3 November 2013

Misteri Isteri Yang Pergi Kenduri

Kenduri sudah selesai.

Tiada lagi bau bekas lemak kerbau atau minyak goreng ayam. Tiada juga bau hampas kelapa serta longgokan nasi dan lauk sisa dari tempat basuh pinggan.

Nasi dan lauk telah kembali ke bumi melalui proses perkumuhan. Adik-beradik kembali ke kampung halaman masing-masing.

Lembing Awang Sudah Pulang Ke Dayang......

Semoga semuanya berpuas hati.

Jumpa lagi pada kenduri yang lain....

Saya lega.

Cuma satu yang menjadi misteri.

Genap seminggu selepas hari kenduri sempena pernikahan adik di rumah emak, saya mengunjungi rumah emak saudara. Dalam bercerita sedikit tentang kenduri itu, menantu emak saudara saya, menyebut satu perkara.

Dia yang saya panggil Telipok [bukan panggilan sebenar] berada di dalam rumah pada hari kenduri itu. Dalam ramai-ramai yang sempat disapanya, dia bertemu dengan seorang surirumah. Tidak ditanya namanya dan dari mana, sekadar berbual-bual biasa.

Kata surirumah itu - saya mudahkan dengan menyebutnya sebagai Teratai [memangpun bukan nama sebenar] - suaminya tidak dapat datang atas satu urusan lain. Sang suami hanya memberitahu bahawa hari tersebut ada kenduri di rumah bekas gurunya, maka itulah Teratai  datang sebagai wakil. Ramah dia bercerita dan Telipok mendengarnya dengan tekun.

Seketika kemudian, adik saya yang nombor empat - perempuan - melintas di depan mereka. Telipok pun menunjukkan adik saya itu kepada Teratai. "Itu anak tuan rumah yang nombor empat..."

Teratai yang sedang menyusun ayat, tersentak. Dipandangnya adik saya dengan satu tenungan yang tajam. Di dalam hatinya ada libang-libu.  Adik saya itu berusia awal 40-an. Sesiapa pun di tempatnya akan tetap libang-libu. Tetapi Teratai tidak zahirkan apa yang bermain di fikirannya. Dia cuma hairan. Kata sang suami, bekas gurunya berusia sekitar awal 50-an. Masakan anaknya, yang keempat pula, berusia 40-an....?

Di situlah punca salahfaham.

Telipok hanya tahu, arwah emak saya dahulu adalah bekas guru takmir. Apabila Teratai sebutkan suaminya 'anak murid', terus Telipok merasakan pastilah dimaksudkan anak murid kepada emak saya. Sebab itulah adik saya dirujuk sebagai anak tuan rumah...

Akan Teratai pula, sebenarnya sang suaminya memaksudkan saya sebagai tuan rumah. Maka terkejut sakanlah Teratai, apabila diberitahu oleh orang yang mengaku sebagai anak saudara tuan rumah, bahawa perempuan berusia empat puluhan yang melintas tadi adalah anak keempat saya!

Agaknya, sebaik bertemu dengan suaminya pada petang berkenaan, hal itulah yang mula sekali disebutkan...

Akan Telipok pula, pada hari diceritakan hal itu, agaknya, barulah dia tahu bahawa saya adalah bekas guru kecil di sebuah sekolah terpencil...

Maka tiadalah libang-libu di hatinya lagi mengingatkan wajah kehairanan Telipok pada hari kenduri dahulu.

Namun bagi saya, berhari-harilah pula saya mengusung tanda tanya. Siapakah Teratai itu? Suri rumah siapa? Suri hati siapa?

Telipok tidak bertanya nama sebenar Teratai. Tidak pula ditanyakan dari mana Teratai datang. Dari Tebengau? Alor Ibus? Alor Pulai? Kangkong? Kuala Kedah? Teluk Bagan? Kg Perlis? Permatang Ibus?

Bini sapa?

Saya buntu. Sama tua saya, juga rasanya tidak akan tahu, dalam ramai-ramai itu, yang mana satu Teratai. Mungkin sekadar bersalam jika sememangnya bertembung di depan tenda...

Lama saya memikirkannya.

Malam raya Iduladha, dalam bercerita pelbagai tajuk, di rumah Budak Batas Paip, saya selitkan juga hal yang hampir separuh bulan menghantui saya itu.

Bini sapa?

Rupa-rupanya ada hikmah pada pertemuan malam 9 Zulhijjah itu. Misteri nan sebuah itu terungkai dengan mudah.

Berdasarkan cerita saya, menghubungkannya dengan seorang budak Falah yang tidak hadir pada majlis di rumah emak ayah itu - kerana satu urusan lain, menyandarkan kepada perwatakan ramah Teratai, cepat dan yakin sahaja Saiful Adly Hassan menyebut: pastilah isteri kepada Mohd Nasir Hassan, rakan sekelas dan sekolehnya yang tinggal di hujung kampung kelahiran saya.

Saiful a.k.a Pak Ali,  yang awalnya bertandang ke majlis saya pada tengah hari itu, bersama Sazaziz Saad, memberitahu telah ke rumah Nasir sebaik bergambar sebentar di depan AlFalah. Dari situlah dia tahu benar, insan yang saya cari itu adalah isteri Nasir...

Fuh!

Meski terlewat, izinkan saya ucapkan kepada isteri Mohd Nasir: Terima kasih!


Nota:

Tajuk entri tidak menarik? Eleh, drama seberang yang bertajuk 'biasa' pada petang Jumaat itu, berjuta orang kita melangutnya.....

Contohnya:

Penjual Keropok Menjadi Manager Pabrik

Tukang Ojek Berhasil Ke Mekah

Pengamen Bertukar Menjadi Bintang

Penjaja Bakso Berhasil Memilik Perusahaan Multinasional

Hehehehehe......

No comments: