Non juga mengajar di sekolah-sekolah tersebut.

“Depa ‘ni unik sikit, “kata Cikgu Non, “orang lain tak boleh tiru…..”

Ahmad Sayuti tersengih manakala Nasir dan BBP serta BTB menunggu apa yang tidak boleh ditiru itu.

“Dia dengan kak dia belajar di Falah. Saya pindah pi Ihya’ adik dia pula ada di situ. Saya balik Falah sat. Lepas ‘tu saya mengajar di Sungai Limau, adik depa pula ada lagi di situ….” Demikian panjang Cikgu Non berkisah.

Dengan kata lain, di sekolah mana Cikgu Non mengajar, di situ ada anak Lebai Rashid [panggilan orang kampung kepada ayahanda Sayuti]. Atau, di mana ada anak Lebai Rashid, di situlah Cikgu Non diarahkan mengajar! Pilihlah frasa  mana yang anda suka…

Sempatlah Cikgu Non bertanya khabar akan semua adik beradik Sayuti merangkap semua anak muridnya dari keluarga Pak Lebai Rashid.. Ada yang kini bermastautin di Johor dan Sarawak. Kami hanya menumpang mendengar. Yang saya kenal pun hanya Sayuti dan Norhayati, walaupun adiknya yang belajar di Ihya’ dahulu pernah saya jumpa beberapa kali ketika berkunjung ke sekolah yang kini telah mendapat taraf sekolah agama bantuan kerajaan [SABK] itu

Sayuti tinggal di Gurun manakala kakaknya, Norhayati [petugas MBAS] menetap di Kepala Batas.

Sayuti juga merupakan bekas rakan sekerja Saiful di bahagian pengedaran Roti Gardenia dan masih di situ manakala BTB itu telah pun berhenti untuk menjalankan bisnes sendiri… Sempatlah pula mereka berdua bertukar khabar tentang rakan-rakan sekerja dahulu serta perkembangan terkini masing-masing. Sekali lagi, kami yang lain hanya menumpang mendengar.
Sayuti sekeluarga

Apabila isterinya selesai makan – yang mungkin terganggu sedikit kerana melayan karenah si anak tadi – Sayuti pun meminta dirinya dilepaskan…. Cikgu Non sempat lagi mempromokan jamuan raya tahun depan di Taman Bersatu “ jangan lupa noo, raya keempat!” disambut dengan kata Insyaallah oleh Sayuti.

Jamuan raya! Perjumpaan raya!

Teringat hal itu, kami berbual sedikit tentangnya. Tempat memang asalnya mahu dikembalikan ke Dewan SK Taman Bersatu – seperti perjumpaan kali kedua dahulu – tapi masih dalam perundingan [yang kata BBP sedang diuruskan oleh Hesba Tgb]. Bagaimanapun, tempat seperti dewan kecil bersebelahan majid itu dijadikan sebagai alternatif jika ada aral di dewan sekolah. Maklumlah, khabarnya sewa meningkat banyak dari kali pertama dahulu, tanpa kerusi pula. Sewa dewan, takkanlah mahu disuruh bekas pelajar Alfalah yang telah menjadi tokoh-tokoh itu bersila. Ada kos tambahan untuk menyewa pengangkutan pergi-balik dan sewa kerusi juga…. Sedangkan kos tersebut elok dijadikan bahan yang dapat dimasukkan ke dalam perut tetamu nanti…. Entahlah. Biarkan BBP serta Saiful berbincang dengan panitia penganjur yang lain. Saya dan Cikgu Non bukan pelajar Alfalah pun … Bagi saya, niat semua cuma mahu berjumpa rakan-rakan lama bagi mengeratkan silaturrahmi. Tempatnya, kalau di dewan PKM pun jadi….Hehehehe.. Ini pandangan saya sebagai orang luarlah….. Ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya… hehehehe. Nak lagi? Pakai baju merah, masuk khemah warna koko, tetap merah baju itu….hehehehe. Jangan takut!

Melalutlah pula…

Kami berbual terus waimma telah sampai di depan kamai makanan yang dipesan. Sambil makan kami berbual, dan sambil berbual kami makan.

Sambung lagi tentang perjumpaan BTB dan Nasir dengan kawan-kawan di BM. Betapa mereka bercadang untuk menawan puncak Gunung Jerai pada bulan Disember nanti – sengaja membangkitkan nostalgia semasa zaman perFalahan dahulu…


Entah macam mana timbul bab majalah kartun yang popular dolu-dolu. Mungkin apabila terbual tentang nama Shukeri Sasuke yang mengambil satu watak kartun kegemarannya [Terkait tentang nama ini ialah Aziz yang menjadi Sazaziz kerana mintanya yang tegar terhadap jaguh bina badan, Sazali Samad…].


Kami bernostalgia tentang majalah Gila-gila, Gelihati sehinggalah Ujang yang mengalmi metamorfosis menjadi Lanun… Terpetik beberapa nama kartunis serta karya mereka…. Ujang dengan Aku Budak Minang dan Aca, Gayour dengan Bersama Selamanya, Nud’s dengan kartun bisunya....

Sempat dikenang tiga kali raya majalah Gila-gila dengan cover budak nakal bermain mercun – kali pertama putus tangan sebelah, kali kedua putus kedua-dua tangan dan kali ketiga mencucuh mercun/meriam buatan sendiri dengan kaki pula….

Saya juga teringat [lalu menceritakan] satu kartun di dalam majalah Gelihati yang Cikgu Non cukup suka. Tajuknya ‘jika lelaki boleh mengandung’ betapa seorang lelaki bermisai tebal melintang, bermuka sedih, dengan perut memboyot dalam pakaian mengandung, ditanya oleh ibunya , lebih kurang, “Cakap, perempuan mana punya kerja ni..?”

Dulu, kalau di atas meja kuih kalau tidak ada majalah-majalah edisi bumper raya memanglah tidak sah…..

Di atas pondok, di bawah hembusan angin laut itu juga, saya mencungkil kisah Zamri Zain yang mengejutkan Ustaz Man. [Baca sini -versi saya].[Zamri yang saya temui pada malam raya haji terkenang kisah itu]. Maka malam itu Cikgu Non pun membuka cerita itu dengan versi asalnya. Masih juga mengundang tawa mengingat suara Ustaz Man menyebut : Mu Jahil…. beberapa kali…Marahlah 'tu....

Ada banyak lagilah yang kami bualkan mengikut persimpangan yang dipandu oleh sesiapa juga. Keluar saja dari mulut seseorang, akan adalah yang menokok atau yang menyoal. Tentang lesen keluar malam…. tentang rakan-rakan yang berjaya ditemui.. tentang…. Banyaklah!

Ada lagi yang kautinggalkan
Ada lagi yang aku simpan
Kenangan berlalu
Mana mungkin kulupakan
Aduhai saudara…..

Ada yang saya ingat tetapi tidak dapat dihadirkan dalam catatan ini. Ada yang agak sensitif, takut kena saman….

Akhirnya, saat beredar pun sampai….

Kereta Cikgu Non keluar dari kawasan restoran itu pada pukul 11:52 malam.

“Hang nak balik cepat, ’kan?” tanya si supir. “Jangan laju sangat….” Kata si jirannya di bangku hadapan…

140km/h.

Kami yang bertiga  - Nasir sudahpun menyertai kami di bangku tengah -di belakang hanya memerhati meter. Jalan berliku, bang oi…

Bertanyalah BBP tentang rumah di atas kaki gunung lagi, tentang itu ini. Atau dia sendiri bercerita tentang perjalanannya balik ke rumah besan emaknya di Kelantan. Semuanya itu mengundang ulasan dari Cikgu Non yang sesekali memperlahankan pergerakan keretanya.

BBP memainkan peranan yang nampaknya dikesan oleh BTB. Setiap kali jarum menghampiri angka 140 itu, BBP akan bertanya sesuatu pada sang supir. BTB tertawa walau dalam hati mungkin berterimakasih.  Setiap pertanyaan BBP akan memerlukan Cikgu Non menjawab, sekali gus menurunkan bacaan pada meter…. Tetapi cara itu pun cuma kadang-kadang berjaya. Adakala Cikgu Non menjawab sambil terus memecut…

Cikgu Non bercerita bagaimana pelajarnya lebih rela menaiki kereta guru lain untuk ke Sungai Petani atau Kulim [saya tidak perasan] apabila sekali menumpangnya dan merasai menaiki kereta dari Sg Yan ke Sg Limau dalam masa dua minit setengah!

Apabila sampai di Sungai Yan, Cikgu Non memecut sambil kami berbual tentang satu dua hal. Satu dua hal? Ya. Hanya itu yang sempat buat seketika kerana sekitar dua minit kemudian kami benar-benar berada di depan SMA Sungai Limau…

Selepas itu barulah kami berbual banyak hal lain…

Sekitar jam 12:32, kami sampai di depan rumah Cikgu Non. BBP turun membuka pintu pagar manakala kami yang bertiga di belakang ikut turun membetulkan pinggang dan perut.  Cikgu Non memarkir kereta di dalam garaj.

“Kita balik kut nooo…” kata BTB sambil menggeliat sedikit lagi.

“Kita masuk dulu, pekena kopi…” itu bukan suara Cikgu Non, tapi suara BBP yang tidak didengari oleh cikgunya itu.

“Kacau bini dia tidoq…” balas BTB pula.

“Kacau apa. Bukan bini dia bancuh…Fuh! Sedap ooo” balas lagi sakan oleh BBP. Sah dia masih terkenang hirupan kopi o pekat pada dua tiga kunjungannya sebelum ini.

Saya, dan lebih-lebih lagi Nasir, hanya tersenyum mendengar.

“Jom masuk dulu. Alah, kira apa… awai lagi…” itu barulah suara Cikgu Non yang baru keluar dari keretanya.

Kami masuk. BBP paling depan, di belakang tuan rumah.

Duduk di sofa, Cikgu Non membuka lappynya, menyatakan kerinduan pada bab FOREX yang ditinggalkan hampir tiga jam. Dia memerhati skrin lappy sambil kami yang lain memerhati skrin tv. Ada perlawanan bolasepak peringkat baru baligh Piala Dunia di Dubai.

BBP membuka telefon cerdiknya buat pertama kali pada malam itu. Sayangnya tiada sambungan dengan internet, ‘kerana masalah teknikal’. Cikgu Non memberikan broadbandnya, sayang juga liang untuk usb BBP pula sedikit kecil…

Saya dan Saiful melihat tv. Nasir yang mendapat pelapik empuk meniarap membaca komik/buku  anak Cikgu Non. Menurut rakan sekelasnya – itulah hobi Nasir dari zaman perFalahan, yakni membelek majalah/komik.

BBP? Sambil ikut membelek tv, matanya sesekali memandang antara muka dapur dan muka Cikgu Non….

Siaran tidak begitu elok dari tv yang juga menggunakan talian internet itu. Buffering memanjang….. Cikgu Non menukar ke beberapa siaran tetapi tiada yang menarik pun kecuali siaran langsung bolasepak itu. Maka, apakah pilihan yang ada selain menyaksikan juga perlawanan bola budak-budak Sweden dengan budak-budak Nigeria di atas padang pasir itu?

Saya tidak perasan sangat bila Cikgu Non masuk ke dapur dan datang semula bersama sedulang berisi setekoh kopi dan lima cawan serta empat pelapiknya.

Tunggu lagi!?

BBP menuang kopi ke semua cawan. Mencapai satu cawan, dia membuat hirupan kuat yang kalau didengar oleh pengeluar kopi, tidak lena kerana bangganya… Dua kali pula!
Kami yang belum menyentuh cawan hanya tergelak memerhati BBP kemudiannya bersandar kepuasan di sofa…

Tunggu lagi!

Kami pun mencapai cawan masing-masing. Meneguk kopi yang hitam sepekat malam yang baru saja berlalu bagi memberi ruang kepada pagi yang baru…

Balik?

Huarghhh.....

Itu pun kena catatkah?

Zzzzzz..........

No comments: