21 January 2014

Bertemu Mahathir, Terlupa Pula Tentang Marina


Saya jarang singgah di pekan Tebengau walaupun kerap melintasinya.

Baik pagi atau petang, pasti ada budak Falah di kawasan itu. Sekurang-kurangnya ada lima yang boleh ditemui secara tetap. Empat daripadanya menjual ikan di sepanjang jalan di sekitar situ manakala seorang lagi [dua beradik sebenarnya] membantu keluarga menguruskan satu-satunya kiosk minyak di Tebengau.

Saya pernah bergurau dengan ABBY ZACK, tauke belacan yang menetap di Tebengau walaupun jenama belacannya adalah Belacan Alor Ibus…

Saya katakan, kalau berhimpun semua pembeli ikan dan sayur dan penjualnya di Tebengau di satu padang awam, lambungkan satu bola ke atas mereka, dalam tiga kali, pasti sekali akan mengena kepala bekas budak Falah… Abby Zack tertawa.

Ramai budak Falah berasal dari sekitar Tebengau…

Bukan kerana ramai budak Falah, saya tidak mahu singgah di Tebengau. Tetapi ada hal lain. Tuan-tuan bayangkanlah. Pernah tiga kali saya minum dan makan roti canai, ketiga-tiga kalinya duit saya tidak laku. Tuan kedai tidak mahu menerimanya. Agaknya kerana tahu duit saya bernasib begitu, ada saja budak Falah tolong bayarkan lebih awal…

Singgah membeli ikan pula. Minta sekilo temenung lemak, diberinya hampir dua kilo tanpa ditimbang, siap dengan amaran keras: Jangan Membayar!

Kalau sekali tidaklah mengapa. Ini berkali-kali. Kalau seorang tidaklah mengapa. Ini tiga empat orang. Saya kasihan dan segan kepada mereka…Seperti kata Badim sendirian  kepada Osman anak Orang Kaya Bakar yang tidak mengambil duit sewa rumahnya, dalam filem Keluarga 69: Kalau ada sepuluh macam ini di Malaysia……… sepuluh-sepuluh bankrap!

Mujurlah budak Falah yang menjaga kiosk petrol tidak bersikap begitu…

Malah dengan Abby Zack pun pernah terjadi. Saya hanya berikan sekeping kad jemputan kenduri. Dibalasnya hampir sedozen keping belacan semasa mahu pulang. Bayangkan kalau saya berikan sedozen dua kad jemputan. Agaknya patahlah tiang bonet motorsikal saya…

Akhirnya saya putuskan: saya hanya mengambil bau Tebengau sahaja. Sekadar melintas, tidak singgah.

Lama sungguh saya mematuhi keputusan itu. Tetapi kelmarin, 20 Januari, saya terpaksa melanggarnya sedikit.

Saya bersama Tuan Hj Sehabudin, abang Ustaz Fairose, sengaja singgah di sebuah kedai makan berhadapan SK Tebengau, setelah selesai satu urusan peribadi. Sebelum itu kami singgah di kiosk minyak yang saya catat tadi. Saja-saja, sebab kereta Tuan Haji itu mengadu merasa dahaga…

Di kedai makan tersebut, kami memesan minuman pilihan dengan seorang sebiji roti canai. Kemudian meja kami dikongsi pula oleh seorang budak Falah generasi 60-an yang tinggal di Kg Hj Jamal, tidak jauh dari rumah Cikgu Rahim Daud.

Kami berbual sambil minum. Kami makan sambil bersembang. Kami bersembang sambil bersembang! Maklumlah banyak subtopik – bab Falah [termasuk hal Pusat Tahfiz Amal dan hal bekas Pengerusi Lembaga Tadbir AlFalah tahun 1980an – Ustaz Abby [sila rujuk entri tentangnya], bab bendang, bab ehwal sesama gender, dan bab makan minum .

Tv di dalam kedai itu menayangkan filem Ong Bak entah sekuelnya yang mana. Saya memerhatikan semua mata penghuni meja lain asyik bertumpu ke skrin tv. Masing-masing sambil pula mengunyah atau menelan sesuatu.

Tiba-tiba di meja yang menghadap saya tiimbul sedikit kekecohan. Halnya kecil sahaja. Gelas teh ais salah seorang daripada penghuninya terbalik. Dua orang yang terlibat pula hanya belajar silat tetapi tidak berminat dengan bola jaring atau bola baling. Maka mereka hanya melompat mengelak dari terkena air yang tumpah tetapi tidak pun menangkap gelas yang sedang bergolek jatuh. Riuhlah sedikit.

Saya tertarik kepada salah seorang daripada mereka, setelah keadaan Berjaya ditenteramkan oleh tuan kedai.

Wajah seorang budak Falah. Dia memerhati kami ketika mengambil balik posisi asal untuk melihat skrin tv sambil mengunyah makanan.

Saya yakin dia budak Falah. Siap lekat di kepala tahunnya di Peralihan. Tahun 1984. Siap lekat lagi beberapa rakan sekelasnya – Zaini Salleh dan bapa saudaranya Md Isa Saidin, Basri Zakaria [Pak Mid], Pawang Nujum dan Mohd Hizamy [adik Ustaz Fairose]. Rakan sekelas yang berlainan jantina dengannya pun saya cukup ingat. Tidak perlulah saya catat di sini. Sila rujuk sahaja senarai pelajar tahun itu yang telah lama saya muatkan.

Dia tersengih ketika membetulkan kuda-kuda kerusinya.

Saya yakin mengenalinya. Tetapi tidakkah dia mengenali saya? Biasanya kalau namanya budak Falah, sebaik yakin bahawa saya adalah saya yang mereka pernah kenal, terus mereka menegur atau menyapa. Biasanyalah. Tetapi yang luarbiasa pun ramai juga.

Adakah dia termasuk dalam kumpulan kecil luarbiasa itu? Yakni yang [dengan alasan tersendiri] lari menjauh apabila nampak saya…

Ataukah dia termasuk dalam kumpulan yang satu lagi, iaitu yang tidak lagi mengingat wajah saya, seperti yang saya catatkan tentang Latiff Rahim [pelajar Tingkatan Tiga Akademik 1983] di dalam dua entri lama.

Seorang penumpang di meja mereka yang baru meletakkan pinggan berisi nasi berlauk, datang menyalami kami bertiga sebaik nampak dan perasan kewujudan kami di depannya.  Tertib orangnya. Anak menantu siapalah agaknya….. Sebenarnya dia tinggal di kampung bersebelahan AlFalah, prihatin dengan kedudukan AlFalah serta berjawatan tinggi juga di dalam satu organisasi amal. Seorang usahawan pula. Tak apalah.

Tetapi saya melihat salamnya itu membuka satu peluang.

Setelah kami menunaikan tegukan terakhir [juga tanpa perlu saya membayar…], kami bangun. Dalam melangkah keluar kedai, saya mengambil peluang yang saya katakana itu. Saya membalas menyalami insan yang menyalami kami tadi. Sambil itu, supaya tidak dikatakan memilih bulu, saya menyalami semua penghuni meja tersebut. Termasuk tuan gelas teh terbalik tadi yang sedang gembira mendapat gelas baharu dengan isi yang penuh… Akhir sekali saya berdiri di belakang budak Falah tersebut.

Dia menyuakan tangan untuk bersalam seperti yang lain. Sebaliknya, kerana yakin bahawa dia adalah dia yang pernah saya kenal dulu, saya menggunakan dua tangan untuk mencekak bahunya. Tentulah dia tepilanjat!

“Mahathir, ‘kan?” tanya saya.

Dia mendongak dan memusingkan sedikit kepala untuk mencari mata saya.

“Ya…” balasnya. “Sapa….”

“Tak kenai ka?” saya merenung ke wajahnya.

“Cikgu Din ka?” Dia tersengih. Dia menggengam tangan saya. Lama dan kejap.

“Cikgu kita dulu ‘ni….” katanya, entah memperkenalkan saya kepada rakan yang tertumpah air tadi atau kepada dirinya sendiri..

