2 April 2012

Cinta Pantai Murni

Guru Sejarah, Cikgu Rahim Daud, menganjurkan lawatan sambil belajar ke tapak candi di Lembah Bujang. Tiga guru lelaki dan dua guru perempuan turut bersama pelajar mengenderai bas Kong Hoo. Tiada yang sangat saya ingat apa aktiviti di Lembah Bujang, selain dari tengok-tengok dan umpat-umpat apa yang patut. Waktu yang seronok mungkin ketika acara wajib dalam rombongan - makan bekal!

Oleh kerana kedudukan geografi Lembah Bujang yang tidaklah terlalu jauh, kami punya masa yang panjang menjelang waktu pulang pada petang nanti. Lalu kami bergerak ke Tanjung Dawai. Tiada apa yang menarik kerana ketika itu PakLong belum lagi cukup umur untuk mencipta lirik lagu Cinta Pantai Merdeka. Saya pula masih teringat liku-liku sejarah diri di atas bot bilis dahulu......

Lalu menjelang petang, kami singgah di Pantai Murni, Yan. Berarak sekejap ke pelantar/jeti kayu yang sedang uzur berhampiran gerai makanan. Saya berpatah balik lebih awal lalu melompat ke atas pasir di bawah jeti. Menggunakan kulit siput, saya tulis besar-besar "What a boring day!"


Sebahagian pelajar dan guru perempuan bertebaran mencari gerai menjual ABC dan spesies seumpamanya. Saya dan Cikgu Rahim dan Cikgu Non berjalan sekitar siar kaki tanpa tujuan, melintasi beberapa bangku batu yang diduduki oleh pengunjung. Tiada yang menarik, kami berjalan kembali menaiki bas. Di atas bas 3-4 pelajar perempuan sedang menyemakkan lantai bas dengan kulit kuaci dan kacang pol. Kami turut menyumbangkan tenaga, membantu.

Tiba-tiba seorang pelajar melontarkan cabaran: kalau cikgu-cikgu dapat mengurat 3 gadis yang sedang duduk di salah satu kerusi batu di tepi pantai, saya belanja cikgu makan.

Cabaran! Beberapa kali kesahihan cabaran itu dipastikan. Lengkap dengan saksi dan sumpah.

Kami sahut cabaran itu.

Perlahan kami berjalan pula ke arah bangku yang disasarkan. Tiga gadis itu terpinga-pinga. Saya memerhati ke arah bas. Tiga empat wajah tadi tersengih - menaikkan suhu cabaran mereka. Kami saling bertolakan dengan mata masing-masing untuk memulakan acara. Selepas berdehem beberapa kali Cikgu Rahim memberi salam dan mula mengemukakan beberapa soalan klise. Dalam tertanya-tanya, tiga gadis itu menjawab juga. Akhirnya kami perkenalkan diri dan menceritakan cabaran pelajar di atas bas dan meminta kerjasama mereka: pertama, jangan pandang ke arah bas. Kedua, bercakaplah apa-apa pun selama sekitar lima minit.

Pantai Murni Yan: Fizikalnya boleh saja berubah namun kenangan hujung 1980-an
akan kekal. Bangku itu masih begitu......di situ!
Foto oleh: Adzmierz (Panaromio.com)
Biasalah dalam drama melayu, ketika sedang berlakon itu, beberapa pelajar lelaki secara tak langsung menjadi extras dengan melintas sambil mengulang dialog, "hai, cikgu......" atau sekadar "ehemm!"

Sembang punya sembang, Cikgu Non bertanyakan tempat tinggal gadis-gadis itu. Bila diberitahu, Cikgu Non yang kebetulan mempunyai bapa saudara di Sungai Yan, terus menyoal. Takdirnya salah seorang gadis itu merupakan puak laghak (bahasa Cikgu Non), maksudnya ada sangkut paut dengan bapa saudara Cikgu Non. Apa lagi, makin rancaklah perbualan - hingga dipelawa duduk sebangku!

Hari yang cukup manis rupanya. Selain dapat makan percuma, kami juga dapat menayangkan nombor
telefon rumah salah seorang gadis tadi.....

Ombak tiba-tiba berdesir perlahan di pantai, memadam sekali lalu apa yang saya tulis di atas pasir awalnya .........


No comments: