6 April 2012
Bangun Pagi, Gosok Gi....?
Zaman sekolah dulu, saya sering dimarahi oleh seorang guru. Pernah disepak pipi, namun di hujung kelas dia akan memanggil saya lalu meminta maaf. Saya juga meminta maaf kepadanya. Ia berlaku berulang kali. Puncanya kerana cara pengajarannya dan penerimaan saya. Sememangnya saya antara murid kesayangannya dan dia pula guru antara guru terbaik kami. Tapi kenapa saya ditampar?
[a]
Cikgu tu : Adik-adik kita perlulah disa......?
Saya: disakiti.
Cikgu tu: disayangi!
[b]
Cikgu tu: .... kerana memberikan kepadaku tempat berlin....?
Saya: Jerman!
Cikgu tu: berlindung!
[c]
Cikgu tu: Masa yang dicadangkan adalah sebanyak 20 minit saha....?
Saya: Sahara!
Cikgu tu: sahaja!
Itulah antara contohnya. Setiap kali dia hendak mengakhiri ayat dalam dialognya dia akan terhenti sebelum satu atau dua sukukata sepatutnya. Saya pula dengan spontan akan menyambung perkataan terakhir itu. Padahnya, keraplah bersarapan dengan penampar atau herdikan atau kadang-kala berdiri di atas bangku atau di atas meja atau di atas bangku yang diletakkan di atas meja! Kawan-kawan pula, dalam ramai yang ketawa dengan kespontanan saya, melahirkan rasa simpati. Apa hendak dikata....Mujurlah setahun sahaja saya berguru dengan cikgu tu....
Putera-puteri AlFalah, anda juga tentu pernah berhadapan dengan situasi itu. Bezanya guru anda tidak segarang cikgu tu atau mulut anda pula tidak sespontan mulut saya.....
Ketika mula mengajar di AlFalah, saya dapati ada satu-dua guru yang mengajar dengan kaedah penyampaian seperti cikgu tu. Percayalah, saya hairan kerana pelajar diam atau tidak peduli, sedangkan saya yang mendengarnya spontan menyambung .....( biasanya walau dalam hati tahu apa yang cuba cikgu tu atau guru anda maksudkan, mulut saya akan menyebut hal lain).
Contohnya, jika sepatutnya bersuci saya kata bersugi! Pernah sekali dalam muhadhoroh, seorang peserta, dalam syarahannya menyebut memban...tai, saya cepat-cepat potong: membantal. Terlalu cepat keluar dari mulut saya. Bagusnya sejak itu dia tidak lagi bersyarah dengan corak tersebut.
Sekarang, di tv juga kadang-kadang ada ustaz dalam Tanyalah Ustaz dan Al Kulliyyah menyampaikan mesej dengan kaedah itu. Saya yang mendengar akan seperti dulu-dulu, menyambung secara salah. Pernah sekali saya dihalang dari melihat rancangan berkenaan kerana kerapnya ustaz menghentikan ayat secara itu dan sekerap itu pula saya membalasnya. Bukan stesen tv yang halang tetapi bakal emak mertua kepada bakal menantu saya!
Pagi ini, ustaz yang begitu muncul lagi di tv. Saya tersenyum melihat ada tangan bergoyang-goyang menyuruh saya duduk jauh-jauh....
Dari jauh-jauh itu saya terkenang Cikgu Mustaffa Mohamad. Dia kata (bukan saya kata), semasa dia berkursus dahulu, pensyarahnya ada berpesan agar jangan menggunakan kaedah itu. Takut-takut kalau kita bercakap dengan asyik di dalam kelas, "Pagi-pagi sebelum ke sekolah kita minum ko.....?" Bagaimana kalau salah seorang budak itu tidak minum kopi atau koko, sebaliknya ........
{Maaflah kalau anda tidak faham. Maaf berkali-kali ganda pula kepada anda yang faham. Seriously. Ini cuma cebisan kenangan}
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment