Saya jarang singgah di pekan Tebengau walaupun kerap melintasinya.
Baik pagi atau petang, pasti ada budak Falah di kawasan itu.
Sekurang-kurangnya ada lima yang boleh ditemui secara tetap. Empat daripadanya
menjual ikan di sepanjang jalan di sekitar situ manakala seorang lagi [dua
beradik sebenarnya] membantu keluarga menguruskan satu-satunya kiosk minyak di
Tebengau.
Saya pernah bergurau dengan ABBY ZACK, tauke belacan yang
menetap di Tebengau walaupun jenama belacannya adalah Belacan Alor Ibus…
Saya katakan, kalau berhimpun semua pembeli ikan dan sayur dan
penjualnya di Tebengau di satu padang awam, lambungkan satu bola ke atas
mereka, dalam tiga kali, pasti sekali akan mengena kepala bekas budak Falah…
Abby Zack tertawa.
Ramai budak Falah berasal dari sekitar Tebengau…
Bukan kerana ramai budak Falah, saya tidak mahu singgah di
Tebengau. Tetapi ada hal lain. Tuan-tuan bayangkanlah. Pernah tiga kali saya
minum dan makan roti canai, ketiga-tiga kalinya duit saya tidak laku. Tuan
kedai tidak mahu menerimanya. Agaknya kerana tahu duit saya bernasib begitu,
ada saja budak Falah tolong bayarkan lebih awal…
Singgah membeli ikan pula. Minta sekilo temenung lemak,
diberinya hampir dua kilo tanpa ditimbang, siap dengan amaran keras: Jangan
Membayar!
Kalau sekali tidaklah mengapa. Ini berkali-kali. Kalau seorang
tidaklah mengapa. Ini tiga empat orang. Saya kasihan dan segan kepada mereka…Seperti
kata Badim sendirian kepada Osman anak
Orang Kaya Bakar yang tidak mengambil duit sewa rumahnya, dalam filem Keluarga
69: Kalau ada sepuluh macam ini di Malaysia……… sepuluh-sepuluh bankrap!
Mujurlah budak Falah yang menjaga kiosk petrol tidak bersikap
begitu…
Malah dengan Abby Zack pun pernah terjadi. Saya hanya berikan
sekeping kad jemputan kenduri. Dibalasnya hampir sedozen keping belacan semasa
mahu pulang. Bayangkan kalau saya berikan sedozen dua kad jemputan. Agaknya
patahlah tiang bonet
motorsikal saya…
Akhirnya saya putuskan: saya hanya mengambil bau Tebengau sahaja. Sekadar melintas,
tidak singgah.
Lama sungguh saya mematuhi keputusan itu. Tetapi kelmarin, 20
Januari, saya terpaksa melanggarnya sedikit.
Saya bersama Tuan Hj Sehabudin, abang Ustaz Fairose, sengaja singgah
di sebuah kedai makan berhadapan SK Tebengau, setelah selesai satu urusan
peribadi. Sebelum itu kami singgah di kiosk minyak yang saya catat tadi. Saja-saja,
sebab kereta Tuan Haji itu mengadu merasa dahaga…
Di kedai makan tersebut, kami memesan minuman pilihan dengan
seorang sebiji roti canai. Kemudian meja kami dikongsi pula oleh seorang budak
Falah generasi 60-an yang tinggal di Kg Hj Jamal, tidak jauh dari rumah Cikgu Rahim
Daud.
Kami berbual sambil minum. Kami makan sambil bersembang. Kami
bersembang sambil bersembang! Maklumlah banyak subtopik – bab Falah [termasuk
hal Pusat Tahfiz Amal dan hal bekas Pengerusi Lembaga Tadbir AlFalah tahun
1980an – Ustaz Abby [sila rujuk entri tentangnya], bab bendang, bab ehwal
sesama gender, dan bab makan minum .
Tv di dalam kedai itu menayangkan filem Ong
Bak entah sekuelnya yang mana. Saya memerhatikan semua mata
penghuni meja lain asyik bertumpu ke skrin tv. Masing-masing sambil pula
mengunyah atau menelan sesuatu.
Tiba-tiba di meja yang menghadap saya tiimbul sedikit
kekecohan. Halnya kecil sahaja. Gelas teh ais salah seorang daripada
penghuninya terbalik. Dua orang yang terlibat pula hanya belajar silat tetapi
tidak berminat dengan bola jaring atau bola baling. Maka mereka hanya melompat
mengelak dari terkena air yang tumpah tetapi tidak pun menangkap gelas yang
sedang bergolek jatuh. Riuhlah sedikit.
Saya tertarik kepada salah seorang daripada mereka, setelah
keadaan Berjaya ditenteramkan oleh tuan kedai.
Wajah seorang budak Falah. Dia memerhati kami ketika mengambil
balik posisi asal untuk melihat skrin tv sambil mengunyah makanan.
Saya yakin dia budak Falah. Siap lekat di kepala tahunnya di
Peralihan. Tahun 1984. Siap lekat lagi beberapa rakan sekelasnya – Zaini Salleh
dan bapa saudaranya Md Isa Saidin, Basri Zakaria [Pak Mid], Pawang Nujum dan
Mohd Hizamy [adik Ustaz Fairose]. Rakan sekelas yang berlainan jantina
dengannya pun saya cukup ingat. Tidak perlulah saya catat di sini. Sila rujuk
sahaja senarai pelajar tahun itu yang telah lama saya muatkan.
Dia tersengih ketika membetulkan kuda-kuda kerusinya.
Saya yakin mengenalinya. Tetapi tidakkah dia mengenali saya?
Biasanya kalau namanya budak Falah, sebaik yakin bahawa saya adalah saya yang
mereka pernah kenal, terus mereka menegur atau menyapa. Biasanyalah. Tetapi
yang luarbiasa pun ramai juga.
Adakah dia termasuk dalam kumpulan kecil luarbiasa itu? Yakni
yang [dengan alasan tersendiri] lari menjauh apabila nampak saya…
Ataukah dia termasuk dalam kumpulan yang satu lagi, iaitu yang
tidak lagi mengingat wajah saya, seperti yang saya catatkan tentang Latiff
Rahim [pelajar Tingkatan Tiga Akademik 1983] di dalam dua entri lama.
Seorang penumpang di meja mereka yang baru meletakkan pinggan
berisi nasi berlauk, datang menyalami kami bertiga sebaik nampak dan perasan
kewujudan kami di depannya. Tertib orangnya.
Anak menantu siapalah agaknya….. Sebenarnya dia tinggal di kampung bersebelahan
AlFalah, prihatin dengan kedudukan AlFalah serta berjawatan tinggi juga di
dalam satu organisasi amal. Seorang usahawan pula. Tak apalah.
Tetapi saya melihat salamnya itu membuka satu peluang.
Setelah kami menunaikan tegukan terakhir [juga tanpa perlu
saya membayar…], kami bangun. Dalam melangkah keluar kedai, saya mengambil
peluang yang saya katakana itu. Saya membalas menyalami insan yang menyalami
kami tadi. Sambil itu, supaya tidak dikatakan memilih bulu, saya menyalami
semua penghuni meja tersebut. Termasuk tuan gelas teh terbalik tadi yang sedang
gembira mendapat gelas baharu dengan isi yang penuh… Akhir sekali saya berdiri
di belakang budak Falah tersebut.
Dia menyuakan tangan untuk bersalam seperti yang lain.
Sebaliknya, kerana yakin bahawa dia adalah dia yang pernah saya kenal dulu,
saya menggunakan dua tangan untuk mencekak bahunya. Tentulah dia tepilanjat!
“Mahathir, ‘kan?” tanya saya.
Dia mendongak dan memusingkan sedikit kepala untuk mencari
mata saya.
“Ya…” balasnya. “Sapa….”
“Tak kenai ka?” saya merenung ke wajahnya.
“Cikgu Din ka?” Dia tersengih. Dia menggengam tangan saya.
Lama dan kejap.
“Cikgu kita dulu ‘ni….” katanya, entah memperkenalkan saya kepada
rakan yang tertumpah air tadi atau kepada dirinya sendiri..
“Macam mana boleh tak kenai ‘ni…. Minta maaf la cikgu noo….
Tak perasan sungguh!” Bersungguh sekali dia berkata. Saya tersengih. Kata-kata
yang biasa, apabila lahir dari lubuk jiwa, menjadikan saya bangga dan terharu.
Mahathir Jamaludin.
Hitam manis kulitnya, berbanding rakan sekelas yang lain
Mahathir kecil seperti Pawang Nujum.
Tetapi mulutnya boleh tahan ramah. Paling saya ingat bunyi ketawanya yang
mengekek. Memang dia suka ketawa dengan mata terpejam.
Mahathir [depan, dua dri kiri] |
Saya teringat ada foto kami bersama sebahagian rakan sekelasnya.
Saya guru kelas mereka pada tahun itu. Bilik kelas usang yang boleh dialih
menjadi dewan bila-bila masa. Entah siapa pernah muatkan di dalam fb Alumni
AlFalah. Mungkin kawan sesaiznya, Pawang Nujum. Lihatlah dia yang terpejam mata
menahan tawa ketika jurufoto mengelik
punat kamera.
“Anak berapa ‘dah?” tanya saya. Satu soalan yang lazim apabila
bertemu pertama kali bekas budak Falah.
“Baru satu..” katanya. Tersenyum.
“Baru… Ertinya banyak lagi yang nak mai ‘tu…” kata
saya.
Mahathir ketawa. Mengekek dan terpejamlah matanya…
Masa mungkin banyak berbeza. Tetapi kekekan dan pejaman mata
dalam tawanya tidak berubah.
Selepas bercakap lagi beberapa hal, dengan harapan akan ada
pertemuan kali lain, saya mohon untuk beredar. Barulah dilepaskannya tangan
saya.
“Ih, cikgu kita ‘ni…. “ kata Mahathir sambil bangun dan
menepuk bahu dan belakang saya dua tiga
kali. Mujurlah dia tidak menepuk bahagian yang bertentangan…
Sebelum melangkah jauh, saya mengunjukkan Tuan Haji kepadanya.
“ Tu abang Hizamy!”
Mahathir mengerutkan keningnya. Saya faham. “Hizamy di Falah
dulu… anak Ustaz Azizan!” kata saya.
Mahathir memuncungkan
mulut, menyebut ‘o’ yang tidak berbunyi, dengan mata mengarah ke bumbung kedai.
Entah apa dicarinya.
Saya melangkah semula. Tetapi Mahathir memegang semula bahu
saya. Saya menoleh.
“Hizamy!.... O… tau, tau. Ingat, ingat….” kata Mahathir.
Kemudian saya mendengar kekekan tawanya. Saya memandang
matanya. Tidak kelihatan. Entah apa yang diingatnya tentang kelasnya di AlFalah
dahulu.
Bukanlah jauh Tebengau dengan AlFalah. Sama YBnya, sama
posmennya dan sama poskodnya. Mahathir sudah berkahwin da punya anak satu.
Menetap di Tebengau. Hairannya, setelah lebih suku abad, barulah kami berjumpa…
Entah berapa ramai lagi orang Tebengau bekas budak Falah yang
tidak pernah lagi saya temui sebaik tamat zaman perfalahan
mereka…
Patutkah saya tarik balik
keputusan untuk sekadar melintasi pekan kecil itu?
Di dalam kereta, setelah lebih
sekilometer dari kedai tadi barulah saya teringat.
Selain Mahathir, ada seorang
kakaknya, yang pernah belajar di AlFalah. Berbanding Mahathir, kakaknya
bertubuh tinggi lampai. Peramah dan sering tersenyum. Kalaupun ketawa, tidaklah
sehingga terpejam mata atau mengekek bunyinya.Saya tidak ingat sehingga
peringkat mana kakaknya belajar di AlFalah. Nama kakaknya Marina Jamaluddin.
Terlupa saya tentang Marina
semasa bertemu Mahathir tadi.
Entah berapa anaknya kini dan di
mana dia menetap.
Nantilah. Saya akan tanyakan
kepada Mahathir.
2 comments:
Tak cam dah....
Ingatan di mamah usia
Post a Comment