24 May 2012

Malim Deman, Nasi Astakona Dan AlFalah!

example2
Nasi astakona (Banjarmasinpost.co.id)

Di Alfalah, pelajaran yang paling sukar untuk diajar adalah Kesusasteraan Melayu. Hal ini dikeranakan   oleh beberapa kerana.


Pertama. ia melibatkan beberapa cabang - Puisi (moden/klasik), drama, cerpen  novel dan tentunya prosa klasik.

Kedua, SEMUA teksnya akan bertukar setelah hanya beberapa tahun saya menghadam dan menyampaikan kepada pelajar. Kena baca dan memahami semua teks baru. Kena cari ulasan dan kajian berkaitan teks baru tersebut.

Ketiga, di AlFalah [dan tentunya di sekolah agama rakyat secara umum], kami bukan hanya mengajar satu mata pelajaran. Misalnya, saya mengajar Sains, Bahasa Melayu/Malaysia, Kesusasteraan Melayu malah Sejarah. Cikgu Zainon pula selain Matematik dan Sains, pernah mengajar Sejarah malah Geografi. [Barang diingat, kami  belajar di aliran Sains di mana pelajaran Sejarah apalagi Kesusasteraan Melayu tidak ditemui!] Kiranya kalau ibarat pemain bolasepak, kami dimasukkan bermain di posisi ikut keperluan pengurus/jurulatih, dan takdirnya ada pula permainan hoki, kami juga akan bermain dalam pelbagai posisi.....

Keempat, ini cukup menyiksakan, sebahagian pelajar tidak pernah membaca teks. Bagi mereka, waktu Kesusasteraan Melayu adalah waktu guru akan masuk bercerita. Masuklah dalam puisi, kitalah kena menyuapkan  apa saja, masuklah dalam cerpen atau novel atau prosa klasik malah drama, dengan tabah mereka akan hanya mendengar. Membaca? Katakan: Tidak! Apakah hukuman, kalau ada, kepada orang yang tidak sudi membaca?

Dengan demikian, insan yang mengajar di depan terpaksa menelan saja ruapan hati.

Dengan demikian juga, kadangkala, terutama di hujung hayat di AlFalah, saya banyakkan tidur! [Ampunkan saya ya Allah dan anak bangsaku!] Letih, kak! Apa lagi, kalau hari itu dalam kelas yang sama ada BM,  Sains dan Sastera. Tiga waktu mereka terpaksa mendengar suara saya dan tiga ketika pula saya terpaksa menghadap wajah mereka. Kena pula ada harinya dua waktu untuk BM  Dan dalam seminggu itu, tiga hari kedudukan jadual begitu. Bayangkan kalau mood tak elok, terutamanya ketika kita bersedia dalam Sastera, sedangkan mudah saja mereka menyatakan: tak baca lagi pun, tukwan.....

Ini, misalnya, pernah terjadi kepada Tingkatan Lima hujung 1990-an. Salah seorang pelajarnya bernama Aaron Aiman Batrisya Izzat Sam bin Li [bukan nama sebenar]. Pendiam tetapi sentiasa menyedekahkan senyuman semasa belajar atau sedang dileteri.[Masih terbayang keayuannya ketika dimarahi]Kerana seorang  yang tidak membaca, dan mood terus hilang, seluruh kelas terpaksa menjadi mangsa lampias amarah. Kadangkala amarah semasa Sains terbawa ke masa BM atau Sastera atau sebaliknya.Maka kadangkala saya mogok. Sedang mereka tidak tahu duduk perkara. Astaghfirullah, banyaknya dosa.....Tapi saya juga manusia 'kan,kak? Inilah sisi gelap yang paling saya sesalkan [Maafkan saya Aaron, juga anak bangsaku yang lain...kerana tertekan, kadangkala volume suara saya berada di level tertinggi.] Saya tidak ingat, selain saya, siapa lagi yang pernah dan mahu mengajar Kesusasteraan Melayu.

Untuk imbauan kenangan, diperturunkan ringkasan cerita Hikayat Malim Deman yang pernah menjadi teks dalam salah satu fasa semasa di AlFalah. [Kisahnya, kalau difilemkan, lebih hebat dari pengembaraan Indiana Jones... ops silap.... Indera Joned! Bangsa saya kalau bab mengubahsuai cukup kreatif...]

Di dalamya, dikhayalkan luasnya negeri Bandar Muar, ramainya rakyat jelata dan seterusnya perjalanan wira mencari isteri serta kemudiannya merujuk isteri yang merajuk. Ada cerita alam kayangan lagi. Siap dengan borak dan jin Islam.Kalaulah difilemkan.....

Paling dingati betapa burung yang sedang terbang boleh terhenti mendengar kemerduan yang dihasilkan Malim Deman.

Juga tentang nasi astakona. Dulu susah saya hendak terangkan tentangnya kerana info yang terhad. Sekarang adik kakak boleh minta tolong cikgu Google....misalnya dari Cupep atau kalau mahu resepinya ada di sini 



 


Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri Tuan Puteri Lindungan Bulan memerintah negeri Bandar Muar. Mereka mempunyai seorang putera, Tuanku Malim Deman. Pada suatu malam, Tuanku Malim Deman bermimpi didatangi seorang wali Allah menyuruh baginda pergi ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan untuk beristerikan Puteri Bongsu daripada tujuh beradik dari kayangan yang akan turun ke dalam taman nenek memetik bunga mengarang kuntum pada setiap malam purnama.
Sedar dari beradu, Tuanku Malim Deman berubah menjadi seorang yang gila bayang. Seisi istananya kehairanan terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Baginda memohon pekenan ayah dan bondanya untuk pergi berburu ke hulu negeri. Pada mulanya Tuanku Malim Deman diiringi sekalian ramai hulubalang dan rakyat jelata. Namun mereka tewas; akibat kebuluran, penyakit, sesat dan berpatah balik. Akhirnya tinggallah Tuanku Malim Deman, Awang Selamat dan anjingnya Si Kumbang. Awang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia dalam perjalanan, Si Kumbang pula mati lemas. Tinggallah Tuanku Malim Deman sendirian menempuhi berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas hanyut berisi sebentuk cincin dan sehelai rambut. Semua ini milik Puteri Bongsu dari kayangan yang berkata barang sesiapa yang menemui batil tersebut ialah jodohnya. Sebenarnya puteri ini telah ditunangkan dengan Medan Si Tangkal Ali tetapi tidak disukainya.
Tuanku Malim Deman menemui Nenek Kebayan dan dengan helah mereka baju layang Puteri Bongsu diambil oleh Tuanku Malim Deman. Akhirnya Tuanku Malim Deman membuka rahsia batil emas dan apa tujuan sebenar kedatangannya. Mereka dikahwinkan oleh Betara Guru di rumah Nenek Kebayan. Kepulangan Tuanku Malim Deman membawa isteri disambut penuh meriah dan kebesaran oleh kedua orang tuanya, lalu diadakan kenduri kahwin besar-besaran. Rakyat negeri Bandar Muar mengadakan pesta selama tiga bulan sebagai tanda kesyukuran dan Tuanku Gombang Malim Dewa sendiri berkenduri membayar nazarnya.
Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri mangkat selang seminggu, taktha kerajaan diserahkan kepada Tuanku Malim Deman. Malangnya, Tuanku Malim Deman tidak cekap memerintah negeri. Baginda asyik dengan persabungan dan berfoya-foya dengan wanita sehingga melupakan urusan negeri dan permaisurinya. Sehinggalah Puteri Bongsu berputerakan Tuanku Malim Dewana pun, baginda tidak sudi pulang menjenguk bayinya itu. Setelah Tuanku Malim Dewana boleh berjalan, jatuh bangun, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya dahulu. Lantas diambil, sambil mendukung putera kecilnya, ia terbang melayang pulang ke kayangan. Disambut oleh kedua-dua orang tuanya dengan rasa curiga. Setelah diketahui kedudukan sebenar, Puteri Bongsu ditunangkan dengan Mambang Molek seorang raja kayangan juga.


Setelah kehilangan isteri dan anak barulah Tuanku Malim Deman insaf dan menyesal akan perbuatannya selama ini. Baginda mengembara semula sehingga sampai semula ke rumah Nenek Kebayan. Baginda meminta bantuan nenek itu untuk berjumpa dengan keluarganya kembali. Nenek memberitahu baginda bahawa hanya burung borak sahaja yang mampu membawa baginda ke kayangan. Akan tetapi Nenek Kebayan tidak ketahui di mana burung tersebut berada untuk meminjamkan kepada baginda.
Tuanku Malim Deman meneruskan perjalanan dan pada suatu malam, sewaktu terlena di banir pokok, baginda bermimpikan kemunculan seorang wali Allah menyuruh baginda mengikut hulu sungai sehinggalah bertemu dengan Puteri Terus Mata anak Raja Jin Islam. Baginda sempat bertaubat di hadapan wali tersebut. Terjaga atau beradu, baginda menuruti pesanan wali Allah dalam mimpinya. Tuanku Malim Deman meminjam burung borak milik Puteri Terus Mata, untuk berlepas ke kayangan setelah menerima syarat daripada ayahanda Puteri Terus Mata, iaitu Raja Jin Islam supaya mengahwini puteri apabila pulang ke dunia semula. Baginda juga sempat berguru kepada Raja Jin Islam tentang segala ilmu dan hikmat bekalan cabaran di kayangan kelak. Puteri Terus Mata turut memberi tujuh kapur sirih hikmat kepada baginda untuk disantap juga mengatasi tujuh lautan halangan, lautan gelap, api, sejuk, kuning, hijau, masin dan bisa. Kemenyan mandung jati turut dibekalkan untuk menyeru kehadiran burung borak apabila baginda hendak pulang ke dunia semula.
Baginda tiba di rumah Nenek Kebayan di kayangan dan dilayan dengan penuh mesra. Baginda perkenalkan diri sebagai Malim Permainan kerana berkebolehan luar biasa bermain muzik. Malim Permainan hadir ke balai perkarangan istana lalu bermain muzik untuk menghiburkan puteranya Malim Dewana. Walaupun putera itu tidak mengenalinya, namun naluri hubungan ‘anak-bapa’ menyebabkan putera sering berada di atas ribaan sambil berhibur dengan permainan muzik oleh baginda. Dari bau minyak silompat pagar yang melekat pada tubuh puteranya, tahulah Puteri Bongsu bahawa Malim Permainan itu suaminya kerana minyak itu ditinggalkan sewaktu ke kayangan. Malim Permainan (Tengku Malim Deman) menyuruh Nenek Kebayan jualkan cincinnya kepada Puteri Bongsu kerana ‘kesuntukan belanja’. Puteri Bongsu membuka rahsia kepada Nenek Kebayan dan meminta Malim Permainan(Tengku Malim Deman) merebutnya semula daripada tangan Mambang Molek.
Tengku Malim Deman akhirnya dapat membunuh Mambang Molek di gelanggang sabung ayam. Dua orang saudaranya yang cuba menuntut bela juga terbunuh dan negeri menjadi huru-hara kerana rakyat Mambang Molek bertempur sesama sendiri kerana hikmat wali Allah. Tengku Malim Deman dikahwinkan sekali lagi dengan Puteri Bongsu di atas kayangan.
Setahun kemudian Tengku Malim Deman membawa Puteri Bongsu dan puteranya pulang ke Bandar Muar. Berkahwin dengan Puteri Terus Mata, puteri Raja Jin Islam sebagai menunaikan janji dan Tengku Malim Deman menjadi raja yang arif bijaksana serta pula gagah berani yang terlalu saktinya tiadalah berbanding zaman itu.

 (Dipadankan daripada Hikayat Malim Deman, Pawang Ana/Raja Haji Yahya, Fajar Bakti 1998)

No comments: