Majalah yang dia selalu beli....... |
Ustaz Abd Hamid Ismail mula mengajar di AlFalah pada hujung 80-an. Dia seorang yang cukup sederhana.
Saya tak ingat sangat tarikh sebenar dia datang ke AlFalah namun suasana pagi dia melaporkan diri masih basah di ingatan. Dia tiba awal pagi, berkain pelikat, berbaju melayu sambil menunggang Vespa. Saya ketika itu hanya kenal namanya yang kerap disebut sebab beliau tinggal di dalam Pondok Fauzi, Yan, berdamping rapat keluarganya dengan keluarga Ustaz Fauzi, adik Ustaz Azizan.
Jadi kedatangannya pagi itu saya anggap kedatangan seorang waris pelajar. Bersalam lebih kurang, saya terus ke kelas di mana terdapatnya dewan AlFalah. Dia masih di sisi Vespanya yang diletakkan di hujung dewan itu.
Semasa rehat saya nampaknya di pejabat dan terkejut kerana diberitahu beliau akan bertugas di AlFalah. Rupanya inilah Ustaz Mid yang isterinya emak saya panggil Cu Ton (Maksu)!
Lama juga masa yang saya ambil untuk rapat dengan beliau. Sebab, pertamanya jurang generasi. Keduanya, dia ustaz. Ketiganya, wajahnya nampak serius. Keempatnya, dia ustaz. Kelimanya, wajahnya nampak serius. Keenamnya, dia ustaz.....
Tapi lama-kelamaan kami , semua guru, mesra amat dengannya. Ustaz-ustaz banyak merujuk kepadanya terutamanya bab nahu Bahasa Arab. Yang bukan ustaz ini pula lagilah banyak merujuk kepadanya: dari bab hukum-hakam hinggalah hal adat-istiadat dan sejarah.
Beliau banyak pengalaman, sesuai dengan usia dan pengajiannya di Pondok Pokok Sena, Seberang Perai. Namun yang paling disenangi adalah sikapnya yang penuh humor. Ada-ada saja leluconnya di sebalik wajah yang kelihatan serius. Mungkin hanya serius ketika mengajar hukum-hakam, teka saya.
Tanyalah pada waktu rehat, waktu beliau membaca atau waktu makan. Pasti cuba dijawab setiap persoalan sehingga sama-sama berpuashati - baik penanya mahupun penjawab.
Kalau kami tidak menyoal apa-apa, beliau pula akan membuka tajuk - mengemukakan permasalahan hukum dan merungkainya jika kami angkat tangan. Selalunya memang kami angkat tanganlah!
Dia kawan dan bapa kami sekali gus!
Di dalam kelas, saya tahu dia mungkin disenangi muridnya. Pernah sekali dia bercerita tentang seorang pelajar yang asyik melukis senjata tentera di buku ketika dia mengajar - kes bosan agaknya. Mulanya dia hendak memaklumkan sahaja tapi saya menyatakan memang dia berminat menjadi tentera sebab majalah ketenteraan cukup ditekuninya. Kali lain, Ustaz Mid bercerita lagi, terpacak dia memberi tumpuan apabila diselitkan bab ketenteraan ketika dia mengajar! Minatlah yang akhirnya membawa dia menjadi tentera kemudiannya walaupun senjata yang dipegang di dalam tugas bukan seperti yang dilukisnya di kertas dan kulit buku....
(Siapa dia? Tanyalah Wira & The Gang).
Ustaz Mid cukup supportive and sporting.. Ketika diminta bernyanyi di dalam majlis Muhadhoroh, beliau tidak menolak. Dua lagu dinyanyikan dengan mendapat tepukan audien - semestinya lagu padang pasir.
Terlalu banyak kenangan bersamanya.
Untuk kali ini, biarlah saya catatkan kisah orang dulu-dulu menjadi matchmaker dari file Ustaz Mid.
Sekali peristiwa bertemulah dua broker. Selalunya orang kepercayaan di kampung masing-masing. Satu di pihak lelaki dan satu di pihak perempuan. Zaman itu hatta hendak tengok gambar pun sukar, jangan bayangkan berjumpa dan bermesra.... Kata pihak lelaki, calonnya semua ok.
"Berjudi tak?"
"Alhamdulillah. Dia tak pandai berjudi."
"Kaki mabuk?'
"Dia tak pandai bab-bab minum 'ni"
Kemudian giliran broker pihak perempuan pula menerangkan tentang calonnya. Juga ok semuanya. Biarlah saya simpan dulu dialog tentangnya.Untuk episod lain.
Maka berkahwinlah pasangan tersebut.
Selang tiga bulan, berjumpalah kedua-dua broker itu. yang di pihak perempuan pantas sahaja menzahirkan kekesalannya.
"Budak yang hang kira 'tu teruk. Balik malam asyik mabuk saja. Kuat berjudi pula 'tu. Habis barang kemas hantaran dulu digadainya. Kalah memanjang. Hang kata dulu tak tau berjudi. Tak tau minum!"
"Laaaa... memang aku kata dia tak pandai berjudi, sebab tu asyik kalah. Dia mabuk 'tu, kan aku dah kata dia tak pandai minum. Kalau pandai selalunya tak mabuk....."
....................................................
No comments:
Post a Comment