30 May 2012

Sheila Majid Tobiar

Sheila Tulen
Dalam kegiatan ko-kurikulum, AlFalah  akan menyertai pertandingan peringkat sekolah-sekolah agama rakyat. Selain sukan, ada pertandingan bagi mencungkil bakat dalam syarahan, bacaan al Quran, perbahasan, kuiz dan nasyid.

Saya pernah bersama budak AlFalah antaranya ke Melele, Tobiar, Maktab Mahmud Alor Setar, Lubuk Merbau dan Sungai Limau.

Semuanya atas tiket peneman sahaja.

Namun paling diingati ialah ketika berkunjung ke Madrasah Al Hidayah, Tobiar - sekolah yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Abdul Majid- sebelum kemudiannya bertukar menjadi Maktab Mahmud Pendang.

 

AlFalah menyertai nasyid dan mungkin satu dua acara lagi. Maaf, saya tidak dapat mengingatinya. Yang saya tahu tahun itu dalam generasi NorAzimah Ahmad (dia antara penasyid kita). Saya tidak berapa ingat sebab sebaik saya masuk melaporkan diri, terus diarahkan menjadi juri bahagian perbahasan.. Maka semua acara yang melibatkan Alfalah, saya tidak tahu perkembangan, apa lagi menyaksikannya. Saya di bilik acara perbahasan yang kebetulan tidak disertai oleh pelajar AlFalah.(Kenapa tiada peserta AlFalah? Rujuk sekejap di sini. Mungkin ada jawapannya barang sekelumit...Tapi, kita pernah sekali menghantar pasukan berbahas di Melele, kalau tidak silap pada tahun 1987\88.)


Bauran seronok dan bosan sepanjang pagi menilai keletah dan gaya semua peserta. Saya diserahkan tugas untuk melihat gaya. Apa lagi, tidak berkeliplah mata menanti peserta membuat silap gaya....

Paling diingati adalah gaya seorang pelajar perempuan yang mewakili tuan rumah. Dengan yakin - akhirnya dipilih sebulat suara juri sebagai peserta terbaik - dia berhujah selaku pencadang. Ketika itu, mungkin kerana  rakan sekolahnya yang mengatakan dia ada mirip penyanyi Sheila Majid,  dua tiga kali juga dia membahasakan dirinya sebagai Sheila Majid Tobiar... Walaupun nampak dan kedengaran seperti sepenuhnya menghafal, gaya dan intonasi suaranya mengatasi peserta lain - amat meyakinkan.


Di pertandingan akhir pada sebelah petang, Sheila Majid Tobiar dan dua rakannnya bertemu pasukan sebuah sekolah lain - lupalah pula.[Kata orang, hanya juara yang diingati....] Tobiar menjadi pencadang. Malangnya lawan mereka, pada peringkat awalnya, juga menjadi pencadang. Lalu agak terkial-kiallah mereka apabila bertindak sebagai pembangkang di peringkat akhir, dengan kebetulan pula tajuk yang diundi itu adalah sama dengan yang dimenangi oleh pihak Tobiar pada paginya.

Makin bergaya sakanlah Sheila kita tadi, ditambah dengan sokongan padu penonton di gelanggang sendiri. Pertandingan akhir perbahasan diadakan di dewan utama sebagai acara terakhir hari itu. Gamat setiap kali dia membahasakan dirinya sebagai Sheila Majid Tobiar.

Secara peribadi saya merasakan pertandingan akhir itu mestilah menggunakan tajuk baru supaya setiap peserta berusaha menghasilkan hujah terbaik masing-masing. Ini, pasukan Tobiar sudah siap dengan skrip pagi tadi, maka bolehlah dibayangkan siapa juaranya....

Pada hujung petang itu, acara penyampaian hadiah diadakan. Bangga rasa hati apabila kumpulan AlFalah dipanggil untuk menyampaikan nasyid mereka sementara ketua juri mengira markah pertandingan perbahasan. Ramai yang menjangka tentulah itu kumpulan yang memenangi acara nasyid. Betulkah? Maaf, betul-betul saya tidak ingat. Sesiapa yang kenal NorAzimah Ahmad dan gengnya boleh bertanyakan kesahihannya.

Akan Sheila dan dua rakannya, sahlah menjadi johan perbahasan. Gegak gempita dewan menyambutnya. Saya sempat mengucapkan tahniah kepada Sheila & geng semasa bertembung mereka dalam perjalanan keluar dari dewan. Mereka tersenyum. Saya pun tersenyum tetapi lebih lebar kerana dalam genggaman ada sampul berisi wang RM20. Bukan rasuah , adik-kakak! Itu adalah ganjaran untuk setiap orang yang menjadi juri sepanjang hari berkenaan.....[disediakan oleh AJK pertandingan}

Di sekolah, kemudiannya, saya berkisah tentang ketrampilan Sheila Majid Tobiar. "Betul-betul sama dengan Sheila Majid asli 'tak?" tanya beberapa pelajar, yang berkerumun mendengar cerita saya. Kisah betapa hampir semua sekolah ada barisan pembahas hanyut dibawa angin ....

Saya diam sejenak, mencari jawapan terbaik, agar tiada yang terlopong atau merasa rugi tidak pergi.

"Yang lain saya tak pasti - baik wajah atau saiz badan. Yang pasti sama adalah jantina mereka......."

Jawapan yang membuatkan kerumunan itu bubar secara perlahan-lahan sambil mendengus..........

Huh!

No comments: