7 April 2012

AlFalah Di Sisi Lain 3

Sedozen pelajar AlFalah


Enam pasangan ini hanyalah rakan sekelas semasa di AlFalah. Tolong jangan gossipkan mereka. Semuanya telah punya jalan hidup masing-masing. Antaranya Mohd Nazri Abu Seman dan Rafidi Ramli.

Apa yang ingin diceritakan atau diimbas kembali ialah latar belakang dalam foto ini. Mereka bergambar menghadap ke sawah yang terletak 10 meter dari tempat mereka bergambar. Di belakang mereka adalah bangunan dua tingkat yang dijadikan asrama puteri di bahagian atas dan kelas serta bilik guru di bawahnya. (Bilik guru di Alfalah sering berubah mengikut keadaan dan keperluan) Beberapa tahun selepas gambar ini di ambil, tempat mereka berposing itu menjadi tapak tangga untuk naik ke asrama manakala bahagian atas itu pula bertukar menjadi asrama putera - pada era Mustadi Muhammad (kini menantu Pak Said Kuala Kedah) - dari Seberang Perak, Perak betul.

Bangunan yang nampak jauh di sebelah kiri foto adalah dapur dan di hujungnya bilik air. Di sinilah, banyak peristiwa berlaku dan menjadi kenangan kepada setiap insan yang pernah berkampung di Al Falah. Saya terkenangkan Cikgu Ramlah, Kak Om (Shahrom Saud) dan putera-puteri AlFalah.

Di situlah juga, kami (bersama ustaz Fairose dan Pak Husin serta Pak Ku Cha) berzikir bagi menghalau hantu (sini).

Kaki lima bangunan yang di depan itu bersambung dengan telaga yang hijau airnya. Semasa acara mengejar hantu itu, telaga itu masih ada. Md Rautin (sini) dan geng sezaman awalnya rasanya pernah merenangi telaga itu.

Kemudian ia ditimbus dan kini di atas tapak telaga serta semua bangunan itu didirikan bangunan dua tingkat yang lebih kukuh.

Namun kukuh juga ingatan saya pada bangunan lama itu. Satu malam, di atas tangga yang didirikan, seperti saya catatkan di atas, saya, cikgu Non dan semua pelajar dari Kedah bersaing dengan Mustadi tentang keistimewaan Kedah berbanding Perak.....

Perak ada Teluk Intan, Kedah ada Telaga Emas, Bukit Perak, Bukit Wang...... Begitulah seterusnya hujah berkembang hingga menjejak ke tengah malam.

Mustadi banyak diam. Maklumlah keseorangan mempertahankan kehebatan negeri kelahirannya.

Negeri mana yang menang? Tentulah yang didiami oleh peserta merangkap pengadil.......

Kesian Mustadi. Namun beberapa tahun kemudian dia berjaya menakluk hati orang Kuala Kedah........

No comments: