Sekarang musim cuti sekolah. Musim kenduri kahwin. Sesiapa yang untuk dua minggu ini tidak mendapat walau SATU pun kad undangan, tak tahulah saya macam mana corak kehidupannya.....
Terkenang AlFalah kita.
Ada dua perkara yang melibatkan perkahwinan.
Pertama.
Setiap perkahwinan guru lelaki semasa saya di AlFalah, dalam gambar kenangannya mesti ada saya. Namakan saja.
Pernikahan Cikgu Abdur Rahim Daud di Jeneri, saya ikut bersama rombongan. Kalau tidak silap pertengahan tahun 1985. Kali pertama seorang guru Alfalah berkahwin semasa bertugas di situ.
Pernikahan Ustaz Zubaidi Ariffin dengan Rubiah Baharom, pelajar AlFalah 1983-1989, di Kg Rambong, Baling, saya turut tumpang sekaki makan hidangan pengantin. Tapi saya bukan pergi dan pulang dengan tangan kosong. Jenuh membantu membawa hantaran....
Pernikahan Ustaz Fairose Azizan di Kota Rentang, saya ikut memenuhi kehendak yang tertulis dalam kad undangan - hadir serta turut memeriahkan majlis. Malah pada hari bertandang ke rumah ustaz, saya paling depan - betul-betul di bahagian kerusi depan kereta yang membawa pengantin. Pemandunya.... si pengantin lelaki!
Pernikahan Cikgu Ahmad Amminy Azizan saya ikut bersama rombongannya ke rumah pengantin perempuan di Sungai Daun, Yan. Saya berperanan menenangkan pengantin lelaki kerana saya lebih dulu berpengalaman berhadapan dengan jurunikah, walaupun umur kami sebaya.
Pernikahan Cikgu Zainon Puteh di Tobiar, saya bersama-sama Hj Sehabudin, anak sulung Ustaz Azizan, ikut memeriahkan majlis sekali gus menyibukkan penyambut tetamu dengan dua kali meminta tambah.....Kena pula kami tidak diletakkan bersama pasangan pengantin. Selang tiga grup dari Cikgu Non.
Pernikahan Cikgu Salahuddin pula, tidak payah cerita. Saya yang menjabat tangan tuan imam. Dua kali pula 'tu... Kali pertama pada tahun 1991 dan keduanya pada tahun 1997.[ Pernikahan pertama berlaku selepas dua tiga tahun pernikahan Cikgu Rahim dan Ustaz Zubaidi. Kemudian baru tindakan kami ditiru oleh Ustaz Fairose dikuti oleh Cikgu Ahmad Amminy dan akhirnya yang bongsu, Cikgu Zainon...]
Tentang pernikahan guru-guru perempuan, saya sempat menyertai acara makan sahaja di khemah. Tidak sempat bersama rombongan ke rumah pasangan mereka. Tepatnya tak dipelawe.... Antaranya majlis perkahwinan Ustazah Rodziah Ahmad di belakang AlFalah, Ustazah Rohana Abd Hamid di Tokai (lupa nama kampung), Cikgu Khodijah Othman di Kg Alor Gandak, Langgar, dan Cikgu Khomariah, di rumah ayahnya Dato' Hj Ismail Hashim [almarhum qari terkenal] di Teluk Chengal. Cuma pernikahan Cikgu Ramlah Johari saya tidak mendapat jemputan....
Kedua
Pernikahan semua anak lelaki Ustaz Azizan saya sertai sebagai peneman.
Bermula dengan perkahwinan Hj Sehabudin di Kuala Kedah (akad nikahnya di Masjid lama di pekan Kola) pada tahun 1988. Masih jelas warna biru pakaian sedondon mempelai pada hari kenduri di AlFalah. Orang lelaki makan di dalam kelas yang kita gunakan sebagai dewan majlis muhadhoroh itu...[Istimewa sedikit kerana saya terlibat dari proses pertunangan, pernikahan, kenduri malah dalam mesyuarat pra-kenduri - termasuk sama proses mengedar kad jemputan.....maklumlah semasa itu Ustaz Azizan telah lama pulang ke rahmatullah]
Pernikahan Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy adalah seperti yang saya tulis di atas. Cukuplah sekali saya catat kerana mereka pun baru bernikah seorang sekali saja....
Pernikahan anak bongsu, Mohd Hizamy di Tikam Batu, saya ikut serta pada saat akhir.Saya datang ke rumah mereka yang kebetulan sedang bersiap untuk ke rumah pengantin perempuan. Memang tiada dalam skrip, saya muncul dan dipelawa. Bertolak-tolakanlah pada mulanya - adat bangsa sayalah - namun mengenangkan saya tidak pernah terjejas prestasi di meja makan pengantin, saya beranikan diri untuk menyahut pelawaan. Demi menunjukkan budaya bangsa, saya menggunakan kopiah di dalam rumah mereka. Terlanjur meminjam kopiah, saya pinjam pula baju melayu yang bergantungan di dalam rumah. Lengkaplah persediaan untuk lebih diraikan di meja pengantin nanti.....
Syukur. Dalam bab makan dengan pengantin, sepanjang di AlFalah, saya sentiasa berada di kedudukan dan masa yang tepat....
1 comment:
tiba2 terimbas memori di benakku... teringat akan seorang sahabat kami adakah kerana putus cinta tidak terbalas membuatkan hati lelakinya terusik dan menangis di dlm kelas sambil mengesat airmata yg gugur hanya menggunakan helai kertas.... huhuhuhu.... (rotan tiada akar pun berguna) agaknya tisu x der.. kertas pun jadilah!
Post a Comment