“Macam mana boleh tak kenai ‘ni…. Minta maaf la cikgu noo…. Tak perasan sungguh!” Bersungguh sekali dia berkata. Saya tersengih. Kata-kata yang biasa, apabila lahir dari lubuk jiwa, menjadikan saya bangga dan terharu.

Mahathir  Jamaludin.

Hitam manis kulitnya, berbanding rakan sekelas yang lain Mahathir kecil seperti Pawang Nujum. Tetapi mulutnya boleh tahan ramah. Paling saya ingat bunyi ketawanya yang mengekek. Memang dia suka ketawa dengan mata terpejam.

Mahathir [depan, dua dri kiri]

Saya teringat ada foto kami bersama sebahagian rakan sekelasnya. Saya guru kelas mereka pada tahun itu. Bilik kelas usang yang boleh dialih menjadi dewan bila-bila masa. Entah siapa pernah muatkan di dalam fb Alumni AlFalah. Mungkin kawan sesaiznya, Pawang Nujum. Lihatlah dia yang terpejam mata menahan tawa  ketika jurufoto mengelik punat kamera.

“Anak berapa ‘dah?” tanya saya. Satu soalan yang lazim apabila bertemu pertama kali bekas budak Falah.

“Baru satu..” katanya. Tersenyum.

Baru… Ertinya banyak lagi yang nak mai ‘tu…” kata saya.

Mahathir ketawa. Mengekek dan terpejamlah matanya…

Masa mungkin banyak berbeza. Tetapi kekekan dan pejaman mata dalam tawanya tidak berubah.

Selepas bercakap lagi beberapa hal, dengan harapan akan ada pertemuan kali lain, saya mohon untuk beredar. Barulah dilepaskannya tangan saya.

“Ih, cikgu kita ‘ni…. “ kata Mahathir sambil bangun dan menepuk  bahu dan belakang saya dua tiga kali. Mujurlah dia tidak menepuk bahagian yang bertentangan…

Sebelum melangkah jauh, saya mengunjukkan Tuan Haji kepadanya. “ Tu abang Hizamy!”

Mahathir mengerutkan keningnya. Saya faham. “Hizamy di Falah dulu… anak Ustaz Azizan!” kata saya.

Mahathir  memuncungkan mulut, menyebut ‘o’ yang tidak berbunyi, dengan mata mengarah ke bumbung kedai. Entah apa dicarinya.

Saya melangkah semula. Tetapi Mahathir memegang semula bahu saya. Saya menoleh.

“Hizamy!.... O… tau, tau. Ingat, ingat….” kata Mahathir. 

Kemudian saya mendengar kekekan tawanya. Saya memandang matanya. Tidak kelihatan. Entah apa yang diingatnya tentang kelasnya di AlFalah dahulu.

Bukanlah jauh Tebengau dengan AlFalah. Sama YBnya, sama posmennya dan sama poskodnya. Mahathir sudah berkahwin da punya anak satu. Menetap di Tebengau. Hairannya, setelah lebih suku abad, barulah kami berjumpa…

Entah berapa ramai lagi orang Tebengau bekas budak Falah yang tidak pernah lagi saya temui sebaik tamat zaman perfalahan mereka…

Patutkah saya tarik balik keputusan untuk sekadar melintasi pekan kecil itu?

Di dalam kereta, setelah lebih sekilometer dari kedai tadi barulah saya teringat.

Selain Mahathir, ada seorang kakaknya, yang pernah belajar di AlFalah. Berbanding Mahathir, kakaknya bertubuh tinggi lampai. Peramah dan sering tersenyum. Kalaupun ketawa, tidaklah sehingga terpejam mata atau mengekek bunyinya.Saya tidak ingat sehingga peringkat mana kakaknya belajar di AlFalah. Nama kakaknya Marina Jamaluddin.

Terlupa saya tentang Marina semasa bertemu Mahathir tadi.

Entah berapa anaknya kini dan di mana dia menetap.

Nantilah. Saya akan tanyakan kepada Mahathir.


2 comments:

Pawang nujum said...

Tak cam dah....

wiraosman said...

Ingatan di mamah usia